Assalamualaikum wbt dan Selamat pagi,
Hari ini hari Isnin, ia adalah hari yang mencabar. Sebahagian manusia yang bergelar pekerja menggelar Isnin sebagai ‘Monday Blues’. Ia adalah istilah yang berbaur negatif, ia melibatkan tentang ‘mood’ yang pudar untuk memulakan hari dengan bekerja. Teman juga tergolong dalam orang yang sebegitu, tambahan pula teman sudah bercuti sejak hari Jumaat yang lalu kerana sakit. Sehingga ke hari ini, badan masih terasa sakit-sakit dan tidak sedap. Tekak terasa perit, hidung tersumbat tapi masih boleh bernafas dan semangat kerja yang dah lama hilang semakin memudarkan hari yang pudar ini. Ia benar-benar hari yang suram.
Hati terasa melonjak-lonjak untuk pulang ke rumah apabila buku-buku yang dipesan telah sampai, teman tak sabar nak membaca buku-buku tersebut. Ia adalah ‘Anakku Brain Tumor’ tulisan Isyah Rashiah Idris (Isteri kepada Che Am Raihan) dan R&R di lebuh Raya Kehidupan tulisan Ustaz Zul Ramli. Teman memang ternanti-nanti buku-buku ini kerana teman telah mendengar ulasan buku tersebut di radio IKIM beberapa minggu yang lepas. Dan teman sebenarnya ingin menyelami perasaan dan pengalaman orang-orang yang hatinya dekat dengan Allah, teman mahu jadi seperti mereka.
Hakikatnya hati teman ini masih kotor, contohnya teman masih lagi berbalah dengan manusia. Perbalahan bagi teman, adalah hasil dari hati yang belum cukup bersih, dan hati yang masih tidak menyedari hakikat Qadha dan Qadar Allah. Teman manusia biasa, banyak kelemahan, dan sedang berusaha mengatasi kelemahan-kelemahan itu. Semangat bekerja yang hilang juga adalah tanda hati teman ini kotor. Kerja adalah ibadah tetapi teman tak mampu memanfaatkan pekerjaan teman. Seribu satu perasaan negatif bersarang di hati berkenaan kerjaya teman sekarang. Teman berdoa agar teman dikurniakan kerjaya yang baik, yang akan membuatkan teman lebih dekat dengan Allah.
Sham Kamikaze seorang pemuzik handalan. Beliau adalah manusia hebat yang dianugerahkan bakat muzik yang hebat dan rezekinya mencurah-curah dalam bidang itu. Rezeki yang mencurah-curah lazimnya membuat manusia alpa. Kesenangan sepatutnya dibalas dengan kesyukuran tetapi seringkali manusia balas dengan kealpaan dan kemungkaran. Manusia sering sahaja menjadi fasad tetapi itulah hakikat manusia. Akhirnya insan seperti Sham Kamikaze ditundukkan Allah dan pemuzik hebat itu akhirnya dipilih menerima Hidayah. Walaupun katanya Hidayah itu tak perlu dicari (dipetik dari sesi temuramah Harian Metro ke atas Sham), tetapi teman yakin kebenaran perlu dicari. Allah hanya memberi Hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya, oleh itu kita kena minta Hidayah itu dari Allah. Kebenaran perlu dicari dan jawapan kebenaran itu adalah Hidayah atas izinNya. Buat Sham Kamikaze, semoga hati anda sentiasa tunduk kepada Allah. Kata-kata anda memberi inspirasi, terngiang-ngiang di telinga teman, pertama tentang kepercayaan terhadap Qadha & Qadar, dan kedua, doa pada Allah tentang janganlah hati ini dibolak balikkan setelah Dia memberi Hidayah. Teman ingat dan akan ingat.
Teman berpuasa hari ini, walaupun badan rasa tak sihat, tetapi tak mengapalah. Manusia itu diciptakan oleh Allah untuk menyembahNya. Sakit dunia ini sementara, puasa bukanlah satu kerja berat, tetapi ganjarannya perlu direbut. Solat Dhuha juga telah teman laksanakan pagi ini. Semoga rezeki teman dimurahkan agar dapat teman melangsaikan hutang-hutang teman, agar teman dapat menghapuskan sedikit demi sedikit pergantungan teman terhadap dunia. Dunia ini sementara tetapi isinya penuh dengan perkara mungkar yang boleh memusnahkan kehidupan akhirat yang abadi.
Teman sudah mendaftar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana. Ia bukan kerja mudah. Ia seperti menempah kesusahan. Tetapi ilmu adalah sesuatu yang tiada tolok bandingnya. Antara ahli ibadah dan ilmuwan, kedudukan ilmuwan itu nyata lebih tinggi di sisi Allah. Teman mahu berada di kedudukan yang tertinggi itu. Teman mahu memiliki sarjana, dan kemudia menjadi pensyarah atau pengajar, kenapa, kerana teman ingin berada di kalangan para ilmuwan dan teman yakin di kalangan ilmuwan itu, pasti ramai antara mereka yang tinggi amalan dan ibadahnya sebagai tanda tingginya ilmu. Teman mahu berada di situ. Pekerjaan teman yang sekarang ini adalah fardhu kifayah yang sudah ramai orang Islam yang menceburnya malah kehadiran teman tidaklah sepenting mana. Pekerjaan ini adalah ibadah teman, tetapi dari segi sumbangan, tak banyak yang teman boleh lakukan untuk ummah. Teman mahu menjadi ahli ilmu yang memberi manfaat pada masyarakat. Teman ingin berkhidmat dengan hati yang tulus kerana Allah. Kerja yang menjadi ibadah kepada teman, dan menjadi tunggak kepada masyarakat. Segalanya atas kuasa Allah, semoga diizinkan Allah.
Teman banyak berkorban dalam hidup teman, tetapi apakah nilai pengorbanan jika ia hanya berlandaskan kasih sayang. Ya, ia hanya akan mengundang kecewa. Pengorbanan perlu disandarkan pada Allah, bukan kerana cinta sesama manusia. Semua itu cinta dunia, pengorbanan yang tiada makna. Ia masih boleh diperbetulkan, betulkan niat dan cekalkan hati. Tetaplah berpegang dengan sandaran kerana Allah, maka segalanya akan kembali ke paksi yang benar. Segalanya atas kuasaNya. Ya Allah, bantulah aku yang tiada daya ini. Ajarkan aku hikmahMu.
No comments:
Post a Comment