Monday, 16 May 2011

Percutian ke Pulau Mutiara

Assalamualaikum w.b.t. semua

Teman mintak maaf, teman sudah lama tak mengemaskini dan memperbaharui laman blog teman ini. Teman sebenarnya pergi bercuti. Teman bercuti ke utara semenanjung iaitu Pulau Mutiara. Seronok betul dan terasa masa berjalan begitu cepat. Alhamdulillah teman tetap melaksanakan ibadah-ibadah wajid dan sunat. Tetapi malangnya teman tak berkesempatan mengerjakan solat Dhuha selama 4 hari, dan tertinggal solat tahajjud pada malam akhir teman di sana. Teman dapati, iman teman ada sedikit goyang dan kehilangan nimat beribadah setelah beberapa hari di sana. Mengikut telahan teman, iman yang bergoyang tersebut mungkin kerana teman terlalu banyak bergembira sehingga hilang nikmat ibadah dan perut teman terlalu kenyang, lebih dari yang sepatutnya. Kenyang itu adalah antara sebab manusia bersikap malas, teman memang tidak nafikan. Walaupun teman paksa juga diri ini untuk melakukan ibadah wajib tepat pada waktunya, tetapi solat yang teman lakukan umpama kehilangan roh. Apabila menyedari kepudaran nikmat ibadah tersebut, teman bersungguh-sungguh berdoa pada Allah agar dikembalikan kemanisan iman dan kenikmatan dalam beribadah. Percaya atau tidak, sampai ke saat ini, perut teman terasa padat dan sebu.

Selain khabar iman, teman ingin bercerita sedikit tentang percutian teman ke Pulau Mutiara. Harap-harap ia dapat dijadikan sedikit panduan jika ada yang terbaca entri kali ini.

Hari pertama, kapal terbang teman mendarat di lapangan terbang Pulau Mutiara tepat jam 9.15 pagi. Pukul 10.30pagi, teman sudah terpacak di hadapan hotel yang berada di tengah-tengah kota Georgetown. Selepas meletakkan barang-barang, teman dan sahabat teman berjalan-jalan di sekitar bazar dan sekitar Komtar. Kami membeli asam dan jeruk, memang sangat murah. Jeruk-jeruk tersebut dijual sekitar RM6-8 sekilogram, murahkan? Penat bersiar-siar sekitar Komtar yang menjadi mercu tanda Pulau Mutiara itu, kami menghilangkan penat di Georgetown Kopitiam yang terletak di tingkat bawah Komtar. Teman memesan laksa asam Penang sementara sahabat teman memesan mee udang. Air soya cendol kopi ais menjadi pilihan kami berdua. Makan di sini sedap, tapi tiada keaslian, tidak rasa seperti berada di Penang, makanan sebegini dengan mudah boleh didapati di kopitiam-kopitiam terkemuka yang sedia ada di setiap negeri.

Pukul 1.30, kami kembali ke hotel. Kami berehat-rehat dan tertidur sekali sekala. Kali melakukan solat jamak takdim, senang, takut-takut kami tiada masa di waktu asar.

Pukul 4 petang, kami berjalan ke Komtar, kami mengambil bas Rapid 203 menuju ke Air Hitam. Teman sudah berjanji dengan ibu teman untuk berjumpa di Kampung Melayu, Air Hitam. Sebenarnya kami menaiki bas yang salah, kami sepatutnya menaiki bas 204 untuk sampai ke tempat yang dijanjikan tetapi teman dan sahabat teman tidak memahami laluan bas di pulau ini, asalakan ada perkataan Air Hitam, kami terus naik tanpa berfikir panjang. Penyudahnya, kami terlajak ke tempat yang kami tidak pasti dan berjalan lebih 1 kilometer (mungkin 2 atau 3 kilometer) untuk berpatah balik dan mencari Kampung Melayu. Nasiblah ibu teman tidak menunggu lama. Hilang penat apabila terpandang wajah ibu tercinta dengan kereta barunya. Selepas ini kami tidak perlu menaiki bas atau berjalan kaki lagi kerana kereta ibu sudah tersedia untuk kami.

