Tuesday, 31 May 2011

Dia Maha Mendengar

Setelah 2 tahun menanti, OGA2011 kembali menjengah industri di Malaysia, khususnya industri yang berkaitan dengan gas, minyak, petrokimia dan apa sahaja bidang kejuruteraan yang menyumbang kepada industri minyak dan gas. Ia adalah pameran dan perhimpunan terbesar syarikat-syarikat yang terlibat dengan industri ini. Hampir kesemua syarikat minyak dan gas dari seluruh Asia menghadiri acara seumpama ini, ia adalah sesuatu yang din anti-nantikan oleh seluruh warga industri. Teman tak ketinggalan menyimpan hasrat untuk menyertainya. Ia adalah peluang terbaik untuk memajukan kerjaya teman dan untuk kebaikan jabatan teman juga.

Sana-sini orang bercakap tentang OGA2011. Kawan-kawan sepejabat teman juga begitu. Ada yang memasang angan-angan untuk pergi bersama-sama dan meraikan pameran yang tersohor ini. Ada juga yang mempunyai niat yang menyimpang, contohnya, ingin membeli belah di KLCC. Jauh di sudut hati teman, selain menghadiri OGA, teman ingin mengambil angin, teman penat bekerja di dalam pejabat ini, teman ingin menghirup udara yang berbeza. Teman tetapkan niat, jika ada rezeki, teman mahu lihat sendiri perkembangan industri ini, terutama ingin melihat syarikat-syarikat yang diterajui saudara sesama Islam, kerana teman percaya, mereka telah pun menguasai industri ini. Teman juga ingin menambah pengetahuan, apa sahaja yang teman masih belum jelas tentang industri ini, dan teman juga ingin berjumpa sahabat lama teman yang juga berada di dalam industri yang sama, insya-Allah. Apa sahaja objektif untuk ke sana, yang pasti niat kena betul. Ia perlulah jujur dan disandarkan kerana Allah. Kerja itu ibadah, jangan dicemari dengan perancangan yang tidak baik.

Beberapa minggu yang lepas, terdengar-dengar di telinga teman bahawa ada antara kawan sekerja yang menyuarakan hasrat untuk ke OGA2011, tetapi ketua jabatan teman seolah-olah tidak mengizinkan sesiapa untuk ke sana memandangkan loji-loji kami perlu dibaikpulih secara besar-besaran pada pertengahan Jun ini. Pada hakikatnya, ketua jabatan ini adalah orang baru di jabatan ini, beliau sebenarnya tidak tahu kepentingan acara ini kepada jabatan. Tetapi perkara itu berlalu begitu sahaja tanpa ada jawapan yang pasti. Dalam diam, ada yang sudah mula takut untuk mengemukakan hasrat mereka secara terbuka di hadapan ketua kami itu, takut-takut ditolak mentah-mentah.

Pagi ini, ketika di pantri, teman terdengar bicara kawan sepejabat.

A : Ketua kita ni, nampak sangat jahil.
B : Dia tak tahu apa-apa saya kira.
A : Adakah patut, masa Bedah (bukan nama sebenar) buat permohonan ke OGA2011, dia kata dekat Bedah, ‘pergi hari lainlah’
C : Bukankah OGA tu 2 tahun sekali? Kalau tak pergi sekarang, kena tunggu 2 tahun lagi.
A : Itulah yang saya kata jahil, memang dia tak tahu apa-apa
C : Maknanya, kita semua tak dapat pergilah?

Teman adalah C dalam dialog di atas. Teman terdiam seketika. Teman berfikir, mungkin bukan rezeki teman untuk ke sana. Itu semua rancangan Allah, mungkin itu yang terbaik. Tiba-tiba otak berkata, ‘ Tidak! Selagi belum berusaha, aku tak boleh hanya menyerah. Selepas aku berusaha, barulah berserah kepada Allah untuk menentukan samada aku ada rezeki ke sana atau tidak’. Lalu, teman mengisi borang permohonan dan menghantar melalui intranet yang disediakan. Tidak sampai 5 minit, ketua jabatan memanggil teman ke biliknya.

Teman pusatkan perhatian teman pada Allah. Dengan bacaan bismillah dan doa, teman melangkah ke biliknya. Pada mulanya beriya-iya ketua teman tidak memberi izin untuk ke sana. Teman menerangkan bersungguh-sungguh tentang matlamat OGA2011 dan apa yang boleh pihak jabatan manfaatkan dari acara itu. Teman menerangkan secara terperinci kerana teman tahu beliau kurang arif akan hal itu. Selama 5 minit teman menerangkan kepadanya, beliau masih memberi tindakbalas yang negatif. Akhir sekali, beliau Cuma berkata, ‘tengoklah, biar saya fikir dahulu’. Teman tidak membiarkan perjumpaan teman berakhir begitu sahaja, teman akhiri perjumpaan itu dengan berkata, ‘apapun keputusan tuan, saya merayu supaya tuan menimbangkan permintaan ini, ia penting untuk kerjaya kami’.

Teman beredar dari bilik itu dengan tangan yang sejuk kerana menahan perasaan. Duduk sahaja di tempat teman, terus teman membaca doa. Ketika itu teman redha, jika jawapannya masih tidak, teman terima. Kerana teman telah berusaha, selebihnya berserah pada Allah. Qadha & qadar Allah itu ada hikmahnya. Jika ditakdirkan teman tak dapat pergi, itu sudah ketentuan Allah, Dia lebih tahu apa yang terbaik buat hambaNya.

Tidak sampai 5 minit, seorang kawan sekerja keluar dari bilik ketua jabatan membawa sekeping kertas sambil berkata, “Sila tulis nama dan pilih hari untuk ke OGA2011”. Ya Allah, Maha Suci Allah, Segala Puji Bagi Allah, Dia Maha Mendengar! Tiada apa yang mustahil dengan kuasaNya. Terima kasih Allah!



No comments:

Post a Comment