Monday, 9 May 2011

Surah At-Taubah Ayat 128-129

Salam Buat Semua,

Nampak tak lampiran di sebelah ini? Ini adalah gambar yang teman ambil daripada tulisan teman sendiri, baru saja ditulis dan disalin pagi ini. Ini adalah ayat At-Taubah ayat 128-129. Teman terjumpa tentang ayat ini di blog Profesor Kamil, Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan. Arwah bapa mertuanya pernah memberitahunya ketika arwah sedang terlantar sakit bahawa ayat ini jika diamalkan sebagai doa, menjadi doa untuk meminta dipanjangkan umur. Pesan arwah lagi, jika sampai satu masa ayat ini sudah tidak mampu dibaca dengan lancar oleh pengamalnya, ia bermakna ajalnya semakin hampir. Wallahua'lam, semoga apa yang dikatakannya itu benar. Teman terus sahaja membuka senaskhah al-Quran kecil di meja teman ini dan menyalin surah ini lalu teman tampalkan di hadapan meja teman supaya teman boleh menghafal dan mengamalkannya. Pada hakikatnya, teman sebenarnya sedang susah hati dan berasa resah kerana masalah di tempat kerja. Hati teman agak lega apabila membaca ayat ini kerana di dalamnya terdapat makna yang mendalam "Kemudian jika mereka ingkar, maka katakanlah (Wahai Muhammad): Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri dan Dialah yang mempunyai Arash yang besar. At-Taubah:129". Ya, cukuplah Allah sebagai sebaik-baik penolong. Cukuplah Allah. Itulah yang sangat melegakan. Sekiranya ditakdirkan Allah bahawa kuasa dan peluang ini bukan milik teman, maka teman terima kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana, tentu segalanya mempunya sebab dan hikmah, teman perlu redha dan sabar.

Kepada sesiapa yang membaca entri ini, jika lampiran teman itu susah untuk dibaca, anda bolehlah membuka Al-Quran dan mencari surah At-Taubah, ayat 128-129. Semoga perkongsian teman ini dapaty membawa manfaat kepada semua.

No comments:

Post a Comment