Thursday, 30 June 2011

Surau

Assalamualaikum wbt dan salam petang buat semua,

Surau di tempat kerja teman boleh tahan besar, muat 3 saf termasuk orang yang nak melepak-lepak di belakang 3 saf itu. 1 saf boleh muat 3 orang dalam kedudukan renggang dan selesa, kalau berimam, mungkin 4-5 orang muat 1 saf. Surau ini dilengkapi penghawa dingin, deretan almari di bahagian belakang dinding surau, di bahagian kanan pula almari kaca yang tinggi dan cantik, terdapat al-Quran, kitab surah Yasin dan tafsir di dalamnya. Bahagian kiri pula ada rak telekung dan juga tempat menyalin pakaian, ada pembahagi mudah alih seperti yang kita lihat di hospital kerajaan. Di bahagian hadapan pula ada papan putih yang ditulis dan ditampal ayat-ayat al-Quran dan doa-doa, ada pen marker dan pemadam diselitkan di para kecil papan putih itu. Ini baru di dalam, diluar pula ada satu tandas dan bahagian mengambil wuduk yang boleh memuatkan 2 orang dalam satu masa. Terdapat juga singki dan cermin yang boleh memuatkan 2 orang dalam satu masa. Senang cerita, ia adalah surau impian di tempat-tempat kerja, sangat selesa, lengkap dan indah. Tapi teman pernah nampak surau yang jauh lebih besar dan cantik, ianya terdapat di sektor-sektor kerajaan. Surau mereka sangat besar dan kadang-kadang ada program tazkirah diadakan, seronok bukan? Walaupun anda bekerja, anda tetap boleh bersolat dan mendengar tazkirah, teman mengidamkan surau sebegitu di tempat kerja. Namun teman masih bersyukur kerana walaupun tiada tazkirah, surau itu tetap selesa.

Dalam keselesaan, tetap ada juga yang tak menyelesakan. Bukanlah keadaan fizikalnya, tetapi ruh surau itu sendiri. Surau ini nampak imarah dengan kehadiran jemaah-jemaah yang bersolat sunat dhuha seawal 8pagi, ramai juga yang bersolat dhuha di sini, teman anggarkan mungkin dalam dekat 10 orang, mungkin. Ia adalah 5% daripada pekerja-pekerja Muslimah yang ada di sini, untuk si hero, teman tak pasti. 10 orang itu tak termasuk orang yang solat dhuha pada waktu selain 8 pagi ini, teman sendiri memilih untuk solat pada pukul 8.45pagi, dan pernah terserempak dengan seorang wanita dari jabatan lain yang teman kira mempunyai masa tetap dalam 9 pagi.

Berbalik kepada ruh surau tersebut, pada waktu makan tengah hari, ada dalam 5-6 orang yang akan tidur di situ dan lampu pula ditutup. Kiranya jika ada orang yang mahu mengaji al-Quran sebagai ganti waktu rehat tengah hari, lupakan sahaja niat itu kerana jika anda membuka lampu, nahaslah. Mereka hanya akan membuka lampu tersebut pada pukul 1.15pm. Jika Zuhur masuk pukul 1.05pm, anda mesti menunggu sehingga 1.15pm, barulah anda berpeluang untuk solat. Kini, cabaran bermula. Lampu dibuka dan mulut mereka juga terbuka. Mereka akan bercerita pelbagai kisah, pukul 1.20pm, semakin ramai yang hadir untuk solat. Tetapi sebelum mengambil wudhuk, pelbagai topik akan dibuka. Masa itulah segala gossip di tempat kerja dibongkarkan, cerita-cerita rakan sekerja yang tak memuaskan hati juga terkeluar sekali sekala, isu anak-anak, rumah dan tanam-tanaman, semuanya nak diceritakan. Bila mengangkat takbir, niat di hati bagai berperang dengan suara-suara orang yang ghairah bercerita. Sedih, sangat sedih. kalau orang yang kuat imannya, suara-suara yang datang mungkin mudah ditepis kerana tebalnya iman mengundang rasa khusyuk yang mendalam. Namun bagi 'budak baru belajar' tentang khusyuk solat, ia adalah satu perjuangan yang hebat.