Ibu teman lapar, beliau tidak makan sepanjang hari kerana mahu makan bersama teman. Beliau menempuh perjalan selama 3 jam untuk berjumpa teman di pulau ini. Ibu saudara yang tinggal di Kampung Melayu juga ada bersama. Ibu saudara teman menunjukkan jalan ke restoran nasi kandar yang terkenal di pulau ini. Memang sedap nasi kandar yang dihidangkan. Teman memilih udang galah yang besar beserta sotong 2 ekor. Kuah kari pelbagai rasa dibanjirkan ke nasi teman dan sayur kobis cincang yang digoreng menjadi pilihan hati. Untuk ibu tercinta, teman pilihkan kepala ikan bawal yang besar beserta sayur bendi rebus. Rasanya memang mantap dan terngiang-ngiang hingga ke saat ini. Maaflah teman terlupa nama tempat restoran ini. Mungkin kerana sedap sangat. Sahabat teman juga tidak kalah dengan memilih udang galah, ikan goreng serta bendi rebus, itu adalah pertama kali beliau merasa nasi kandar yang asli dari bumi Pulau Mutiara malah inilah kali pertama beliau menjejakkan kaki ke pulau ini. Ibu saudara cuma memilih telur dan sedikit sayur kerana beliau sudah kekenyangan, mungkin sudah bersantap di rumah. Papadom menjadi penyedap rasa, air nescafe ais menghilangkan dahaga di tekak.

Selesai nasi kandar, kami berempat bersiar-siar di sekitar pulau. Teman menjadi pemandu setia seperti biasa. Kami melawat Taman Belia yang menjadi pusat riadah warga tempatan. Tamannya cantik dan nyaman. Kelihatan banyak beruk-beruk yang bergayut di pohon-pohon besar, kadangkala mereka singgah di laluan berlari, mungkin menunggu rezeki dari pengunjung. Teman mengambil gambar sebanyak yang mungkin dan mengambil gambar ibu teman bersama adiknya. Sahabat teman juga tidak sudah-sudah menggayakan tubuhnya agar kelihatan cantik dilensa teman.

Selepas itu kami menyusuri jalan-jalan yang sibuk sehingga kami sampai di padang kota. Kami singgah dan menghirup udara laut yang tenang. Ramai manusia bertenggek di tembok padang kota ini, tak kurang juga pendatang-pendatang asing yang halal mahupun haram, mana tau haram?

Kemudian, kami singgah di Padang Broom, kata ibu saudara, nama tempat tersebut adalah Padang Brown tetapi orang tempatan menyebutnya broom. Kami memesan cendol, ais kacang, pasembor dan Char Ho Fan. Kami sangat teruja dan terkejut kerana cendol tersebut sangat sedap dan boleh dikatakan yang paling sedap penah kami rasa. Tertanya-tanya bagaimana mereka melakukannya sedangkan resepinya agak ringkas dan diketahui ramai, tetapi bagaimana yang kami rasa ini berlainan dan sangat sedap? Ais kacang yang ibu teman pesan terdapat aiskrim di atasnya. Wah, memang sedap. Pasembor yang dipesan cuma berharga RM4 tetapi sangat berpuas hati dan tidak mengecewakan. Rasanya memang mantap sekali. Char Ho Fan pula saling tak tumpah dengan Kuew Tiow Hong Kong, boleh dikatakan hampir sama rasanya. Selesai!

Kami kekenyangan. Kami pulang ke hotel pada pukul 10malam setelah menhantar ibu dan ibu saudara ke Kampung Melayu Air Hitam. Kami melakukan solat jamak ta'khir dan segera tidur kekenyangan dan kepenatan.

