Tuesday, 24 May 2011

Hikmah

Hikmah, hikmah, hikmah...

Mata hati sepatutnya dapat mengesan hikmah dalam setiap rancangan Allah. Kerana Allah itu Maha Bijaksana, Dia tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia, pasti ada sebab dan hikmahnya! Dan tidakkah kita berfikir?

Tengah hari ini, teman mengikut kawan-kawan sepejabat keluar makan tengah hari, kemudian melawat salah seorang kawan yang dimasukkan ke hospital swasta kerana demam yang teruk. Walaupun ia tidaklah sakit yang terlalu teruk atau tenat, tetapi apabila memikirkan pahala melawat orang sakit, teman ikut bersama.

Sepanjang perjalanan, terlihat kesan-kesan minyak di jalan raya. Kesan ini terhasil daripada lori tangki yang bocor akibat kemalangan yang telah membuatkan teman terperangkap selama 2 jam 30 minit di kesesakan jalan raya. Menurut kawan teman, minyak yang tumpah mengakibatkan jalan raya menjadi licin dan akhirnya menyebabkan kemalangan beberapa buah kenderaan. Apabila brek kenderaan ditekan, kenderaan tetap terdorong ke hadapan kerana licin dan akhirnya mengakibatkan kemalangan-kemalangan kecil Kawan teman juga hampir-hampir melanggar kereta di hadapan kenderaannya apabila tayarnya menggelongsor setelah brek ditekan. Dan, teman bersyukur kerana teman tersekat beberapa kilometer dari tempat kejadian. Bayangkanlah jika kereta teman yang ringan itu berada ketika kejadian, pasti ia meluncur dan menggelongsor lebih laju dari kenderaan yang lain. Dan mungkin teman mengalami  kerugian dan kejadian lain yang tidak terjangkau oleh pemikiran teman. Semua itu dalam rancangan Allah, kereta teman tersekat kerana ia terlalu bahaya untuk teman lalui. Semasa teman lalu di kawasan itu, bomba sudahpun menyiram kawasan itu dan sudah melakukan sesuatu di jalan raya itu. Itu adalah hikmah besar buat teman. Terima kasih Allah.

No comments:

Post a Comment