Assalamualaikum wbt dan Selamat pagi buat semua,
Semalam, sahabat teman mengadu kepada teman tentang sikap kawan sepejabatnya yang mempersendakan perubahannya dalam usahanya menutup aurat dan berpakaian sopan. Teman mendengar dan kemudian memintanya supaya tidak ambil endah kerana pandangan Allah itu lebih utama dari pandangan manusia. Tetapi jawapan teman masih tidak membuatnya gembira. Kemudia hari ini teman terbaca surah at-Taubah dan terjumpa akan jawapan kepada masalah sahabat teman. Lalu teman titipkan kepadanya kata-kata di bawah ini dengan harapan beliau berasa tenang untuk terus melakukan perubahan tanpa bersusah hati dengan kata-kata orang yang tidak suka pada perubahannya. Dan biarlah ia dikongsi bersama supaya ia menjadi dakwah teman kepada orang yang ingin berubah seperti sahabat teman itu. Semoga Allah memberi Hidayah yang berterusan buat mereka yang sentiasa mencari kebenaran.
Allah sangat marah orang yang mempersendakan agama. Sikap orang yang mempersenda-sendakan agama, sama sikapnya seperti orang musyrik di zaman jahiliyyah yang mempersenda-sendakan orang-orang Islam yang bersedekah.
Orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian dari orang-orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, - Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (At-Taubah 9:79)
Kalau kita rasa kawan kita mempersenda-sendakan kebaikan yang kita cuba lakukan, cuba kita bayangkan, apa perasaan kita bila ada seorang budak yang mengejek-ngejek kita dan cuba nak membaling batu pada kita, sedangkan dibelakang budak itu ada ibunya yang sedang bersiap sedia nak memukulnya dengan rotan disebabkan perangainya itu. Apa perasaan kita pada budak itu, mesti hilang rasa marah sebab kita tahu dia bakal dipukul ibunya yang sedang bersiap sedia nak menghukumnya. Macam itulah juga apabila kita dipersendakan kawan apabila kita sedang melakukan kebaikan, sudah pasti tindakannya itu berdosa dan Allah menjanjikan azab yang pedih bagi mereka yang mepersenda-sendakan agama.
No comments:
Post a Comment