Hari kedua, teman bangun pada pukul 5.30pagi, teman segera menunaikan solat Tahajud, dan kemudian membaca al-Quran. Setelah masuk waktu Subuh, teman menunaikan fardu wajib tersebut dan kemudian menggerakkan sahabat teman untuk bersolat. Kami tidak menyambung tidur walaupun hujan lebat membaluti suasana subuh pagi. Memang sedap jika kami memilih untuk tidur tetapi teman terasa rugi jika percutian dihabiskan di katil. Teman sudah terbayang-bayang nasi kandar Kampung Melayu yang sangat terkenal itu.

Pukul 7.45pagi, kami sudah berada di Kampung Melayu, kami berdua terus bersarapan nasi kandar di situ. Ibu teman pasti sudah bersarapan bersama adiknya. Teman memilih limpa, perut dan sayur bendi rebus, sementara sahabat teman memilih ikan. Bersama nescafe tarik, kami menikmati sarapan kami dengan penuh nikmat.

Apabila selesai bersarapan, teman terus pergi ke rumah ibu saudara teman, memang benar mereka telah bersarapan nasi lemak pagi itu.

Pada pukul 9.30 pagi, teman, sahabat teman dan ibu teman sudah terpacak di kaki Bukit Bendera. Ibu saudara teman yang seorang lagi yang tinggal di Jelutung ingin turut serta menaiki Bukit Bendera. Bersamanya ada sepupu teman, anak sepupu teman serta anak saudara teman yang dijaga ibu saudara teman itu, dapatlah ibu berjumpa dengan cucunya. Keretapi kami bergerak ke atas pada pukul 10pagi. Setiap kabin sesak dengan pelancong. Suasana sejuk dan berkabus, kadangkala sedikit hujan renyai membasahi bumi. Perjalanan selama 15 minit berakhir di puncak Bukit Bendera. Kami kemudia menaiki kereta kecil seperti kereta yang digunakan di padang golf, teman membayar RM30 untuk kereta tersebut, kami kemudia dibawa ke sekitar Bukit Bendera dan subhanallah, pemandangannya sangat cantik. Teman abadikan pemandangan cantik di lensa kamera teman. Terdapat peti pos yang berusia 150 tahun dan terletak berhampiran sebuah banglow ynag dikelilingi pokok-pokok bunga yang sangat cantik.

Kami tidak lama di atas, pukul 11.30 pagi, kami turun ke kaki bukit kembali. Bapa saudara teman sudah menunggu dan kami berkonvoi ke sebuah kedai makan berdekatan Kampung Melayu yang menghidangkan juadah-juadah tempatan. Harganya sangat murah iaitu RM34 untuk keseluruhan makanan untuk 6 dewasa dan 1 orang kanak-kanak 7 tahun. Sambal belacannya sangat sedap dan asli, tidak terdapat di selatan tanah air. Ulam-ulaman dan ikan keli menjadi pilihan yang menyelerakan. Kuah kari ditabur di atas nasi, menambahkan rasa nikmat ynag tak terhingga. Rasa karinya tidak sama seperti di selatan, rasanya lebih asli dan sedap.

Kami kemudiannya menuju ke kondominium tepi laut di Jelutung milik ibu saudara yang menjaga anak saudara teman itu. Ibu akan tidur di situ malam ini. Kami berehat-rehat dan bermain dengan anak saudara teman yang berusia 6 bulan itu. Kami menunaikan solat jamak takdim di situ.

Pukul 3petang, teman, ibu teman dan sahabat teman keluar lagi, kali ini menuju ke Queensbay Mall. Di Queensbay Mall, teman singgah di JCO dan membeli donut pelbagai rasa, teman tahu ibu pasti suka. Teman juga membeli ais yogurt yang ditaburi dengan buah strawbei, peach dan longan. Ibu teman sangat-sangat suka kerana beliau sudah biasa dengan makanan kampung, sekali sekala dapat merasa makanan sebegini memang menggembirakannya. Selepas sejam berada di situ, kami menuju ke Seberang Perai. Kami memilih Jusco Perda, berhampiran Bukit Mertajam sebagai destinasi membeli beberapa barangan. Ibu teman memang gemar mengumpul beg tangan, lalu teman belikannya sebuah beg tangan sebagai hadiah Hari Ibu. Teman dan sahabat teman juga membeli beg tangan untuk diri masing-masing.

