Tak pernah terfikir di minda teman selama ini tentang khusyuk dalam wudhuk. Selama ini, teman cuma tahu tentang khusyuk dalam ibadah, khususnya merujuk kepada solat. Alhamdulillah, melalui pembacaan teman, buku Anakku Brain Tumor karangan Isyah Radhiah, barulah teman faham tentang salah satu cara untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat. Isyah menerangkan secara terperinci tentang bagaimana untuk mendapatkan khusyuk dalam solat kerana solat adalah antara penyembuh terbaik kepada penyakit atau kesusahan yang menimpa manusia. Tetapi untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat, adalah penting menjaga solat itu daripada wudhuk hinggalah selesai solat. Antara tips khusyuk solat yang diberi adalah mengambil wudhuk dengan khusyuk. Beliau memberitahu secara terperinci bagaimana setiap gerak dalam wudhuk itu mempunyai maksud, doa dan fadhilat. Teman betul-betul kagum kerana ia adalah sesuatu yang baru buat teman, mungkin orang lain sudah lama tahu, tetapi teman belum tahu. Walaupun Ilmu Wahyu adalah subjek minor ketika di universiti, tetapi ilmu teman ternyata terlalu cetek. Benarlah ilmu Allah itu terlalu luas, dan apa yang kita ada cuma setitik sahaja dari selautan ilmu itu. Allah Maha Bijaksana.
Teman sudah mula cuba mengamalkan wudhuk dengan khusyuk sejak membaca buku ini. Bukan semua doa yang diberi sudah teman hafal, tetapi teman baru sahaja menghafal 2 dari doa-doa yang diberi, iaitu ketika membasuh tangan dan setelah selesai wudhuk. Yang lain-lainnya, teman cuma berdoa dalam bahasa teman sendiri, tetapi ia berjaya membuatkan teman menghayati setiap gerakan wudhuk dan menghayati fadhilatnya. Perasaannya sungguh berbeza dan ia benar-benar memberi kesegaran secara fizikal mahupun mental. Kepada yang belum membaca Anakku Brain Tumor, silalah mendapatkannya dengan segera. Ia boleh ditempah secara terus dari laman sesawang Galeri Ilmu. Ia sangat berguna dan mempunyai panduan-panduan berguna yang boleh diamalkan selalu. Ia adalah terapi jiwa yang resah mencari kebenaran. Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment