Monday, 23 May 2011

Memenuhi Hajat dan Melihat dengan Mata Hati

Assalamualaikum wbt.

Hari ini, di radio IKIM, Dr. Jamil bercerita tentang kisah yang berlaku pada dirinya. Isi pentingnya ada dua, iaitu pertama tentang memenuhi hajat orang dan kedua mengenai mata hati. Teman tertarik dengan dua isi penting yang diulas dari sebuah cerita sebenar. Memenuhi hajat dan permintaan bukanlah sesuatu yang mudah walaupun bunyinya mudah. Jika jin seperti dalam kisah dongeng Aladin hanya boleh menunaikan 3 permintaan, tetapi kita bukanlah jin. Kita manusia, hamba Allah. Pastinya kemampuan kita sebagai manusia adalah terbatas, tetapi apa yang kita boleh lakukan, buatlah sekadar yang mampu tetapi dalam kadar yang maksima, bukan minima. Contoh yang paling mudah adalah ketika kita memandu. Hajat tak semestinya berbentuk permintaan melalui kata-kata. Kereta di tepi kita mungkin ingin masuk ke lorong di hadapan kita, itu adalah hajat beliau yang tak terluah dek kata-kat. Tanda isyarat dinyalakan memohon izin masuk, bukankah mulia jika kita memenuhi hajatnya itu. Di situlah hikmah Allah yang tersembunyi tentang kebaikan itu boleh dilakukan di mana-mana dan di merata-rata tempat. Dan sesungguhnya berlumba-lumbalah kita semua dalam melakukan kebaikan, bukan berlumba di jalan raya.
Berkata tentang mata hati atau diterangkan Dr Jamil dengan istilah Basirah, ia adalah sesuatu yang patut kita semua capai. Mata hati mampu memandu manusia untuk memahami agama, memahami kehendak agama dan dapat mendorong kita beramal dengan rasa ikhlas. Mata yang diberikan adalah nikmat yang paling hebat dari Allah, tetapi mata ini tidak akan lengkap jika mata hati kita buta. Mata memandang secara fizikal, tetapi mata hati akan mempengaruhi tindak tanduk manusia untuk memahami hikmah Allah. Semoga teman dan kalian semua mendapat Basirah.

No comments:

Post a Comment