Entri ini adalah entri ringkas dari persekitaran teman sendiri. Kata-kata ibarat pedang, ia menggambarkan tentang pepatah Melayu, 'kerana mulut badan binasa'. Teringat juga cerita dari buku 'U-turn ke Jalan Lurus' hasil tulisan Ustaz Zul, mengenai kisah seorang hamba yang bermulut jahat. Ketika tuannya mahu membelinya, sudah diingatkan oleh pelelongnya bahawa hamba ini bermulut jahat, tetapi tuan itu mengambil mudah dari peringatan si pelelong lalu terus membeli hamba itu. Akhirnya, tuan yang kaya dan mempunyai rumahtangga yang bahagia, hidupnya musnah dalam sekelip mata hasil dari mulut jahat sang hamba yang bermulut jahat ini. Manusia yang bermulut jahat diistilahkan seperti ular. Ular membelit mangsanya dan mematuk mangsanya dengan rakus, tidak sepadan dengan gerakannya yang senyap dan saiznya yang kecil itu.
Dalam suasana bekerja, si mulut jahat memberi kesan yang besar kepada organisasi. Sesebuah jabatan boleh menjadi porak peranda dek penangan si mulut jahat. Mereka bersikap bermuka-muka dan menyebarkan cerita kurang enak kepada sesiapa sahaja. Di hadapan ketua, mereka mengadu domba, sibuk bercerita perihal pekerja lain. Apabila di hadapan rakan-rakan sekerjanya, si mulut jahat menanam bisa melalui kata-kata dan menyebarkan fitnah dan akhirnya melaga-lagakan sesama manusia. Jika ketua termakan kata-kata mereka lalu memarahi insan yang difitnah itu, si mulut jahat akan segera mendekati insan yang dimarah ini, lalu mula memujuk dan kemudian menghasut insan ini untuk membenci ketua itu dengan suntikan-suntikan cerita yang tak betul berkenaan ketua itu, menaikkan dan memarakkan kebencian orang terhadap ketua yang dimaksudkan. Apabila insan itu termakan kata-kata lalu berdendam dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ketua itu, si mulut jahat akan menyampaikan kata-kata nista itu kepada ketua itu pula, lalu porak perandalah jabatan itu. Bahayanya si mulut jahat ini, lebih berbahaya dari binatang buas di hutan. Binatang buas mengeluarkan taring dan kuku ketika perlu atau ketika menyelamatkan diri, tetapi si mulut jahat melakukannya tanpa sebab yang munasabah, kadangkala ia sekadar sesuatu yang dilakukan bagi memuaskan hati sendiri, masya-Allah.
Kepada pembaca, jagalah kata-kata. Elakkan dari menjadi si mulut jahat. Manusia dahulu kala ramai yang terbunuh akibat perperangan, namun manusia hari ini ramai terbunuh kerana kata-kata.
No comments:
Post a Comment