Tagha adalah perasaan yang merasakan diri sendiri lebih baik terhadap 4 perkara, iaitu merasakan diri pandai, hebat, berkuasa dan kaya. Sifat tagha adalah salah satu penyebab manusia tidak memasuki syurga. Masya-Allah. Teman terkedu apabila terbaca tentang tagha di dalam buku bertajuk Pesona Solat Tahajud karangan Dr.Muhammad Salleh. Teman bersolat setiap hari, mencari kebaikan dan cuba menjadi hamba Allah yang terbaik. Sangka teman, riyak perlu dihindar dan ujub perlu dielakkan. Riyak adalah sikap mahu menunjuk-nunjuk sedang ujub pula adalah perasaan takjub terhadap diri sendiri. Tetapi teman terlepas pandang tentang satu lagi sifat yang perlu dijauhi iaitu tagha. Apabila terbaca tentang hakikat tagha, abrulah teman faham mengapa teman diuji dengan 4 perkarra tersebut (pandai, hebat, berkuasa dan kaya). Dan teman bersyukur kerana akhirnya teman faham hikmah Allah menguji teman sebegitu, kerana Allah sayangkan teman dan mahu teman melepaskan sikap tagha terhadap 4 perkara tersebut. Mengapa Allah uji? Kerana Dia mahu teman pulang ke pangkal jalan dan menjadi hamba Allah yang sebenar-benar hamba, mengingatkan teman tentang betapa hinanya teman dan akhirnya menjawab doa teman yang meminta untuk dibersihkan diri dan hati. Tagha, ternyata ia adalah salah satu kekotoran hati yang menghijabkan manusia dengan Rabbnya. Ya Allah, ampunkan aku.
1. Tagha terhadap harta dan kemampuan
Dahulu, ketika teman baru sahaja menjejakkan kaki ke alam pekerjaan, teman agak bernasib baik dari kawan-kawan sekuliyah teman. Teman mendapat kerja dan ditawarkan gaji yang bagus. Teman berbangga kerana gaji teman lebih dari orang lain dan teman berkemampuan memiliki apa sahaja dengan wang sebanyak itu. Jika kawan-kawan di kotaraya KL terpaksa bersempit-sempit di rumah flat 2 bilik, teman hidup mewah di rumah teres 3 bilik yang lengkap dengan perabot yang cantik. Tetapi akhirnya teman teruji. Teman kecewa dalam bercinta lalu teman membuat keputusan bodoh untuk berhenti kerja. Teman menanggung hutang yang banyak. Teman tiada lagi wang kocek yang berlebihan kerana sibuk membayar hutang. Apabila teman berhenti kerja, simpanan wang teman semuanya habis sehingga terpaksa menyusahkan orang tua teman. Teman jadi miskin dan berhutang keliling pinggang. Teman sering bertanya, mengapa Allah uji teman sebegitu? Tetapi sekarang teman sudah faham. Perasaan miskin itu dapat mengikis perasaan tagha, tiada lagi rasa megah terhadap kemampuan kerana teman sudah tidak mampu lagi.
2. Tagha terhadap kuasa.
Dulu, teman mempunyai kuasa di tempat kerja. Teman boleh memilih mana-mana kontraktor dan memberi mereka projek. Teman bangga kerana syarikat-syarikat yang melobi projek terpaksa melutut dan merayu demi mengharapkan projek diberi kepada mereka. Dengan bangganya teman pernah berkata, "aku suka kerja sebegini daripada kerja di bahagian pemasaran, aku tak suka merayu, aku suka orang menyembah aku minta projek, mereka yang merayu bukan calang-calang, mereka adalah pengarah syarikat, jika di syarikat mereka, mereka menindas orang di bawah mereka, tetapi dengan aku mereka terpaksa melutut walaupun aku eksekutif biasa'. Betapa angkuhnya teman. Itu tagha! Akhirnya teman kehilangan kuasa setelah dianiaya oleh ketua teman sendiri. Teman akhirnya menjadi pekerja yang tidak mempunyai fungsi penting di syarikat. Dan kini teman faham bahawa Allah mahu mengajar manusia takbur seperti teman. Menundukkan kepala teman supaya menyembah bumi. Alhamdulillah, biarlah teman tersungkur dan terhina, asalkan Allah tetap memberi petunjukNya.
3. Tagha terhadap hebat
Dahulu, teman berbangga dengan pelbagai kelebihan yang ada dalam diri teman. Tetapi semua itu hilang begitu sahaja kerana tiada lagi tempat untuk menunjukkan kehebatan itu. Ia seolah-olah menyepi dan teman akhirnya sedar, teman tak hebat. Tiada apa yang boleh dibanggakan lagi.
4. Tagha tentang pandai
Dahulu, teman bangga dengan kelulusan akademik teman. Tetapi akhirnya teman gagal dalam kerjaya, kelulusan tinggi tidak lagi dipandang mulia kerana kegagalan diri memadam reputasi teman.
Keempat-empat nikmat ini Allah tarik daripada teman, tetapi teman redha dan akur. Dulu teman tak redha, teman kecewa dan memberontak, tertanya-tanya mengapa teman diuji sebegitu. Tetapi hari ini teman akur dan redha, malah bersyukur kerana Allah memberi petunjuk, agar teman tak terus menerus berada dalam kesesatan. Alhamdulillah. Semoga Allah melindungi teman dari sikap sebegini dan semoga Allah menjauhkan teman dari segala penyakit hati.
No comments:
Post a Comment