Dahulu teman bersolat Zuhur di hujung-hujung waktu. Adakalanya, sambung terus dengan Asar. Semakin hujung waktu solat, semakin mencabar kategori orang yang datang bersolat di situ. Di hujung-hujung waktu, bualan mereka lebih rancak, tawa yang nyaring membelah suasana surau, mungkin surau Muslimin di sebelah juga boleh terdengar hilaian tawa ini. Gossip-gossip yang diperkatakan juga semakin ganas, adakalanya mengutuk kumpulan 'kakak-kakak' yang bersolat di awal waktu. Suara mereka sangat deras dan kadangkala, orang yang solat itu boleh menyambung perbualan selesai sahaja salam, maknanya apa, maknanya dia mengikuti perkembangan perbualan itu semasa dalam solatnya.

Golongan yang bersolat di awal Zuhur pasti akan bertemu orang-orang yang sama di awal Asar. Namun orang-orang yang bersolat di akhir waktu Zuhur, pasti tidak kelihatan lagi di waktu Asar. Ada 2 orang yang setia menjadi ahli akhir solat Zuhur, berehat 10minit dan terus mendirikan Asar apabila masuk waktu Asar. Golongan apakah ini ya?

Di manakah ruhnya sebuah surau, jika ayat-ayat al-Quran tidak berirama di sini. Bacaan-bacaan itu cuma ada di dalam solat, tetapi tidak lebih dari itu. Selain solat, aktiviti yang ada adalah tidur, berbual, ketawa, gossip, dan kadang-kadang meniaga! Masya-Allah. Teman pula, hanya orang yang hanya mampu berkata-kata di blog ini, tetapi tak ada keberanian meluahkannya di hadapan khalayak surau itu. Hina sungguh teman, selemah-lemah iman!

israk Mikraj-Kalau Sedang Berduka, Bawalah Berjalan-jalan.

Assalamualaikum wbt dan selamat pagi buat semua,

Semalam, alhamdulillah, dapat melaksanakan puasa sempena Israk Mikraj, sejauh mana penghayatan teman, mungkin biasa-biasa sahaja. Semoga Allah menganugerahkan teman dengan penghayatan penuh terhadap setiap peristiwa besar di dalam sejarah Al-Quran.

Teman tak ingat di mana teman terbaca atau mendengarnya, tetapi Israk Mikraj adalah satu peristiwa besar yang berlaku pada tahun kesedihan Rasulullah SAW. Isteri tercinta akhirnya pergi mengadap Ilahi setelah mereka mengharungi bahtera rumahtangga yang penuh onak duri 15 tahun lamanya. Isteri yang sempurna, yang menjadi saksi kenabian Rasulullah SAW, yang menyelimuti Nabi ketika Nabi ketakutan dijenguk Jibril. Sedih pula mengenang kisah hidup Rasulullah yang penuk onak dan ranjau duka. Kehilangan bapa saudara yang sentiasa melindunginya juga sudah cukup membuat hati berduka, ditambah pula dengan hinaan dan tohmahan orang-orang Quraisy yang jahil. Maka dalam kesedihan Allah memujuk kekasihnya, membawanya 'berjalan-jalan', itulah Israk Mikraj.

Ia adalah satu petanda lain, bahawa kedukaan mampu di atasi dengan pujukan seperti membawa seseorang itu berjalan-jalan. Tak terfikir pula teman, sehinggalah israk Mikraj kali ini cuba teman hayati. Jika sedih, bawalah berjalan-jalan. Teman akan praktikkan. Bukan pergi membeli belah ya. Perempuan ada satu penyakit, kalau bersedih, pergi membeli belah, katanya boleh hilang tekanan, iyalah tu! Ambil konsep berjalan-jalan sahaja cukuplah. Allah tak bawa Nabi pergi membeli belah, tetapi mengajaknya melihat kebesaran Allah dan menghadiahkan kita dengan ibadah solat 5 waktu. Ia sangat signifikan! Ia benar-benar istimewa.

