Assalamualaikum wbt dan selamat pagi buat semua,
Semalam, alhamdulillah, dapat melaksanakan puasa sempena Israk Mikraj, sejauh mana penghayatan teman, mungkin biasa-biasa sahaja. Semoga Allah menganugerahkan teman dengan penghayatan penuh terhadap setiap peristiwa besar di dalam sejarah Al-Quran.
Teman tak ingat di mana teman terbaca atau mendengarnya, tetapi Israk Mikraj adalah satu peristiwa besar yang berlaku pada tahun kesedihan Rasulullah SAW. Isteri tercinta akhirnya pergi mengadap Ilahi setelah mereka mengharungi bahtera rumahtangga yang penuh onak duri 15 tahun lamanya. Isteri yang sempurna, yang menjadi saksi kenabian Rasulullah SAW, yang menyelimuti Nabi ketika Nabi ketakutan dijenguk Jibril. Sedih pula mengenang kisah hidup Rasulullah yang penuk onak dan ranjau duka. Kehilangan bapa saudara yang sentiasa melindunginya juga sudah cukup membuat hati berduka, ditambah pula dengan hinaan dan tohmahan orang-orang Quraisy yang jahil. Maka dalam kesedihan Allah memujuk kekasihnya, membawanya 'berjalan-jalan', itulah Israk Mikraj.
Ia adalah satu petanda lain, bahawa kedukaan mampu di atasi dengan pujukan seperti membawa seseorang itu berjalan-jalan. Tak terfikir pula teman, sehinggalah israk Mikraj kali ini cuba teman hayati. Jika sedih, bawalah berjalan-jalan. Teman akan praktikkan. Bukan pergi membeli belah ya. Perempuan ada satu penyakit, kalau bersedih, pergi membeli belah, katanya boleh hilang tekanan, iyalah tu! Ambil konsep berjalan-jalan sahaja cukuplah. Allah tak bawa Nabi pergi membeli belah, tetapi mengajaknya melihat kebesaran Allah dan menghadiahkan kita dengan ibadah solat 5 waktu. Ia sangat signifikan! Ia benar-benar istimewa.
Teman tak pandai nak berhujah panjang bercerita tentang Israk Mikraj, yang teman tahu, solat kita itu adalah mikraj kita dengan Allah. Peristiwa ini mengingatkan peri pentingnya khusyuk dalam solat, apatah lagi pelaksanaan solat itu sendiri. Kalau nak bercerita pasal solat, panjang pula ceritanya nanti. Tapi kalau kita ini hanya manusia biasa yang sering lupa dan buat silap, sekurang-kurang kita perbaikilah solat. Solatlah diawal waktu, kerja yang ada tinggalkan sekejap, jumpalah Sang Kekasih, pergilah merintih dan mengadu denganNya, pasti Dia mendengar kerana Dia Maha Mendengar. Solat awal waktu ini juga adalah salah satu tips khusyuk. Kepada yang sememangnya menjaga solat dengan baik, apakata cuba melaksanakan solat-solat sunat pula. Kerana, solat-solat sunat itu dapat memperbaiki kelemahan solat fardhu. Kalau nak markah lebih, solat fardhu ini dilakukan secara berjemaah, maka dapatlah 27 markah, wah, banyak tu!
Baiklah, teman sejak akhir-akhir ni rasa sedikit terganggu kerana masalah di tempat kerja. Allah Lebih Mengetahui, semoga Allah memelihara teman dan Dialah Sebaik-baik Penolong! Yakinlah dengan Allah dan teguhkan keimanan kita semua. Allahu Akbar!
No comments:
Post a Comment