Salam Ukhwah buat semua,
Pagi yang hening dan dingin. Hujan renyai-renyai menyedapkan lagi suasana pagi. Sekujur tubuh segera bangun sebelum fajar menyingsing, membersihkan diri dan bersiap-siap untuk menunaikan kewajipan sebagai makhluk Allah. Sungguh mendamaikan ibadah sunat yang ringkas itu, hadiah Allah kepada hambaNya, solat tahajjud penenang jiwa. Solat subuh yang diikuti dengan bacaan al-Quran menambahkan subur di jiwa.
Ketika semua orang sedang berehat di rumah, teman gagahkan diri untuk melangkah keluar dari rumah, seterusnya menunaikan tanggungjawab sebagai pekerja di syarikat teman. Ada juga perasaan cemburu melihat orang lain sedang bersedap-sedapan di atas katil masing-masing, namun motivasi di radio IKIM pagi ini melenyapkan rasa cemburu itu. Terasa Allah begitu dekat, memujuk hambaNya yang sedang dingin menyahut keperluan diri sebagai pekerja biasa. Mungkin inilah hadiah Allah buat hambaNya yang mengingatiNya, hadiah berupa pujukan dan hembusan semangat untuk hambaNya meneruskan hidup dengan bersemangat. Motivasi kali ini berkata tentang keperluan berpagi-pagian kerana udara pagi yang menyegarkan adalah udara yang mampu memberikan susuk tubuh yang sihat, kerana itulah bangun awal pagi itu dituntut kerana antara hikmahnya, ia memberi kebaikan dari sistem biologi manusia itu sendiri. Segar hati apabila disirami suntikan semangat seperti itu, lalu sekujur tubuh ini terus segar bersama minda yang segar.
Rezeki Allah yang tidak putus-putus kepada hambaNya, datang dengan cara yang tidak disangka-sangka. Seawal pagi di tempat bekerja, ditemukan Allah dengan hambaNya yang baik, dapatlah teman jadikan kawan untuk berbicara dan meluahkan rasa. Kemudian kesegaran yang dirasai berlanjutan hingga ke tengah hari. Timbul niat di hati untuk mengerjakan solat sunat Dhuha tetapi seolah-olah tiada ruang masa yang dapat diluangkan untuk niat suci itu. Namun sessi mesyuarat terhenti tepat jam 12 tengah hari, lalu terhidang hidangan yang lazat kurniaan Allah. Selesai menelan rezeki Allah, Allah beri sedikit masa sebelum masuk waktu Zuhur, terlaksana juga niat yang terlintas di dalam hati untuk mengerjakan sunat Dhuha yang diharapkan tadi. Dan tanpa menunggu lama, solat Zuhur masuk dan terus sahaja diselesaikan segera tanggungjawab yang wajib itu.
Dengan sedikit masa lagi sebelum sesi mesyuarat di sambung, diberikan lagi oleh Allah kesempatan untuk menulis dan berkongsi di entri kali ini. Semoga sesiapa yang membacanya mendapat manfaat dari entri ini. Percayalah pada kuasa Allah, tanamkanlah niat yang baik di hati, dan usahakanlah agar ia menjadi realiti. Jika tiada di dalam lingkungan kawalan kita sebagai manusia, percayalah bahawa Allah itu Maha Berkuasa, sesungguhnya biarlah yang selebihnya menjadi urusan Allah. Allah itu dekat, jika kita cuba mendekatiNya, seribu kali pula Allah akan dekat dengan kita.
No comments:
Post a Comment