Thursday, 5 May 2011

Kematian Osama, Palestine Bersatu, Kisah Pejabat dan Perihal Rezeki

Salam buat semua,

Sudah lama teman tak menulis apa-apa di ruangan blog teman ini. Sebenarnya teman menghadiri mesyuarat yang panjang selama 3 hari berturut-turut dengan legasi dari Korea Selatan untuk projek mega syarikat teman. Oleh itu teman tak berkesempatan untuk menulis dan berkongsi apa-apa sejak akhir-akhir ini. Ada beberapa perkara teman mahu kongsi pendapat dan teman harap kita sama-sama mengambil iktibar dan berfikir sedalam-dalamnya tentang kehidupan kita seperti yang selalu ditanyakan kepada kita oleh Sang Pencipta di dalam surah Al-Rahman.

Kematian Osama
Teman lampirkan gambar yang teman ambil melalui telefon bimbit teman ke atas sebuah surat khabar tempatan, daripada gambar tersebut teman merasakan seperti ada yang tak kena.
  1. Gambar tersebut hampir sama dengan salah satu gambar beliau seperti yang ditunjukkan dalam gambar yang teman lampirkan ini. Kedudukan kepala, bentuk jambang dan beberapa perincian di dalam gambar tersebut memang nampak sama. Teknologi biasa seperti ‘Photoshop’ mampu menghasilkan gambar sebegini melaui gambar asal, apakan lagi jika ada teknologi canggih yang lebih baik daripada Photoshop, berkemungkinan pemalsuan gambar tersebut mampu dilakukan dengan lebih licik dan berkesan.
  2. Cara beliau dikebumikan menjadi tanda tanya masyarakat dunia. Cara pengkebumiannya sangat pantas dan terus sahaja disemadikan di laut. Masyarakat dunia tidak sempat untuk dipertontonkan video pembunuhan dan pengkebumiannya sepertimana mereka menyiarkan kes penangkapan Saddam Hussein dahulu.
  3. Pembunuhan beliau juga satu tanda tanya besar masyarakat dunia berikutan laporan yang menyatakan Osama dibunuh dalam keadaan beliau tidak bersenjata. Bermakna, jika benar pembunuhan ini berlaku, ia membawa maksud jelas bahawa Amerika memang berniat untuk terus membunuh Osama tanpa perbicaraan. Sesuatu yang pelik, bukankah dunia terikat dengan Undang-undang Antarabangsa dan hukuman hanya boleh dilakukan setelah dibicarakan di Mahkamah Dunia? Tetapi mengapa Osama dibunuh tanpa dibicarakan terlebih dahulu? Ini satu kepincangan yang serius.
  4. Daripada berita pembunuhan Osama, pihak Yahudi telah membuat satu kesimpulan yang menakutkan dimana sehari selepas berita pembunuhan Osama, akhbar Israel meraikan pembunuhan ini dan membuat kesimpulan bahawa tindakan Amerika adalah praktikal dan menjadi contoh bahawa pembunuhan antarabangsa boleh dilakukan dengan penilaian mereka sendiri.
  5. Dunia menjadi riuh rendah membincangkan tentang keamanan dunia samada dunia kini telah aman atau pembunuhan ini bukanlah satu jaminan keamanan. Pada pendapat teman, Amerika patut berundur daripada menjadi polis dunia, barulah dunia akan aman. Lahirnya pengganas ini pun adalah disebabkan rasa benci mereka kepada golongan penyibuk seperti Amerika dan Israel serta negara-negara Eropah yang lain. Lihat sahajalah bagaimana NATO menyibuk dalam hal dalaman kerajaan Muammar Ghadafi sehingga melakukan pembunuhan ke atas kaum keluarganya, amankah dunia?
  6. Kini Amerika mensasarkan pemimpin kedua Al-Qaeda yang bernama Ayman, sekali lagi perancangan pembunuhan diatur sebagai jalan penyelesaian masalah, bukankah kata mereka dunia telah aman dengan terbunuhnya Osama? Mengapa kini mereka merencanakan pembunuhan yang seterusnya?
  7. Tun Mahathir menyatakan pendapatnya bahawa pembunuhan Osama merupakan satu tindakan balas dendam, ia sebenarnya bukanlah tindakan yang berpaksikan keamanan. Aman tidak sinonim dengan bunuh, tetapi bunuh sinonim kepada dendam.

Palestin Bersatu
Alhamdulillah, pagi ini kedengaran berita tentang Hamas dan pemimpin Palestine telah membuat perjanjian damai. Tel Aviv dikatakan tidak senang dengan berita tersebut dan menyatakan ia akan menghalang kepada proses pendamaian Israel dan Palestin. Itulah yang sepatutnya dilakukan oleh Palestin sejak dahulu lagi. Bukankah bersatu teguh bercerai roboh? Biarlah satu dunia memberikan kita seribu satu masalah, yang penting kita harus menyelesaikan masalah dan konflik dalaman sebelum kita bersatu memikirkan tentang masalah yang lebih besar di luar sana.
Dear Palestine,
All Moslem all over the world love you. You should be grateful that each Moslem prays for you and asking Allah for your peaceful life and your happiness. Even if they cannot send you their hands, their money or their helps, but for sure all of them pray for you. Prayer is the gift from Allah, and the strength of Moslem. We believe that do’a can helps you even a small help. Hence, you need to unite and help yourself. Be a good servant of Allah and unite for the sake of Allah, may Allah bless Palestine.

