Khusyuk dalam solat adalah cabaran yang besar, bagi diri teman khususnya. Buku yang ditulis Isyah Radhiah (Anakku Brain Tumor) benar-benar membantu dalam memberi tips khusyuk, namun setelah diketahui cara-caranya, cabarannya menjadi semakin besar. Besar kerana, apabila kita memahami bagaimana setiap gerak itu perlu digerakkan dan diniatkan serta dihayati, teman semakin berhati-hati agar pemikiran teman tidak tergelincir daripada memusatkan pemikiran terhadap Allah semasa menjalani solat. Syaitan pula sentiasa memainkan peranan, tetapi hati perlu dibulatkan tekad bagi mencapai matlamat khusyuk ini. Hati semakin takut, takut jika pemikiran tersasar dan tumpuan terjejas ketika solat, solat tidak akan diterima kerana hanya solat yang khusyuk diterima Allah, wallahua'lam. Apabila memahami hakikat peri pentingnya khusyuk di dalam solat, hati semakin gentar, solat menjadi satu tugas penting yang sangat-sangat signifikan bagi memastikan solat berjalan lancar dan penuh khusyuk. Tetapi perlu diingatkan bahawa, solat itu bukanlah sesuatu yang berat bagi mereka yang beriman. Jika seseorang berasa tertekan kerana tidak memahami teknik khusyuk dalam solat, perlulah berdoa bersungguh-sungguh agar Allah memelihara kita, walaupun di dalam solat. Mohonlah pada Allah agar hati kita menjadi khusyuk ketika bertemuNya.
Teman ingin berkongsi pengalaman teman. Semalam, pada waktu Asar, teman segera ke surau di tempat kerja untuk bersiap sedia melaksanakan solat. 5 minit sebelum masuk waktu Asar, teman sudah mula meninggalkan meja dan bergegas ke surau. Teman mengambil wudhuk dengan penuh khusyuk, seperti yang dianjurkan di dalam buku Isyah. Syukur pada Allah kerana memberi hambanya ilham untuk mengajar umat Islam cara mendapatkan khusyuk di dalam ibadat. Selepas berwudhuk, teman bersiap sedia untuk solat. Teman laksanakan dahulu solat sunat qabliyah, harapan teman agar ia dapat menampung solat yang terdapat di dalamnya sebarang cacat cela. Kemudian, setelah selesai, teman memulakan solat Asar. Angkat sahaja takbir, ada seorang hamba Allah dari jabatan yang lain selesai melakukan solatnya dan terus membuka mulut berbual dengan seorang yang lain. Suaranya sangat kuat. Sebutir demi sebutir perkataannya dapat didengari. Tumpuan teman terganggu. Teman takut teman akan mendengar perbualannya dan pemikiran teralih kepada butir bicara beliau. Teman amat terganggu kerana teman masih dalam proses mempelajari dan mempraktikkan khusyuk dalam solat. Teman kemudian memilih surah Al-Khalaq dan surah An-Nas kerana teman berharap agar Allah melindungi teman daripada gangguan manusia dan syaitan. Di dalam hati bermohon bersungguh-sungguh agar Allah menutup mulut hamba Allah itu atau menggerakkan hatinya untuk beredar dari surau itu. Selesai rakaat kedua, terdengar hamba Allah itu berjalan keluar dan menyambung perbualan di luar surau, walaupun suaranya masih didengari tetapi tidaklah sekuat tadi. Allah benar-benar membawa hamba Allah itu keluar dari surau dan teman dapat mengukuhkan lagi tumpuan dalam solat.
Begitulah hakikatnya. Hanya Allah tempat bersandar, hatta ingin mendapatkan khusyuk dalm solat juga perlu bermohon dan meminta tolong dari Allah. Baiklah, diharap entri ini dapat memberi sedikit tips untuk sesiapa yang cuba menyelami khusyuk dalam solat. Ia bukanlah panduan lengkap, tetapi ini hanya perkongsian yang sedikit tetapi memberi erti kepada diri teman sendiri.
Baiklah, teman mahu menonton TV al-Hijrah, saluran 114 astro. Selamat menonton, ia adalah stesen tv yang berguna buat umat Islam di Malaysia, Brunei dan Singapura.
No comments:
Post a Comment