Tuesday, 31 May 2011

Anakku Brain Tumor - Hadiah buat seorang ibu


Assalamualaikum wbt, dan selamat pagi semua,

Alhamdulillah, Allah masih izinkan teman bernyawa hari ini. Nikmat solat tahajud dan witir malam tadi masih terasa hingga ke saat ini. Mungkin ini hikmah bangun malam, dapat menajamkan hati untuk lebih fokus dengan tujuan kita diciptakan Allah.  Terima kasih Allah. Dan mohon ampun dariMu andai tulisan ini mengundang batil, mohon perlindunganMu ya Allah.

Pagi ini seorang kawan yang sudah lama bercuti kerana bersalin anak yang kedua kini kembali bekerja. Melalui Google Talk, beliau menghubungi teman dan bertanya khabar. Teman tahu dia dalam kesusahan. Ya Allah, bantulah hambaMu itu, beliau dalam kesusahan, permudahkanlah urusan-urusan beliau ya Allah, murahkanlah rezeki beliau.

Dengan nama Allah, teman akan hadiahkan sebuah buku, Anakku Brain Tumor tulisan Isyah Radhiah (isteri Che Am Raihan). Buku ini tentang ketabahan seorang ibu yang mempunyai 8 anak. Anak ketiga beliau disahkan ‘brain tumor’ pada Mei 2010, ya…ia baru sahaja berlaku setahun yang lepas, genap setahun! Buku ini masih segar di pasaran, catatan terkini sekitar April 2011, bulan lepas! Alhamdulillah, teman diizinkan Allah memiliki buku ini dan teman kira, ia adalah petunjuk Allah bagi sesiapa yang menggunakan akal fikirannya untuk memahami hikmah Allah.

Buku ini adalah tentang keluarga Islam. Ia menceritakan pengalaman mereka mengalami pahit getir di kala mengahadapi musibah dan dugaaan yang besar. Mempunyai anak yang mempunyai jangka hayat adalah satu cabaran yang besar bagi sesiapa yang bergelar ibu bapa. Namun, hidup dan mati adalah urusan Allah. Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali. Dan berharaplah hanya pada Allah kerana Dia sahaja yang boleh memberi. Buku ini menceritakan bagaimana doa menjadi senjata. Senjata yang lebih hebat dari akal manusia yang terbatas. Ia menceritakan tentang usaha gigih, di samping berserah kepada Allah selepas segala usaha ditumpahkan. Ia adalah aktiviti yang selari, berdoa dan berusaha. Ia adalah tentang keimanan, tentang kesabaran, tentang ibadah dan ia adalah satu sumber rohani. Buku ini adalah panduan tentang ‘Islamic parenting’, tentang didikan anak-anak, tentang ketabahan seorang ibu dan bapa. Ia tentang airmata sedih dan gembira.

Buku ini teman belum habis baca, tetapi sudah hampir ke penghujungnya. Susah nak berhenti apabila sudah mula membacanya. Ia buku yang terbaik untuk sesiapa sahaja. Teman akan hadiahkan buku ini untuk seorang ibu tunggal yang dalam kesusahan, supaya beliau dipimpin Allah melalui buku ini. Semoga apa yang ada di dalam buku ini melekat dalam hati sanubarinya sebagai seorang ibu, dan kemudian tabah serta semakin tunduk pada Penciptanya.

Buku ini teman beli melalui http://www.galeriilmu.com.my/ .


No comments:

Post a Comment