Kisah Panas Di Pejabat
Ini merupakan ujian buat teman. Semasa menjalankan projek mega ini, teman memerlukan bantuan seorang rakan di pejabat teman. Pada hakikatnya teman diberi kuasa untuk melantik sesiapa dan mengarahkan orang tersebut untuk memberi maklumat yang diperlukan bagi menjayakan projek mega ini. Tetapi malangnya keputusan teman tak dihormati malah rakan teman tersebut terus menolak bulat-bulat permintaan teman. Teman berasa sangat marah dan kecewa kerana teman tidak faham mengapa rakan teman ini terlalu sombong dan bersikap mementingkan diri sendiri. Sedangkan projek ini adalah untuk kesejahteraan bersama dan beberapa bulan lagi, mereka semua akan menggunakan sistem yang akan diperkenalkan nanti, oleh itu samada mereka suka atau tidak mereka sepatutnya memberi kerjasama yang diperlukan. Tetapi sikap negatif rakan teman itu benar-benar membuatkan kesabaran teman tercabar dan akhirnya teman gagal menahan kesabaran. Teman akhirnya kecewa dengan diri teman sendiri sebab tidak mampu mengawal nafsu amarah, teman sedar amalan teman belum cukup kuat untuk menjadi tembok pemisah antara teman dan kebatilan. Akhirnya teman juga akur pada satu fakta yang teman terlupa bahawa syaitan itu sentiasa ada dan berusaha untuk membisikkan hasutan-hasutan jahatnya. Inilah yang perlu teman lakukan, teman mesti berusaha melawan hasutan syaitan dan mendidik kesabaran. Sesungguhnya syaitan berteriak gembira apabila manusia gagal melawan nafsu dan hilang kesabaran kerana kesabaran itu tunggak keimanan. Hilang sabar samalah juga dengan runtuhnya iman. Semoga Allah membersihkan hati teman dan memasukkan teman di dalam golongan orang yang sabar. Kepada rakan teman itu, biarlah dia bersama dengan pendiriannya itu, semoga Allah memberi petunjuk kepadaNya.

Ketentuan Rezeki
Pagi ini teman terdengar motivasi pagi di radio IKIM tentang rezeki. Sesungguhnya rezeki itu datang dari Allah dan ditentukan olehNya. Tiada siapa yang dapat merampas rezeki kita selain Allah. Ustaz tersebut menceritakan tentang kisah Hasan al-Basri bagi mengaitkan tentang perihal rezeki. Ulamak besar Basrah itu sememangnya tidak takut kepada sesiapa kerana beliau yakin bahawa rezekinya datang dari Allah dan sudah ditentukan Allah. Sehinggakan apabila rumahnya dimasuki pencuri, Hasan al-Basri turut membantu pencuri tersebut mengangkat barang-barangnya ke tempat persembunyian pencuri tersebut. Pencuri tersebut tidak menyedari hakikat bahawa rumah itu milik ulamak besar Basrah dan beliau tidak sedar orang tua yang menolongnya itu adalah tuan rumah tersebut kerana Hasan memperkenalkan dirinya sebagai pencuri tua lalu menawarkan diri untuk membantu pencuri tersebut mengangkat barang-barang curi itu. Sehari selepas kejadian tersebut, si pencuri tertanya-tanya tentang pencuri tua yang menolongnya lalu beliau kembali ke rumah yang dicurinya semalam dan akhirnya beliau mendapati pencuri tersebuat adalah tuan punya rumah yang dicurinya dan merupakan ulamak besar di Basrah. Akhirnya pencuri tersebut bertaubat dan memulangkan semua barang-barang Hasan al-Basri dan Hasan pula mendapat semula barang-barangnya dan ditambah pula dengan baju-baju yang dibeli orang ramai kepadanya sebagai pertolongan apabila mereka mengetahui rumah Hasan dirompak.
Begitulah juga dengan kehidupan ini, teman pun adalah antara manusia yang sering risau tentang rezeki sedangkan Allah adalah pemberi rezeki, usahlah ditakuti bahawa ada yang akan merampasnya. Jika kita kehilangan sesuatu, berdoalah agar barang tersebut dipulangkan atau diganti dengan sesuatu yang lebih baik, itulah kesimpualan Ustaz itu tadi yang membawa maksud yang berkesan ke dalam hati  sanubari teman.

Kepada semua, renung-renungkan.

No comments:

Post a Comment