Thursday, 30 June 2011

Surau

Assalamualaikum wbt dan salam petang buat semua,

Surau di tempat kerja teman boleh tahan besar, muat 3 saf termasuk orang yang nak melepak-lepak di belakang 3 saf itu. 1 saf boleh muat 3 orang dalam kedudukan renggang dan selesa, kalau berimam, mungkin 4-5 orang muat 1 saf. Surau ini dilengkapi penghawa dingin, deretan almari di bahagian belakang dinding surau, di bahagian kanan pula almari kaca yang tinggi dan cantik, terdapat al-Quran, kitab surah Yasin dan tafsir di dalamnya. Bahagian kiri pula ada rak telekung dan juga tempat menyalin pakaian, ada pembahagi mudah alih seperti yang kita lihat di hospital kerajaan. Di bahagian hadapan pula ada papan putih yang ditulis dan ditampal ayat-ayat al-Quran dan doa-doa, ada pen marker dan pemadam diselitkan di para kecil papan putih itu. Ini baru di dalam, diluar pula ada satu tandas dan bahagian mengambil wuduk yang boleh memuatkan 2 orang dalam satu masa. Terdapat juga singki dan cermin yang boleh memuatkan 2 orang dalam satu masa. Senang cerita, ia adalah surau impian di tempat-tempat kerja, sangat selesa, lengkap dan indah. Tapi teman pernah nampak surau yang jauh lebih besar dan cantik, ianya terdapat di sektor-sektor kerajaan. Surau mereka sangat besar dan kadang-kadang ada program tazkirah diadakan, seronok bukan? Walaupun anda bekerja, anda tetap boleh bersolat dan mendengar tazkirah, teman mengidamkan surau sebegitu di tempat kerja. Namun teman masih bersyukur kerana walaupun tiada tazkirah, surau itu tetap selesa.

Dalam keselesaan, tetap ada juga yang tak menyelesakan. Bukanlah keadaan fizikalnya, tetapi ruh surau itu sendiri. Surau ini nampak imarah dengan kehadiran jemaah-jemaah yang bersolat sunat dhuha seawal 8pagi, ramai juga yang bersolat dhuha di sini, teman anggarkan mungkin dalam dekat 10 orang, mungkin. Ia adalah 5% daripada pekerja-pekerja Muslimah yang ada di sini, untuk si hero, teman tak pasti. 10 orang itu tak termasuk orang yang solat dhuha pada waktu selain 8 pagi ini, teman sendiri memilih untuk solat pada pukul 8.45pagi, dan pernah terserempak dengan seorang wanita dari jabatan lain yang teman kira mempunyai masa tetap dalam 9 pagi.

Berbalik kepada ruh surau tersebut, pada waktu makan tengah hari, ada dalam 5-6 orang yang akan tidur di situ dan lampu pula ditutup. Kiranya jika ada orang yang mahu mengaji al-Quran sebagai ganti waktu rehat tengah hari, lupakan sahaja niat itu kerana jika anda membuka lampu, nahaslah. Mereka hanya akan membuka lampu tersebut pada pukul 1.15pm. Jika Zuhur masuk pukul 1.05pm, anda mesti menunggu sehingga 1.15pm, barulah anda berpeluang untuk solat. Kini, cabaran bermula. Lampu dibuka dan mulut mereka juga terbuka. Mereka akan bercerita pelbagai kisah, pukul 1.20pm, semakin ramai yang hadir untuk solat. Tetapi sebelum mengambil wudhuk, pelbagai topik akan dibuka. Masa itulah segala gossip di tempat kerja dibongkarkan, cerita-cerita rakan sekerja yang tak memuaskan hati juga terkeluar sekali sekala, isu anak-anak, rumah dan tanam-tanaman, semuanya nak diceritakan. Bila mengangkat takbir, niat di hati bagai berperang dengan suara-suara orang yang ghairah bercerita. Sedih, sangat sedih. kalau orang yang kuat imannya, suara-suara yang datang mungkin mudah ditepis kerana tebalnya iman mengundang rasa khusyuk yang mendalam. Namun bagi 'budak baru belajar' tentang khusyuk solat, ia adalah satu perjuangan yang hebat.

Dahulu teman bersolat Zuhur di hujung-hujung waktu. Adakalanya, sambung terus dengan Asar. Semakin hujung waktu solat, semakin mencabar kategori orang yang datang bersolat di situ. Di hujung-hujung waktu, bualan mereka lebih rancak, tawa yang nyaring membelah suasana surau, mungkin surau Muslimin di sebelah juga boleh terdengar hilaian tawa ini. Gossip-gossip yang diperkatakan juga semakin ganas, adakalanya mengutuk kumpulan 'kakak-kakak' yang bersolat di awal waktu. Suara mereka sangat deras dan kadangkala, orang yang solat itu boleh menyambung perbualan selesai sahaja salam, maknanya apa, maknanya dia mengikuti perkembangan perbualan itu semasa dalam solatnya.

Golongan yang bersolat di awal Zuhur pasti akan bertemu orang-orang yang sama di awal Asar. Namun orang-orang yang bersolat di akhir waktu Zuhur, pasti tidak kelihatan lagi di waktu Asar. Ada 2 orang yang setia menjadi ahli akhir solat Zuhur, berehat 10minit dan terus mendirikan Asar apabila masuk waktu Asar. Golongan apakah ini ya?

Di manakah ruhnya sebuah surau, jika ayat-ayat al-Quran tidak berirama di sini. Bacaan-bacaan itu cuma ada di dalam solat, tetapi tidak lebih dari itu. Selain solat, aktiviti yang ada adalah tidur, berbual, ketawa, gossip, dan kadang-kadang meniaga! Masya-Allah. Teman pula, hanya orang yang hanya mampu berkata-kata di blog ini, tetapi tak ada keberanian meluahkannya di hadapan khalayak surau itu. Hina sungguh teman, selemah-lemah iman!

No comments:

Post a Comment