Teman tak pandai nak berhujah panjang bercerita tentang Israk Mikraj, yang teman tahu, solat kita itu adalah mikraj kita dengan Allah. Peristiwa ini mengingatkan peri pentingnya khusyuk dalam solat, apatah lagi pelaksanaan solat itu sendiri. Kalau nak bercerita pasal solat, panjang pula ceritanya nanti. Tapi kalau kita ini hanya manusia biasa yang sering lupa dan buat silap, sekurang-kurang kita perbaikilah solat. Solatlah diawal waktu, kerja yang ada tinggalkan sekejap, jumpalah Sang Kekasih, pergilah merintih dan mengadu denganNya, pasti Dia mendengar kerana Dia Maha Mendengar. Solat awal waktu ini juga adalah salah satu tips khusyuk. Kepada yang sememangnya menjaga solat dengan baik, apakata cuba melaksanakan solat-solat sunat pula. Kerana, solat-solat sunat itu dapat memperbaiki kelemahan solat fardhu. Kalau nak markah lebih, solat fardhu ini dilakukan secara berjemaah, maka dapatlah 27 markah, wah, banyak tu!

Baiklah, teman sejak akhir-akhir ni rasa sedikit terganggu kerana masalah di tempat kerja. Allah Lebih Mengetahui, semoga Allah memelihara teman dan Dialah Sebaik-baik Penolong! Yakinlah dengan Allah dan teguhkan keimanan kita semua. Allahu Akbar!

Wednesday, 29 June 2011

Kata-kata Ibarat Pedang

Entri ini adalah entri ringkas dari persekitaran teman sendiri. Kata-kata ibarat pedang, ia menggambarkan tentang pepatah Melayu, 'kerana mulut badan binasa'. Teringat juga cerita dari buku 'U-turn ke Jalan Lurus' hasil tulisan Ustaz Zul, mengenai kisah seorang hamba yang bermulut jahat. Ketika tuannya mahu membelinya, sudah diingatkan oleh pelelongnya bahawa hamba ini bermulut jahat, tetapi tuan itu mengambil mudah dari peringatan si pelelong lalu terus membeli hamba itu. Akhirnya, tuan yang kaya dan mempunyai rumahtangga yang bahagia, hidupnya musnah dalam sekelip mata hasil dari mulut jahat sang hamba yang bermulut jahat ini. Manusia yang bermulut jahat diistilahkan seperti ular. Ular membelit mangsanya dan mematuk mangsanya dengan rakus, tidak sepadan dengan gerakannya yang senyap dan saiznya yang kecil itu.

Dalam suasana bekerja, si mulut jahat memberi kesan yang besar kepada organisasi. Sesebuah jabatan boleh menjadi porak peranda dek penangan si mulut jahat. Mereka bersikap bermuka-muka dan menyebarkan cerita kurang enak kepada sesiapa sahaja. Di hadapan ketua, mereka mengadu domba, sibuk bercerita perihal pekerja lain. Apabila di hadapan rakan-rakan sekerjanya, si mulut jahat menanam bisa melalui kata-kata dan menyebarkan fitnah dan akhirnya melaga-lagakan sesama manusia. Jika ketua termakan kata-kata mereka lalu memarahi insan yang difitnah itu, si mulut jahat akan segera mendekati insan yang dimarah ini, lalu mula memujuk dan kemudian menghasut insan ini untuk membenci ketua itu dengan suntikan-suntikan cerita yang tak betul berkenaan ketua itu, menaikkan dan memarakkan kebencian orang terhadap ketua yang dimaksudkan. Apabila insan itu termakan kata-kata lalu berdendam dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ketua itu, si mulut jahat akan menyampaikan kata-kata nista itu kepada ketua itu pula, lalu porak perandalah jabatan itu. Bahayanya si mulut jahat ini, lebih berbahaya dari binatang buas di hutan. Binatang buas mengeluarkan taring dan kuku ketika perlu atau ketika menyelamatkan diri, tetapi si mulut jahat melakukannya tanpa sebab yang munasabah, kadangkala ia sekadar sesuatu yang dilakukan bagi memuaskan hati sendiri, masya-Allah.

