Salam buat semua dan selamat pagi,
Teman baru sahaja lepas buat satu laporan ringkas buat ketua projek teman. Tiba-tiba teringat pulak buku yang teman baru sahaja habis baca pada hari sabtu yang lepas. Buku ini ditulis oleh Profesor Muhd. Kamil Ibrahim. Tebalnya adalah dalam satu inci muka surat tetapi jangan khuatir, teman yakin sesiapa yang membacanya takkan mahu berhenti dan dapat menghabiskannya dalam masa sehari atau dua hari tanpa henti, kecuali jika ingin mandi, solat, makan dan melaksanakan perkara wajib yang lain.
Teman sangat teruja membaca buku ini, bukan kerana apa, sebab teman rasakan yang teman memerlukan transformasi itu. Teman sudah banyak membuang masa dan lalai selama ini, teman rasa teman adalah hamba Allah yang paling hina. Buku ini memberi harapan bahawa transformasi itu mampu dilakukan dan kita mampu berubah. Dan teman tak pernah terfikir bahawa teman mampu melaksanakan ibadah haji, selalu bermain di minda bahawa diri ini belum bersedia dan masanya masih jauh. Tetapi buku ini adalah hikmah Allah dan tarbiah dari Allah melalui cara penyampaian Prof Kamil, dan teman mula menyimpan cita-cita untuk menjejakkan kaki ke rumah Allah dan menjadi tetamunya yang istimewa. Semoga Allah merahmati penulis buku ini dan keluarganya. Perasaan takut berselang seli dengan keinginan yang meluap-luap untuk dijemput ke rumah Allah.
Buku ini bukanlah tentang tatacara untuk mengerjakan ibadah haji, tetapi dengan cara penyampaian yang santai, pembaca boleh memahami sedikit sebanyak proses haji. Perkara yang paling penting adalah roh haji itu sendiri dan pemahanan seseorang tentang aqidah dan amalan ibadahnya. Buku ini banyak menekankan tentang kehebatan doa, malah kita patutnya bersyukur kerana doa adalah senjata yang Allah anugerahkan buat kita. Memusatkan perhatian kepada Maha Pencipta adalah satu keperluan yang perlu sentiasa ada bukan sahaja di Rumah Allah, tetapi di semua tempat kita tujui dan setiap masa. Buku ini juga bercerita tentang Kasih Allah yang dapat dirasakan dengan jelas jika roh Islam itu kita tumpukan dan rasakan.
Kepada pembaca, anda juga boleh melayari blog Prof Kamil 'Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan'. Teman mengikuti blog beliau dan teman harap, penghijrahan Prof Kamil ke Madinah September tahun ini tidak memutuskan hubungan dakwahnya dengan kita semua.
No comments:
Post a Comment