Assalamualaikum wbt semua, selamat pagi...dan sudah hampir tengah hari pun...
Hari ini teman memandu lebih 2 jam untuk ke tempat kerja. Selalunya ia hanya memakan masa 50 minit. Tetapi hari ini berbeza. dalam diam, teman membuat senarai semak di dalam kepala, teman yakin teman sudah membaca doa menaiki kenderaan, memohon dipermudahkan perjalanan, mendengar zikir pagi, mendengar tazkirah....tetapi akhirnya masih tersekat di dalam kesesakan yang luar biasa ini. Ya, inilah ujian kesabaran. Bukankah teman berdoa, Ya Allah, kurniakan aku dengan kesabaran yang tinggi. Semestinya kesabaran yang tinggi itu perlu diuji, kalau tidak manakan tahu sabar yang diminta itu sudah mencapai tahap ketinggiannya atau tidak. Takut pula bila memikirkannya. Tak mengapa, Allah sudah berkata, Dia takkan menguji hambaNya dengan sesuatu yang termampu sahaj untuk hambaNya.
Sebelum teman lupa, sebab sebentar tadi teman cuba mengingatkan tentang motivasi pagi yang diberi oleh Dr. Jamil di radio IKIM, jenuh teman paksa kotak ingatan teman untuk mengingatkannya. Teman risau betul jika terlupa sesuatu yang penting seperti ini, ia ilmu yang sangat berguna dan rugi jika dilupakan atau terlupa. Mungkin hati masih kotor, kerana itulah otak susah nak ingat perkara-perkara yang baik ini.
Dr. Jamil bercerita tentang surah Yasin. Betul katanya, dah jadi adat pula orang-orang kita meletakkan Khamis malam Jumaat sebagai acara wajib. Sehinggakan perkara yang lebih signifikan selain perkara sunat ini turut diketepikan kerana ia sudah menjadi adat. Tetapi hakikatnya, masyarakat kita hanya mengamalkan kerana ikut-ikutan tanpa memahami betapa besarnya hikmah dan makna surah Yasin. Dr. Jamil menerangkan bahawa terdapat banyak ilmu sains yang terdapat dalam surah Yasin, antaranya ilmu berkenaan dengan DNA dan hukum-hukum biologi yang lain, maaflah, teman tak ingat istilah-istilah saintifik tersebut kerana teman ini benak sedikit, semoga Allah mengurniakan ilmu yang luas buat teman.
Teman ada membaca tafsir Surah Yasin, tetapi teman rasa tidak cukup jika hanya memahami maknanya. Tafsir al-Quran mungkin membawa pengertian yang lebih besar, terutamanya tentang maksud tersirat yang dikupas ulamak berkenaan surah tersebut. Sebab-sebab ayat tersebut diturunkan juga perlu kita ketahui, dalam istilah agama kita namakan Asbabun Nuzul. Banyak lagi perlu dipelajari di dalam tafsir al-Quran, ia lebih dari mengetahui makna bahasa itu sendiri. Terasa ilmu terlalu cetek dan terasa diri hina kerana rendahnya ilmu. Ya Allah, aku pohon keampuanan dariMu, dan kurniakanlah aku dengan ilmu yang luas. Sesunggunya Engkau Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.
No comments:
Post a Comment