Jam menunjukjan jam 5.30 petang. Kami teringin untuk merasa mee udang buatan tempatan lalu kami menuju ke stesen bas Butterworth. Di situ terdapat banyak gerai makanan, kami memilih tempat yang menghidangkan mee udang lalu kami memesannya. Agak sedap tetapi tidaklah signifikan. Biasa-biasa sahaja. kami sempat membeli pelbagai jenis jeruk dan asam di salah sebuah gerai mak cik yang baik hati. Jeruknya adalah buatan sendiri dan beliau tidak lokek memberi kami merasa semua jenis asam jeruk di situ. Teman tidak ketinggalan membeli sejenis asam yang sudah lama teman tidak jamah iaitu asam katuk. Asam ini hanya terdapat di utara.

Kami kemudian bergerak ke arah feri. Sahabat teman berasa kagum kerana feri itu boleh memuatkan sejumlah kereta dan motosikal. Di bahagian atasnya pula ada penumpang yang tidak berkenderaan. Ada juga feri yang disedikan hanya untuk kenderaan di atas mahupun di tingkat bawah feri tersebut. Apabila feri berlabuh, kenderaan berderum-derm beratur memasuki feri. Kereta diparkir dan enjin segera dimatikan. Pastikan brek tangan dinaikkan. Kami mengunci kereta dan menuju ke bahagian depan feri, terasa air laut begitu dekat. Sahabat teman adalah orang yang paling gembira dan kagum pada saat itu dan tidak habis-habis menyatakan keseronokannya berada di atas feri tersebut. Teman dan ibu teman sudah biasa, ini tempat kami. Dari kecil teman sudah biasa menaiki feri ini, dahulu jambatan tersebut belum siap jadi feri adalah pengangkutan utama keluar masuk ke pulau.

Kami tiba di kondominium ibu saudara teman pada pukul 9 malam. kami sesat ketika mencari bangunan kondo tersebut. Apabila kami sampai, kakak teman sudah berada di situ sedang bermain dengan anaknya. Kami berehat-rehat dan kemudian teman dan sahabat teman pulang ke hotel.

Hari ketiga, seperti biasa teman bangun pukul 5.30 pagi dan menunaikan solat Tahajud dan kemudiannya solat Subuh. Kemudian teman menggerakkan sahabat teman untuk menunaikan solat. Kami tertidur kembali kerana masih mengantuk. Pukul 7.30 kami bangun dan bersiap.

Destinasi pertama teman pada hari itu adalah Road Walk. Road Walk adalah tempat yang terkenal di sana. Ia menjual segalanya dan terdapat banyak barang terpakai yang dijual di situ. Tujuan teman ke situ adalah untuk pergi bersarapan di sebuah restoran yang diperkenalkan abang teman. Restoran itu ada pelbagai juadah sarapan tempatan. Terdapat nasi ayam yang ayamnya digoreng dengan rempah dan kelihatan sangta sedap. Ada nasi berlauk, ada nasik lemak berlauk, ada rojak mamak dan yang paling istimewa adalah Kuew Tiow Th'ng. Penyediaan Kuew Tiow Th'ng ini agak mudah tetapi rasanya sangat sedap. Sahabat teman memesan Kuew tiow Th'ng tersebut sementara teman memesan nasi lemak berlauk. Memang sedap dan berbaloi. Kami cuma membayar RM10 sahaja termasuk dengan nescafe tarik yang kami pesan.

