Wednesday, 1 June 2011

Dosa Pancaindera

Teringat kata-kata Prof Kamil Ibrahim, kita hamba Allah adalah bersifat lemah, atas sebab itu manusia sering tidak mampu menahan diri dari melakukan dosa. Pagi bertaubat, petang buat dosa. Petang mintak ampun, malam buat dosa lagi. Sebab itulah kita kena meminta ampun selalu, kerana kita sering sahaja melakukan dosa atas sifat lemah kita sebagai manusia.

Teman takut dengan dosa. Teman takut dosa akan menghalang hidayah Allah pada teman. Teman takut keimanan yang ada hari ini akan hilang seperti buih di laut, pergi begitu sahaja di tengah laut hanya kerana dosa-dosa yang teman lakukan dalam sedar dan tidak. Kadang-kadang teman tak niat nak melakukan dosa, bila dah terbuat, baru perasan yang diri teman baru sahaja terjebak dengan dosa. Kadang-kadang teman tepis, tetapi telinga ini tetap terdengar perkara-perkara yang mengotorkan hati, teman berdosa kerana mendengarnya. Contoh, malam tadi teman bangun bersolat tahajud dan witir. Teman minta ampun sesungguh-sungguhnya dari Allah. Tengah hari tadi, ketika makan tengah hari di kantin, kawan-kawan pejabat membuka macam-macam gossip. Teman cuba mengalihkan perbualan, bercerita hal negara, hal pengetahuan am dan macam-macam, tetapi teman mungkin tak perasan dengan banyak bercakap itu, ada tergelincir lidah menyedapkan cerita dengan fakta tambahan yang belum tentu sahih. Pulang ke pejabat, baru terperasan, hati rasa macam tak kena sahaja. Teman terasa seperti baru melakukan dosa, astaghfirullah! Teman pergi solat zohor, teman minta ampun bersungguh-sungguh. Petang sebelum solat asar, teman ke surau lagi. Kali ini ramai kawan-kawan dari jabatan yang sama dan jabatan-jabatan lain berkumpul di surau tersebut. Mereka bergossip lagi, kali ini tentang skandal di tempat kerja, tentang isteri orang dengan suami orang. Teman cuba buat-buat tak dengar tetapi telinga teman tetap menangkap butir bicara mereka. Perbualan semakin rancak, seorang demi seorang bercerita tentang orang yang dikaitkan, entah betul entah tidak, tetapi telinga tetap terdengar walaupun teman cuba menumpukan pada perkara lain. Telinga teman melakukan dosa, teman mendengar gossip-gossip tersebut, teman berdosa lagi. Solat asar tiba, teman bersungguh-sungguh meminta ampun. Astaghfirullah....bagaimana mahu menjaga hati, adakah hati ini terlalu kotor sehingga pancaindera teman ini banyak terdedah dengan perkara-perkara yang negatif?
Astaghfirullahal'azim..... Ya Allah, ampunkan aku Ya Allah. Lindungilah aku dan pancainderaku dari perkara-perkara yang batil, dari fitnah dan dari perkara-perkara yang haram dan mazmumah. Aku hamba yang hina dan berdosa, ampunkan aku Ya Allah...

No comments:

Post a Comment