Thursday, 23 June 2011

Bila Jalan Allah Kulalui Sendiri

Sesuatu yang menyedihkan dan memedihkan apabila insan tersayang menolak perkara baik yang kita cuba sampaikan padanya. Apabila kasih sayang tinggi, kita mahu orang-orang yang kita sayang dilindungi. Dari segi kerohanian, kita manusia adalah hamba Allah yang pastinya akan dihadapkan di mahkamah Allah dan akhirnya diputuskan samada ke syurga atau neraka setelah timbangan kanan dan kiri diambil kira. Pastinya apabila kita menginsafi diri dan segera mengumpul bekalan ke 'sana', kita pasti ingin membawa orang-orang tersayang untuk sama-sama ke syurga. Tak sanggup untuk ke neraka, dan tak sanggup juga jika insan-insan tercinta turut sama terjun ke neraka jahannam yang apinya menggelegak dan menjulang-julang. Begitu juga teman, atas dasar kasih sayang, teman bersungguh-sungguh mengajak orang yang paling teman sayang untuk turut sama mengumpul amal, sehinggakan mungkin nampak seperti memaksa. Harapan yang tinggi untuk beramal bersama mungkin menjadi penyumbang kepada ajakan yang berunsur paksaan. Tetapi teman juga harus ingat bahawa hidayah Allah itu diberi kepada sesiapa yang Dia pilih dan mahukan sahaja. Bukan semua orang merasa. Jika kita dikurnia hidayah, mungkin orang di sebelah tidak. Jika ibu kita mendapat hidayah, mungkin kita sebagai anaknya tidak. Hatta insan mulia seperti Nabi Nuh juga mengalami masalah yang sama. Orang yang dicintai baginda iaitu isteri dan anaknya sama sekali kufur lalu bahteranya berlayar di tengah gelombang banjir besar tanpa insan tercinta. Pasti hatinya terluka. Ya, memang terluka apabila orang yang kita sayang tidak turut serta dalam perjalanan kita menuju jalan Allah. Ia adalah ujian, bagi yang beriman, pasti mereka mampu menghadapinya dengan tabah dan yakin dengan ketentuan Allah. Ya Allah, aku mohon ampun.

No comments:

Post a Comment