Monday, 20 June 2011

Mulakanlah Sesuatu Dengan Nama Allah kerana Allah Sebaik-baik Penolong

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat pagi buat semua,

 

Alhamdulillah, sesungguhnya Allah Maha Besar, Maha Suci Allah dan segala puji bagi Allah yang menjadikan ala mini sangat indah. Nikmat yang terlalu hebat, diberikan kita kehidupan yang serba cukup dan dihidupkan lagi hingga ke hari ini. Alhamdulillah.

 

Seawal pagi, teman bersiap untuk pergi bekerja. Ketika membuka pagar rumah, teman bacakan “Bismillahi tawakkaltu ‘alallah, walaa haula walaa quwwata illaa billah” dan kemudian bersiap sedia untuk memandu kereta kecil teman itu. Masuk sahaja gear, terus sahaja mulut terkumat kamit membacakan doa menaiki kenderaan. Ia adalah jasa radio IKIM kerana sering melagukan doa menaiki kenderaan dendangan Munif Hijjaz sehinggakan teman terhafal dengan mudah, ia kerja Allah, memberi nikmat menghafal dengan mudah dengan kaedah lagu. Kemudian, enjin berderum dan kereta meluncur di atas jalanraya. Teman membaca ayat Kursi sebanyak 3 kali sambil menghayati maknanya, walaupun kadangkala penghayatan itu tenggelam timbul, namun apabila tersedar bahawa ia tidak di baca dengan hati, terus teman cuba menumpukan perhatian terhadap makna surah ringkas itu. Selepas itu, jika teringat, teman bacakan ayat 129 dari surah at-Taubah. Kemudian radio dibuka, sering sahaja lagu-lagu zikir dari Hijjaz menjadi pilihan, namun hari ini teman memilih CD Mawaddah. Selepas 10 minit memandu, sahabat teman menghantar sms dan memberitahu bahawa lebuhraya yang sering teman gunakan berkeadaan sesak teruk. Kuasa Allah sangat hebat, teman mendapat sms tersebut dari jarak 1kilometer dari lebuhraya alternatif yang boleh mengelakkan lebuhraya sesak itu. Jalan alternatif ini lebih panjang dan memakan masa, tapi ia lebih baik daripada terperangkap berjam-jam lamanya. Allah menghantarkan berita itu tepat pada masanya. Itulah ganjaran jika memulakan perjalanan dengan nama Allah dan ayat-ayat suci al-Quranul Karim. Cukuplah Allah sebagai Penolong, itulah yang termaktub dalam ayat yang teman amalkan dari ayat 129 dari surah at-Taubah. Allah sebaik-baik Penolong.

 

Akhirnya teman dapat mengambil sahabat teman dirumahnya dan sampai di tempat kerja dengan cepat dan Selamat. Jalanraya nampak lengang kerana sesak di kawasan sebelumnya. Ada lori yang melintangi lebuhraya tersebut dan hanya motosikal sahaja yang lepas. Sampai di perkarangan pejabat, sahabat teman menghulurkan sedikit wang sebagai duit minyak, teman tak minta pun kerana teman ingin anggap pertolongan teman sebagai sedekah, namun niat itu tak menjadi kerana diganti dengan rezeki yang dihulur tanda penghargaannya, terima kasih sahabat, teman tak minta tetapi teman anggap ia rezeki dari Allah. Allah Maha Penyayang, sentiasa menolong teman dan memberi rezeki yang tidak disangka-sangka. Kerana itulah teman harus selalu sujud sebagai tanda syukur atas segala nikmat yang diberi.

 

Kepada seisapa yang membaca, yakinlah pada pertolongan Allah kerana Dia sebaik-baik Penolong. Mulakan apa sahaja kerja yang anda mulakan dengan nama Allah dan ayat-ayatNya. Semoga anda sentiasa berada dalam Rahmat Allah.

No comments:

Post a Comment