Friday, 24 June 2011

2 jam 10 minit...Tarbiyah Allah

1. Hari-hari, di dalam doa, di dalam solat, di dalam surah al-Fatihah yang dibaca, kita meminta petunjuk dari Allah. Kita minta Allah tunjukkan jalan yang lurus. Bila kita minta Allah menunjukkan kita jalan yang lurus, bermakna kita sudah atau perlu bersedia menerima petunjuk dan teguran Allah agar kita tetap di jalan yang lurus seperti yang kita pinta dan doa. Mungkin kadangkala, kita ucapkan doa itu sekadar rutin bahasa-bahasa doa yang afdhal diungkapkan, namun seberapa jauh penerimaan kita, wallahua'lam. Bila ada orang datang menegur sikap kita, kadangkala melenting, timbul rasa sakit hati dan malu kerana ditegur. Tapi tidakkah kita sedar bahawa Allah menjawab permohonan kita agar diberi petunjuk?

2. Mengapa perkara di atas teman sentuh? Kerana hari ini, teman ditegur Allah daripada pukul 11.30 pagi, sehingga 1.40 petang. 2 jam 10 minit, teman ditarbiyah Allah dengan caraNya yang tak terlintas dek akal fikiran kita manusia biasa, bodoh dan hina ini.

3. Selama ini hati terbuku dengan pelbagai luahan yang tak terluah dek kata-kata. Segala teka teki cuma berlegar di benak, tidak di bibir. Melalui ayat, 'Dengan orang kafir, hendaklah kamu bertegas', ekspresi teman merealisasikan ayat tersebut dengan pemahaman yang jumud. Namun kemudian, selepas sekian lama memahami dengan cara yang jumud itu, 2 hari lepas teman ternampak ayat, 'kepada yang meminta pertolonganmu, janganlah kamu herdik'. Diteguhkan dengan cerita di radio IKIM mengenai sikap berlemah lembut dengan orang kafir, maka pemahaman jumud itu disangkal sedikit demi sedikit. Ia hasil doa,"Ya Allah, berilah aku kefahaman yang mendalam terhadap agamaMu dan hikmah-hikmahMu".

4. Di dalam doa, " Ya Allah, berilah aku pekerjaan yang terbaik", ia adalah lontaran doa dek kerana rasa yang tidak selesa terhadap pekerjaan sekarang. "Ya Allah, manfaatkanlah masa ku bekerja dan jadikan pekerjaanku ibadah terbaikku", ia adalah doa yang meluncur dari hati kerana semangat kerja yang kian menurun kerana keadaan yang dirasakan tidak selesa. Semuanya Allah jawab melalui tarbiyah 2jam 10minit itu.

5. Ya Allah, terima kasih atas petunjukMu.

6. Apa yang berlaku selama 2 jam 10 minit itu? Teman dipanggil ketua jabatan teman yang bukan Islam. Pada mulanya ia adalah sebuah pergaduhan yang besar, namun akhirnya segala rasa hati yang terbuku selama ini teman hamburkan kesemuanya sehingga ketua teman terkejut. Dan akhirnya dari sebuah pergaduhan yang hangat bertukar menjadi perbincangan dari hati ke hati dan berakhir dengan ucapan maaf. Orang bukan Islam itu menegur teman, dan teman akhirnya tersedar bahawa sikap teman yang terlalu tegas itu di salah faham oleh orang sekeliling. Allah mentarbiyah teman melalui seorang yang bukan Islam kerana selama ini dalam diam teman melukakan hati orang-orang bukan Islam dengan cara yang tidak teman sengajakan. Walaupun niat teman adalah untuk berterus terang, bertegas, dan tidak mahu bersikap hipokrit, tetapi ia bukanlah apa yang dianjurkan Islam. Islam mengajar tentang sabar, dakwah bil hal, iaitu dakwah dengan menunjukkan akhlaq yang baik, dan Islam mengajar tentang berlemah lembut dan berbuat kebaikan kepada semua orang tak kira ia beragama Islam atau tidak. Dan akhirnya Allah hantar orang bukan Islam juga yang menegur teman. Sepanjang 2 jam 10 minit, segala doa teman telah terjawab.

7. Ya Allah, ampunkan segala dosaku.

No comments:

Post a Comment