Pukul 3 petang tadi, teman menelefon ibu teman. Rupanya ibu teman pun berpuasa.
Teman :Mak puasa apa? Puasa khamis ke?
Mak :Mak puasa qadha'
Teman :Mak belum habis ganti ke?
Mak :Mak dah ganti, tapi mak niatkan puasa ganti untuk bayar mana-mana puasa yang mak tak tahu mak tinggalkan secara sengaja atau tak.
Teman :Mak bayarlah fidyah. Bukankah qadha puasa itu untuk puasa tahun lepas sahaja. Kalau tahun yang sebelum-sebelumnya, kenalah bayar fidyah, bukan puasakan?
Mak :Mana boleh macam itu. Fidyah kena bayar, puasa pun tetap kena ganti dengan puasa juga.
Teman menggaru-garukan kepala walaupun ibu teman tidak nampak. Teman ragu-ragu dengan kenyataan ibu teman. Terbit di dalam hati, 'aku belajar agama lagi tinggi, adakah aku yang silap?'.
Sekembalinya teman ke meja teman, teman membuka tafsir al-Baqarah yang teman baca sepanjang hari. Ketika membaca tafsir tersebut, teman terkejut kerana tiba-tiba ayat ini muncul. Seolah-olah Allah mahu menjawab suara hati dan pertanyaan teman.
(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (Al-Baqarah 2:184)
Jelaslah, memang betul apa yang diberitahu ibu teman. Terasa diri ini kecil, ilmu yang teman sangka tinggi rupanya cetek sangat. Ilmu ibu teman yang tak ke sekolah menengah itu nyata lebih tinggi dari teman yang ada ijazah ini. Hari ini teman meniatkan puasa sunat Khamis, esok teman akan berpuasa qadha'.
No comments:
Post a Comment