Kepada pembaca, jagalah kata-kata. Elakkan dari menjadi si mulut jahat. Manusia dahulu kala ramai yang terbunuh akibat perperangan, namun manusia hari ini ramai terbunuh kerana kata-kata.

Tips Solat Khusyuk -Nota Kecil dan Ringkasan dari Ceramah Ustaz Zawawi Yusoh

*Solat untuk ingat Allah

*Dirikanlah sembahyang kerana dengan sembahyang itulah dapat mencegah perkara mungkar.

*Hanya solat yang khusyuk yang dapat mencegah kemungkaran.

*Orang yang sembahyang adalah orang yang tenang.

*Kalau solat baik, diluarpun kita baik.

*Khusyuk adalah kehadiran fikiran (pendapat sesetengah ulama).

*Ingatan-ingatan yang berkait dengan Allah =khusyuk

*Anggota badan melaksanakan tugasnya, mata tgk tempat sujud, mulut membaca ayat-ayat yang dibaca, telinga dengar, otak menterjemah apa yang kita baca.

*Persiapan sebelum solat. Mengetahui Asmaul Husna. Solat di awal waktu. Sunat iqamah sebagai persiapan solat. Wudhuk yang sempurna. Sunat bersiwak atau menggosok gigi. Tidak mendirikan solat dalam keadaan syak. Jangan mulakan solat dalam keadaan menahan kencing atau buang air besar ataupun kentut. Pilih tempat yang sesuai untuk solat, contohnya masjid, surau, di bilik khas di rumah. Jauhilah bersolat di laluan orang ramai. Pilihan pakaian yang sesuai untuk solat, selesa, bersih dan menutup aurat. Tentukan ayat yang nak dibaca dan pastikan maknanya. Berkeinginan untuk berjemaah. Berusaha bersungguh-sungguh untuk bersolat di saf depan. Pergi ke masjid sebelum iqamah. Jika seseorang menolak kita sebagai imam, jangan ditolak jika kita mampu jadi imam. Jangan berimamkan imam yang bermasalah. Berjalanlah dari masjid ke masjid, supaya mungkin terjumpa imam yang berhati bersih. Perbetulkan pergerakan solat. Kalau boleh banyakkan mendengar bacaan-bacaan orang-orang di Masjidil Haram, bacaan orang-orang yang faham ayat-ayat al-Quran. Jangan mulakan solat apabila makanan telah dihidangkan, pilihlah makan kerana untuk menjaga solat, takut-takut semasa solat teringatkan makanan. Jangan tergopoh gapah dalam solat. Ketika musafir, jamak dan qasarkan solat kita. Jangan mendirikan solat dalam keadaan marah. Jangan terus solat selepas majlis-majlis yang lalai. Jangan solat dalam keadaan mengantuk. Letakkan pandangan di hadapan dan kena letakkan rasa bahawa besarnya pahala orang yang khusyuk. Meletakkan perasaan bahawa solat itu adalah bekalan dan amalan yang besar ganjarannya. Meletakkan azam untuk khusyuk di setiap rakaat. Jangan sampai membuatkan orang tak khusyuk disebabkan kita. Bawak sapu tangan jika selsema. Mata jangan tengok perkara-perkara yang tak elok dan haram. Kalau solat dirumah, sediakan tempat solat yang khas.