Kami kemudia berjalan-jalan di Road Walk sambil membeli beberapa ole-ole. Pukul 11pagi, kami sudah pun berada di kondo ibu saudara. Ibu teman sedang bermain dengan cucu. Sempat juga sepupu teman memasang cerita Hantu Mak Liman. Boleh tahan juga filem Melayu. Ibu teman sangat suka dengan filem itu. Pukul 1 tengah hari, kami bertiga keluar, kali ini kami berniat untuk pusing satu pulau. Kereta menghala ke Batu Feringgi dan Tanjung Bungah. Kami berhenti di batu Feringgi, jalannya sunyi mungkin kerana semua orang sedang bekerja dan orang-orang Islam pula sedang menunaikan solat Jumaat. Kami berhenti di sebuah restoran di tepi pantai, kami berehat di situ ditemani air kelapa dan rojak petis. Kami menyambung perjalanan dan akhirnya berhenti di sebuah empangan. Suasananya cantik dan nyaman dan kami mengambil beberapa keping gambar di situ. Kami tidak berhenti lama, kami terus menyusuri jalan yang berbengkang bengkok itu menuju ke Balik Pulau. Kami tidak berhenti di Balik Pulau, kami hanya berhenti di sebuah bukit sebelum sampai di Relau. Bukit itu sangat indah, kelihatan seluruh Balik Pulau dari situ. Di situ terdapat kedai makan dan gerai buah-buahan. Ada durian! Itu adalah buah kegemaran teman! Teman bernasib baik kerana durian tersebut adal durian dari Changlun, Kedah dan isinya kuning keemasan. Rasanya sangat sedap, sedikit pahit dan sangat lemak.

Pukul 4.30 petang, kami sampai di Kampung Melayu Air Hitam. Ibu saudara sudah menunggu. Beliau sudah menyediakan masakannya yang sangat sedap, beliau sendiri adalah bekas tukang masak di pulau itu. Beliau menghidangkan kami Masak Lemak Cili Api Jantung Pisang, Gulai Daging Pekat, Dalca Daging dan ikan masin pelbagai jenis. Semuanya sedap dimakan bersama nasi yang panas. Kami sangat puas dapat menyantap makanan sesedap itu. Teman sempat menunaikan jamak ta'khir di situ sebelum perut penuh diisi dengan santapan lazat tersebut.

Sebelum maghrib, kami bertolak pulang ke kondo. Ibu saudara keluar bersama sepupu dan bapa saudara teman untuk mengambil barang mereka di rumah lama. Dan kami dirumah berehat-rehat sambil menonton filem Ngangkung. Dan kemudiannya tertidur selepas menunaikan solat jamak. Pukul 1.50pagi, teman dan sahabat teman dikejutkan oleh ibu saudara teman. Di ruang tamu telah terhidang makanan yang lazat-lazat, seolah-olah semuanya mimpi. Ibu, kakak dan sepupu sedang bersila menunggu kami berdua. Rupa-rupanya, sekembalinya ibu saudara ke rumah, beliau terus memasak dan mahu memastikan kami makan malam di rumah walaupun sudah terlambat. kami dihidangkan dengan ulam-ulaman, sambal belacan, ikan masing, ikan cencaru serta kari kepala ikan. ia sangat menyelerakan walaupun pada pukul 2 pagi seperti itu. Kami membasuh muka dan berkumur, terasa seperti bangun sahur pula. Ibu saudara memang sudah biasa memasak di tenagh-tengah malam kerana bapa saudara sering lapar di tengah malam. Katanya, pukul 2 pagi dikira wal berbanding kebiasaannya yang memask sekitar pukul 4 pagi. Patutlah kami dikejutkan tanpa rasa bersalah. Habislah diet kami. kami makan dengan berselera dan bertambah nasi. Masakan yang jarang-jarang jumpa di selatan.

Kami sambung tidur dan tidak larat lagi pulang ke hotel. Mungkin kerana terlalu banyak makan, teman terlepas solat tahajud. Teman dikejutkan ibu pada pukul 6.15pagi dan terus sahaja menunaikan solat Subuh. Kemudian tertidur lagi. Pukul 7.30 teman dan sahabat segera keluar dari kondo untuk pulang ke hotel, tetapi sahabat teman teringin mahu menjamah sarapan di Road Walk. Kami terus menuju ke Road Walk dan bersarapan di situ. Sahabat teman memesan Moi Th'ng, ia sejenis bubur berkuahkan sup yang sedap. Teman pula hanya mengambil nasi lemak bungkus kerana ia bersaiz kecil dan teman belum terlalu lapar. Nasi lemak itu kecil tetapi sangat sedap, lebih sedap dari nasi lemak berlauk semalam.

Pukul 8.30, kami sudah berada di bilik hotel. kami harus mendaftar keluar secepat mungkin kerana hari ini adalah hari terakhir kami di sini. Kapal terbang kami bertolak pukul 4 petang nanti dan kami perlu berada di lapangan terbang sejam lebih awal. Kami tiba kembali di kondo ibu saudara sekitar jam 10 pagi. Teman membawa kakak, anak saudara, ibu dan sahabat teman bersiar-siar di Bayan Baru, niat teman adalah untuk membawa ibu dan kakak teman bersarapan kerana mereka belum menjamah apa-apa makanan sejak pagi tadi. kami singgah di Giant Bayan Baru, di situ  kami memesan cendol, ais kacang dan yong tau fu yang sangat sedap. Kemudia kami membeli sedikit ole-ole dan pada pukul 12.30tengah hari, kami singgah di sebuah restoran yang menghidangkan pelbagai makanan tengah hari termasuklah segala jenis ikan bar, lauk pauk tempatan, ulam-ulaman, kari, dan pelbagai aneka sambal. Teman mengambil ikan keli bakar, pari bakar (kegemaran ibu), sotong masak sambal, ulam-ulaman, ikan masin, kuah kari dan sambal-sambal. Mereka makan dengan gembira dan berselera, tiada apa yang berbaki.

Pukul 1.30 petang, kami kembali ke kondo tersebut. Alamak, ibu saudara sudah menyediakan makanan tengah hari. kami melengah-lengahkan masa agar kami hanya menghadap makanan tersebut selewat yang mungkin kerana masih kenyang. Pukul 2 petang, ibu saudara mula menghidangkan makanan. Setelah selesai solat, kami ke meja makan dan masakan ibu saudara membuka selera kami kembali. Gulai labu, kari ikan, ulam-ulaman, sambal belacan dan ikan goreng benar-benar menaikkan selera. Kami bersantap lagi entah kali yang ke berapa. Kami makan seolah-olah kami memang lapar, bukannya apa, makanan yang terhidang memang sangat menyelerakan. Kopi O ais menyedapkan tekak.

Selesai makan, teman, ibu teman dan sahabat teman meninggalkan kondo tersebut dengan perut ynag kekenyangan. ksami sampai di lapangan terbang pada pukul 3 petang dan ibu teman terus sahaja pulang ke kampung yang mengambil masa 3 jam perjalanan. Semasa teman sedang menunggu di ruang berlepas, beliau menelefon untuk memberitahu beliau sedau sampai di Juru. Teman sampai ke selatan pada pukul 5.15 petang dan ibu teman masih belum tiba di kampung. Beliau tiba pada pukul 7petang dan selamat sampai ke pangkuan ayah teman, alhamdulillah.

Percutian kali ini memang penuh dengan acara makan-makan. Memang begitulah Pulau Mutiara, ia dikenali sebagai syurga makanan. Teman beruntung kerana segalanya dipermudahkan Allah, cuma teman terkilan kerana teman hilang nikmat beribadah semasa di sana. Teman mesti segarkan kembali jiwa teman terhadap yang Esa. Alhamdullah, semalam teman kembali menunaikan solat-solat sunat yang tertinggal sepanjang berada di sana. Semoga teman sentiasa berada di bawah lindungan Allah. Dan mohon agar janganlah hati ini berpaling dariNya walau sesaat. Terima kasih Ya allah di atas percutian ini dan ampunkan dosaku.

No comments:

Post a Comment