Wednesday, 29 June 2011

Dakwah

Assalamualaikum wbt,

Kebiasaannya, teman kerap menghantar entri di ruangan blog teman hampir setiap hari. Namun sejak akhir-akhir ini, seolah-olah sepi pula. Kekeringan idea atau tak berkesempatan menulis? Idea itu ada, kerana dakwah perlu disampaikan walaupun sedikit. Teman ini, manusia yang tak berdaya dan lemah. Kalau dengan rakan sekerja, hanya mampu memberikan dakwah 'bilhal', maksudnya, bukan melalui kata-kata, tetapi dengan perlakuan. Samada mereka faham atau sedar, terpulanglah. Kerana teman dulu memang gambaran kepada segala yang tidak baik, teman memang teruk dahulu. Tetapi Allah itu Maha Penyayang, teman rasa bertuah kerana Allah masih memberi perhatianNya buat teman, Dia tidak membiarkan teman terus hanyut dan hidup di dalam keadaan yang penuh maksiat dan dosa, terima kasih Allah. Kerana itulah, dakwah melalui kata-kata memang agak sukar teman lakukan kerana kata-kata yang bakal dilemparkan, '"kau pun bukannya baik sangat". Tak mengapalah, ilmu Allah itu luas, dakwah juga adalah salah satu cabang ilmu dan ia mempunyai pelbagai kaedah-kaedah lain yang juga berkesan selain dari dakwah melalui kata-kata.

Teman sendiri, dahulunya susah nak ditegur. Bila sahabat serumah menyuruh teman solat, teman balas balik dengan hujah yang berbelit. Ilmu agama yang ada teman gunakan untuk membelit kata-kata orang, bukannya untuk diamalkan, Astaghfirullah! Tetapi apa yang menghantukkan kepala teman, apabila seorang teman di tempat kerja yang mempunyai akhlak yang terbaik, akhirnya dijemput Allah, namun pemergiannya dihujani dengan cerita-cerita tentang kebaikannya semasa hayatnya. Dan kematian beliau sangat memberi kesan yang mendalam sehingga teman berazam untuk mendekati Allah. Arwah tidak datang dan berdakwah dengan teman, tetapi sikapnya cukup membuatkan teman kagum dan berazam ingin menjadi insan sebaiknya. Dalam diam-diam, perasaan takut akan kematian tanpa persediaan yang cukup, sudah cukup membuatkan hati berasa gentar mengenangkan diri yang penuh noda dan dosa.

Di halaman blog ini adalah hamparan kata-kata dakwah yang datang dari hati. Jika di pejabat, dakwah dilakukan dengan menjaga akhlak, di alam maya, penulisan menzahirkan segala yang terbuku dan dapat dikongsikan. Teman percaya, ramai yang mencari kebenaran tetapi tidak tahu bagaimana. Maka, zaman lembaran tanpa wayar ini adalah medan terbaik yang boleh memberi sedikit input kepada pencari kebenaran. Ia bukanlah satu suapan jiwa bersifat total, tetapi ia boleh menjadi titik mula yang baik. Ilmu tetap perlu dicari dengan pelbagai cara. Jika dianugerahkan murabbi, ia memberi kelebihan kerana murabbi adalah pembimbing yang dapat menemani pencari kebenaran dan dapat memberi jawapan kepada persoalan dalam mengenal Allah dan Islam. Murabbi tak semestinya golongan agama yang tertentu seperti ulama dan ustaz, tetapi ia mungkin juga di kalangan rakan-rakan di sekitar, yang mempunyai ilmu dan amal yang lebih baik dari kita.

Alasan yang pasti bagi persoalan mengapa sudah sekian hari tidak memasukkan entri, ia adalah kerana teman sendiri sedang sibuk mencari dan menambah ilmu bagi memantapkan akidah dan mengekalkan istiqamah. Kepada pencari kebenaran, teruskan mencari dan berdoa agar diberi hidayah dan petunjuk. Teman doakan pencari-pencari kebenaran dapat menemui kebenaran yang dicari. Allah Maha Mengetahui.

No comments:

Post a Comment