Friday, 20 May 2011

Allah itu sebaik-baik Penolong

Assalamualaikum wbt dan Selamat pagi,

 

Sempena hari jumaat penuh barakah ini, teman nak bercerita tentang sifat Allah iaitu al-Nasir, Allah Sebaik-baik Penolong.

 

Teman nak ceritakan kisah teman semalam. Masuk sahaja waktu Asar semalam, teman pun beredar dari pejabat teman menuju ke musolla (surau). Hujan lebat sangat pada ketika itu. Beberapa minit sebelum teman meninggalkan pejabat, salah seorang kawan sepejabat teman ingin meminjam payung. Pada mulanya teman terfikir bahawa kalau teman meminjamkannya payung teman, bagaimana teman nak ke musolla nanti? Tetapi entah kenapa seperti ada satu gerakan hati untuk menghulurkan juga payung tersebut. Yang hairannya, ada kawan lain yang menawarkan payung mereka tetapi beliau tidak mahu. Alasannya ialah payung itu kecil. Apabila teman menunjukkan payung teman yang sama kecil dengan payung kawan teman yang lain itu, tiba-tiba sahaja kawan teman itu bersetuju untuk menggunakan payung teman. Tak mengapalah, bukankah tolong menolong itu amalan mulia? Mungkin teman terpilih untuk merebut pahala membantu orang yang memerlukan pertolongan. Bukankah umat Islam disarankan untuk berlumba-lumba melakukan kebajikan. Pahala mesti direbut!

 

Berbalik kepada hujan yang lebat di hadapan teman, teman terus sahaja berjalan sambil memikirkan, ‘Alamak, hujan. Tak apalah, Allah itu sebaik-baik Penolong. Kalau basah pun, basahlah, ini adalah perjuanagn kecil bagi menunaikan ibadah terhadap Allah. Demi Allah, aku sanggup tempuh hujan yang lebat ini. Lagipun bukannya jauh sangat, beberapa meter sahaja, mungkin tak basah sangat kalau kena hujan pun’. 3 meter dari kawasan hujan yang menderu itu, tiba-tiba di pintu pejabat yang terletak dihujung bangunan itu, seorang kakitangan berbangsa India tiba-tiba menghulur payungnya, “Awak tolong sampaikan payung ini pada dia”, sambil menunjuk rakannya yang menunggu di seberang bangunan dan menanti payung tersebut. Payung terbuka dan ia lebih lebar dari payung teman. Tadi, teman pinjamkan kepada kawan teman yang berbangsa India, sekarang yang meminjamkan payung juga dari bangsa India. Bukankah Allah itu maha Adil? Teman bersyukur sangat. Terasa diri disayangi Allah. Teman terus menyeberangi jalan yang lebat dengan hujan itu, petir sabung menyabung dan teman selamat sampai ke penghujung dan menyerahkan payung kepada orang yang menunggu payung itu. Teman mengucapkan terima kasih, di dalam hati teman, terbit ucapan ‘Terima kasih Allah kerana menolongku’. Teman bersyukur sangat-sangat. Teman punya amalan bukanlah hebat, tetapi Allah itu benar-benar Penolong. Dan teman percaya tentang itu malah semakin percaya. Kejadian ini sepatutnya meningkat keimanan teman dan teman berharap teman tidak sombong dengan Allah. Teman harap teman semakin tunduk kepadaNya. Semoga teman sentiasa di dalam rahmatNya.

 

Ketika kita memerlukan pertolonganNya, minta sahajalah kerana Dia sebaik-baik Penolong. Dia Maha Berkuasa dan janganlah kita meminta pertolongan selain daripadaNya. Yakinlah akan kekuasaanNya dan yakinlah dengan pertolonganNya. Semoga kalian mendapat pertolongan Allah, pasti Allah akan menolong hamba-hambaNya yang meminta tolong dariNya. Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment