Allah Engkau Dekat, Penuh Kasih Sayang.
Sayu hati ini…mengenangkan kasih sayang Allah yang tak terhingga buat hamba-hambaNya, termasuklah hambaNya yang hina seperti teman ini. Teman ingin berkongsi cerita tentang kasih sayang Allah yang berlaku semalam. Semoga cerita kecil ini memberi makna kepada pembaca yang membaca entri ini. Ia bukanlah cerita yang hebat, ia cuma pengalaman biasa dari insan yang tak punya apa-apa seperti teman.
Jam menunjukkan jam 11 pagi, perut berkeroncong minta diisi. Bila berseorangan begini, jadual makan jadi tak teratur. Sehingga 11 pagi, masih belum bersarapan, hari pula sudah tinggi. Ah, kena makan ni! Kunci kereta teman capai, rumah dikunci rapi dan kereta meluncur laju di jalan raya mencari sesuap nasi. Sempat juga teman singgah di kedai berdekatan membeli beberapa barangan rumah, tangan pula gatal nak menyentuh barang yang tidak ada dalam senarai keperluan. Tiba-tiba terdetik peringatan di kotak pemikiran,’buat apa beli benda yang kurang perlu, bukankah Allah berpesan, janganlah kamu berlebih-lebihan’. Barang itu diletakkan kembali. Akhirnya hanya 3 barang sahaja yang teman beli, benda yang betul-betul perlu. Kemudian teman meneruskan pencarian kedai makan, dalam hati berdoa moga hikmah Allah membawa diri ini memilih yang halal, jika ada yang tidak halal, mohon dikurniakan ilham untuk tidak mengambil makanan yang tidak halal itu dengan apa-apa cara sekalipun. Kita sememangnya mampu mencari dan memilih yang halal, tetapi sejauh mana kedai makan itu memastikan kebersihan dan kehalalannya, hanya Allah yang tahu, kerana itulah kita perlu berdoa kerana ia diluar batasan pemikiran kita, ia ilmu Allah, maka kepadaNya kita meminta petunjuk. Dia Maha Mengetahui.
Kedai mamak A, ‘reject’! Sebabnya? Sebuah kedai mamak Islam yang besar dan cantik, pelanggan kurang, itu tak mengapa, tetapi pilihan makanan cuma nasi kosong dan kari ayam, itu sahaja? Mana sayur? Oh, inikah adat orang berniaga? Tak hairanlah pelanggannya sedikit, terlalu sedikit. Kereta meluncur lagi mencari kedai makan yang lain. ‘Ya Allah, berilah petunjuk’.
Kedai B, wah, ada kari ayam, kari ikan, ada dalam lebih 5 jenis lauk, sayur pun ada banyak pilihan. Ya, inilah tempat yang tepat! Teman mencapai pinggan, memilih ayam goreng seketul, kuah kari ditaburkan ke serata nasi putih dan sayur bendi menjadi pilihan,’lama tak makan sayur bendi’. Seorang pelayan mamak singgah di meja, air limau ais meluncur laju di bibir tatkala mamak mengambil pesanan.
Doa jangan lupa, getus hati kecil teman. Makanan teman pada waktu itu terasa sangat nikmat. Walaupun berseorangan, hati tetap rasa tenang. Air limau ais membasahkan tekak, ia sangat lazat. RM5.90 dihulur setelah selesai menjamah kesemua hidangan yang teman ambil. Setelah kembali ke kereta, tiba-tiba hati berkata,’eh, teringin pula nak makan durian’. Enjin dihidupkan dan kereta bergerak perlahan bergerak ke arah sebuah lokasi yang sering menjaja durian hampir setiap hari. ‘Eh, mengapa tidak buka pula hari ini?’ Hati tertanya-tanya tetapi tidak lama, kerana teman faham, ini semua takdir dan rancangan Allah. Teman tersenyum sahaja, mungkin Allah tak bagi teman beli durian hari ini, Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya. Teman pulang terus ke rumah, tiada rasa terkilan kerana redha dengan apa yang diputuskan Allah.
Kereta diparkir di halaman rumah. Keluar sahaja dari kereta, deria bau teman menangkap bau durian dari rumah jiran sebelah yang berbangsa Cina, wah, sedapnya bau. Tak mengapalah, bau pun jadi. Tergetus di dalam hati, mengapa Allah menyampaikan bau durian jiran sebelah ini ke hidung teman? Pasti ada hikmahnya tetapi teman biarkan persoalan itu berlalu tanpa jawapan.
Jam menunjukkan jam 6 petang. Seorang sahabat menelefon ingin singgah di rumah teman. Tak sampai 10 minit, sahabat teman itu sampai di hadapan rumah. Ditangannya ada beg plastik hitam yang besar. Masya-Allah, ada durian kampung 2 biji. Baunya sangat wangi dan ia mudah dibuka kerana penjual durian tersebut telah membelah belahan durian itu sedikit, senang untuk dikupas. Teman menyimpan sebiji untuk budak rumah teman yang akan pulang dari kampung. Sebiji lagi teman buka, isinya kuning dan durian itu adalah antara gred yang terbaik. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Dia Maha Mengetahui. Rupa-rupanya Allah tak bagi teman keluar duit untuk membeli durian, kerana Allah menghantar durian percuma yang sangat sedap, ia adalah hadiah Allah yang sangat bermakna. Benarlah konsep syukur yang Nabi SAW ajarkan, kalau kita bersyukur, Allah beri lebih lagi. Terima kasih Allah, teman dapat merasakan betapa sayangnya Allah buat hambaNya, tetapi mengapa manusia sering kufur dengan nikmat yang Allah beri? Termasuklah teman. Ya Allah, ampunkan aku. Dan jadikan aku hambaMu yang sentiasa bersyukur.
No comments:
Post a Comment