I am the servant of Allah, someone who has nothing, no wealth, no power, no excitement, a little knowledge, I am nothing.
Thursday, 16 June 2011
Sementara
Hidup ini sementara. Itu memang semua orang tahu, tapi pernahkah kita berfikir tentangnya secara mendalam. Teman pun, baru hari ini, selama 30tahun hidup, kali pertama mahu memikirkan hal ini sedalamnya, tidaklah dalam sangat, cuma baru teman perasan hakikat itu. Masa berjalan dan terus berjalan, membuatkan kehidupan ini nampak singkat. Kehidupan mengalami fasa-fasa tertentu dan kita bergerak mengikut perubahan yang kita alami fasa demi fasa. Bagaikan semalam teman bermain dan bergaduh dengan abang teman, melihat kakak dan abang berlari dan bergaduh. Teman baru berusia 4 tahun, tetapi masih terkenang kakak teman balik membawa buah ceri yang dijumpainya ketika dia dalam perjalanan pulang dari sekolah. Abang dan kakak terpaksa berjalan kaki sepanjang 5 kilometer kerana tiada siapa yang mengambil mereka dari sekolah, mereka kelihatan penat dan letih tetapi sempat menghulur buah ceri buat teman yang masih kecil. Seketika cuma ia berlalu begitu sahaja. Beberapa tahun kemudian, tiada lagi tempat bermain, kakak dihantar ke asrama, yang tinggal cuma abang, itulah kawan bergaduh dan bermain, masih segar diingatan mengayuh basikal ke sekolah bersama abang lalu jatuh di tepi jalan raya dan di langgar basikal kawan abang dari belakang. Sakitnya seolah-olah masih terasa hingga ke hari ini. Beberapa tahun kemudian, teman dan abang pula yang ke asrama, kakak pula di rumah. Tiada lagi saat kami 3 beradik berkumpul bersama, segalanya berlalu sekelip mata. Kadangkala rasa terkilan, seolah masa terlalu sempit buat teman merasa keindahan hidup bersama di bawah satu bumbung dengan mak ayah dan adik beradik. Ia terlalu sekejap dan benarlah ia sementara. Masa terus berlalu, ada yang ditinggalkan dan ada yang meninggalkan. Selepas beberapa tahun, abang dan kakak bekerja di utara tanah air, sedang teman masih bersekolah di asrama di sempadan kota. Dan akhirnya, mereka berkelurga dan teman pula terus mendaki puncak menara gading, yang kadangkala kaki tergelincir, namun puncak itu tetap terus dipanjat. Beberapa tahun kemudia, teman bekerja di selatan tanah air, abang di pertengahan antara utara dan selatan, dan kakak pula di utara tanah air. Ibu dan ayah akhirnya berdua sahaja di kampung, menghabiskan sisa-sisa hidup yang ada. Ia terlalu sementara, segalanya kejap dan cepat berlalu. Kini usia teman 30 tahun, teman akan terus melangkah dan akan mula kehilangan orang-orang tersayang atau diri teman sendiri yang hilang, itu lumrah. Tetapi kerana itulah kehidupan yang sementara ini usahlah dipuja-puja. Buanglah sikap 'hubbu ad-dunya'. Yang kekal itu negeri akhirat. Yang sementara ini usah dirai dengan kelalaian, namun platform sementara ini adalah paltform untuk membuat persediaan untuk alam yang kekal sana. Masa berjalan, tetapi adakah amal di dada sudah penuh? Bersediakah kita untuk hilang dan kehilangan? Ya Allah, ampunkan aku dan jadikanlah aku seorang yang alim dan abid. Hidupku, matiku, adalah untukMu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment