Sejadah
Di surau tempat kerja teman, apabila sampai waktu solat Zuhur dan Asar, ramai yang sudah mula memenuhi surau. Ia satu suasana yang menyenangkan, kerana solat di awal waktu ini memang wajib, malah Allah berfirman di dalam al-Quran, menyuruh agar kita solat di awal waktu. Itu adalah sifat orang Mukmin, orang Mukmin tidak akan melengahkan waktu solat atas sebab-sebab yang kecil. Selalunya, mereka yang solat di awal waktu berumur 30 ke atas, semakin muda, semakin lambat waktu solatnya. Tetapi ada juga seorang yang berumur lingkungan 40-an (mungkin) sering solat dihujung waktu Zuhur, dan terus bersambung dengan Asar. Teman lihat, ada seorang 'kakak', orangnya seksi, tidak bertudung dan amat bergaya sekali. Beliau adalah antara 'pasukan' solat di awal waktu, malah teman pernah terlihat dia berada di kalangan 'pasukan' sunat Dhuha. 'Kakak' ini tertanya berbeza dan bertentangan ciri-ciri penampilan fizikalnya, dengan kemahuan rohaninya yang ingin menyempurnakan kewajiban solat. Beliau akan membentangkan sejadah-sejadah buat semua yang ada di situ, sungguh mulia. Teman berdoa di dalam hati, semoga Allah membuka hatinya untuk menutup aurat pula. Manusia perlu memasang azam ingin menjadi hamba Allah yang terbaik. Pintalah di dalam doa agar Allah memberi petunjuk dan hidayah kerana Allah hanya beri hidayah kepada sesiapa yang Dia mahukan, jadi hidayah perlu diminta oleh hambaNya agar kita terpilih menerima hidayah dari Allah, dan yakinlah Allah itu Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani, jika hati mahukan kebenaran, Allah Maha Mendengar dan Dialah yang Maha Berkuasa dan memakbulkan doa. Teman doakan 'kakak' itu, dan teman yakin kemurahan hatinya itu bakal mendapat balasan hidayah dari Allah, asalkan dia ikhlas.
Dakwah, Antara Ajak dan Paksa
Semasa sedang makan bersama kawan-kawan sepejabat, kami berbual tentang salah seorang kawan kami yang berbangsa India-China yang bercinta dengan seorang lelaki Islam dari United Kingdom. Di UK, orang lelaki Islam boleh mengahwini perempuan dari agama lain, tetapi di Malaysia tidak begitu. Perempuan tersebut perlu memeluk agama Islam untuk berkahwin dengan lelaki Islam tersebut. Kawan kami ini orang Malaysia, lelaki tersebut orang UK. Mereka perlu memilih, undang-undang mana yang digunapakai. Teman mencadangkan, berkahwinlah di Malaysia, supaya anaknya nanti boleh diiktiraf sejajar dengan undang-undang yang ada, pada masa yang sama mereka perlu mendaftar di UK juga. Harapan teman, kawan teman akan memilih untuk masuk Islam, biarpun pada mulanya atas dasar perkahwinan, tetapi mungkin daripada situ beliau akan memahami Islam dan terpikat untuk menjadi isalm yang sejati. Seketika, kawan teman itu meninggalkan meja untuk mengambil sesuatudi kaunter makanan, tinggallah teman dengan 2 orang lagi kawan teman yang Islam dan Melayu. Teman nyatakan, "aku sengaja mencadangkan dia daftar di Malaysia kerana bolehlah dia memeluk Islam", terang teman kepada 2 orang kawan teman itu. Salah seorang kawan teman tidak senang dengan apa yang teman kata dan menimbulkan isu paksaan. Menurutnya biarlah kawan kami yang bukan Islam itu membuat keputusannya sendiri, dan soal masuk Islam perlu datang dari hati, jangan dipaksa-paksa, itu hujah kawan teman. Teman kemudian menjawab,"itu bukan paksaan, itu cadangan supaya dia daftar di Malaysia, ia adalah maksud tersirat aku supaya dia masuk Islam, ia berunsur cadangan dan ajakan, bukan paksaan," teman cuba mempertahankan hujah teman tetapi kawan teman tetap menegaskan bahawa apapun yang teman cuba sampaikan, jangan cuba-cuba untuk memaksa, biarlah kawan teman itu memikirkannya sendiri. Teman menjawab lagi, dan kala itu kawan teman yang bukan Islam sudah hampir dengan meja kami,"Paksa dan ajak, 2 benda yang nyata berbeza maknanya. Paksa adalah sesuatu yang agresif, ajakan dan cadangan tak bersifat sebegitu, ia ternyata sangat berbeza". Pertikaian kami mati di situ kerana kawan teman yang bukan Islam itu akhirnya sampai ke meja dan duduk semula membawa air yang diambilnya di kaunter. Kami terus tukar topik. Tetapi hati teman terasa hangat dan panas. teman kecewa apabila dakwah teman disangkal. Ada saudara sesama Islam sendiri tidak setuju bila dakwah ingin disebarkan. Walaupun dakwah itu lembut dan tidak secara langsung dan terus, tetapi tetap membuatkan saudara sesama Islam sendiri tak senang. Sedangkan dakwah itu berlaku kerana kita sayangkan orang, kita mahu menyelamatkan seseorang supaya tidak terus kafir dan kufur. Mengapa orang Islam kita sendiri yang rasa tak senang hati? Tiadakah terbit di hati mereka untuk mengajak kawan mereka sendiri yang begitu rapat dengan mereka untuk sama-sama menikmati agama yang benar ini? Pernahkah mereka mendengar perkataan dakwah? Teman benar-benar kecewa. Semoga Allah merahmati kawan-kawan teman, semoga mereka diberi petunjuk oleh Allah dan kembali ke pangkal jalan.
No comments:
Post a Comment