Wednesday, 18 May 2011

Terima Kasih Guru

Salam Buat Semua,

Semua orang berkata tentang guru, kerana Hari Guru berlangsung semalam. Masing-masing menceritakan tentang guru-guru mereka, macam-macam cerita. Semalam, teman bertanya kepada sahabat teman, adakah dia mempunyai guru kegemaran atau rapat dengan mana-mana guru? Jawapan yang diberi adalah negatif. Dahi berkerut tatkala mendengar jawapan negatif itu, tak ada? Tapi tak mengapa, itu dirinya, biarlah begitu.

Teman? Teman merasakan guru umpama ibu bapa teman sebab teman bersekolah asrama sejak teman tingkatan 1 sehinggalah tamat universiti. Dari penghujung umur 12 tahun sehinggalah berumur 26 tahun, lebih kurang 13-14 tahun hidup berasingan dari keluarga, siapa lagi kalau bukan guru dan penyelia asrama yang menjadi penjaga teman. Guru, pada hakikatnya sangat dekat di hati teman. Ada guru yang teman sayang seperti nyawa, memahami teman dan menerima teman seadanya, tak pernah jemu mengajar dan membimbing teman. Untuk mereka, semoga Allah merahmati mereka. Tiada apa yang teman dapat balas, hanya sekuntum doa buat kesejahteraan mereka. Biarlah Allah yang membalasnya.

Ada juga guru yang melukakan hati teman. Kadangkala, teman berfikir, mengapa seorang pendidik sanggup bersikap negatif terhadap anak didik mereka. Mengapa mereka memulaukan anak didik mereka sendiri. Mengapa mereka sering memperli anak didik yang dirasakan bermasalah. Mengapa mereka sering bersikap negatif dengan anak didik yang tidak disukainya. Dahulu, teman anggap guru itu sempurna. Mereka adalah contoh terbaik dan bukan seperti manusia lain. Tetapi kedewasaan mengajar teman bahawa manusia itu semuanya sama. Apa yang membezakannya adalah pegangan dan amalannya. Teman semakin memahami bahawa para pendidik ini juga manusia biasa yang tidak lari dari masalah. Allah tidak menjadikan guru itu sempurna, tidak juga menjanjikan guru itu semuanya akan masuk syurga dan tak tersentuh oleh api neraka. Mereka sama seperti kita. Sesungguhnya neraka itu adalah balasan yang pasti kepada hamba Allah yang tidak taat dan patuh pada Penciptanya, jadi mengapa perlu teman mengambil hati dan berdendam dengan guru-guru yang pernah menganiaya teman, biarlah Allah menilainya. Mungkin guru itu sudah bertaubat, segalanya dalam rancangan Allah, dan Allah MAha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.  Oleh itu, teman maafkan mereka semua.

Buat guru-guru teman, para pensyarah dan sesiapa sahaja yang pernah mendidik teman secara formal ataupun tidak, teman mengucapkan ucapan terima kasih yang tak terhingga. Tiada perkataan yang dapat menggambarkan rasa syukur teman di atas ilmu yang dicurahkan. Maafkan keterlanjuran teman, teman manusia biasa.

No comments:

Post a Comment