*Persiapan semasa sembahyang. Niatlah sembahyang dengan ingin khusyuk. Ketika solat, mata tengok tempat sujud, anggota badan dengan peranan masing, mulut membaca, telinga dengar, otak terjemah. Anggaplah solat itu adalah solat yang terakhir. Bacalah ayat-ayat yang boleh menyedarkan kita dan dapat dihayati. Merasakan diri kita sedang berdiri di hadapan Allah. Rukuk ada perbuatan menghinakan diri kit adi hadapan Allah. Renungkan makna-makna ayat, iftitah adalah ikrar kita dengan Allah, seolah-olah kita berjanji dengan Allah. Jangan pejam mata, tengok tempat sujud, seolah-olah perkara lain tiada kaitan. Kalau boleh menangislah dalam solat, kalau tak boleh menangis, cubalah untuk merasa sayu. Baca Quran dengan bacaan yang betul. Kalau berjemaah, kalau imam baca, kita dengar. Merasakan selah-olah kita berinteraksi dengan Allah. Jangan pedulikan orang di sekitar. Jangan banyak gerak. Jauhi pergerakan yang pelik dalam solat. Anggaplah solat bukannya ikutan dan adat. Tak semestinya solat khusyuk itu panjang. Jangan menguap dalam solat, jika nak menguap, tahan atau gigit lidah. Sebelum beri salam, berdoa.

*Selepas solat. Beristighfar. Bertasbih dan bertahmid. Elakkan ujub, riyak, takabbur yang wujud dari solat yang khusyuk. Melakukan solat-solat sunat bagi menampung kekurangan solat fardhu.

Dakwah

Assalamualaikum wbt,

Kebiasaannya, teman kerap menghantar entri di ruangan blog teman hampir setiap hari. Namun sejak akhir-akhir ini, seolah-olah sepi pula. Kekeringan idea atau tak berkesempatan menulis? Idea itu ada, kerana dakwah perlu disampaikan walaupun sedikit. Teman ini, manusia yang tak berdaya dan lemah. Kalau dengan rakan sekerja, hanya mampu memberikan dakwah 'bilhal', maksudnya, bukan melalui kata-kata, tetapi dengan perlakuan. Samada mereka faham atau sedar, terpulanglah. Kerana teman dulu memang gambaran kepada segala yang tidak baik, teman memang teruk dahulu. Tetapi Allah itu Maha Penyayang, teman rasa bertuah kerana Allah masih memberi perhatianNya buat teman, Dia tidak membiarkan teman terus hanyut dan hidup di dalam keadaan yang penuh maksiat dan dosa, terima kasih Allah. Kerana itulah, dakwah melalui kata-kata memang agak sukar teman lakukan kerana kata-kata yang bakal dilemparkan, '"kau pun bukannya baik sangat". Tak mengapalah, ilmu Allah itu luas, dakwah juga adalah salah satu cabang ilmu dan ia mempunyai pelbagai kaedah-kaedah lain yang juga berkesan selain dari dakwah melalui kata-kata.

Teman sendiri, dahulunya susah nak ditegur. Bila sahabat serumah menyuruh teman solat, teman balas balik dengan hujah yang berbelit. Ilmu agama yang ada teman gunakan untuk membelit kata-kata orang, bukannya untuk diamalkan, Astaghfirullah! Tetapi apa yang menghantukkan kepala teman, apabila seorang teman di tempat kerja yang mempunyai akhlak yang terbaik, akhirnya dijemput Allah, namun pemergiannya dihujani dengan cerita-cerita tentang kebaikannya semasa hayatnya. Dan kematian beliau sangat memberi kesan yang mendalam sehingga teman berazam untuk mendekati Allah. Arwah tidak datang dan berdakwah dengan teman, tetapi sikapnya cukup membuatkan teman kagum dan berazam ingin menjadi insan sebaiknya. Dalam diam-diam, perasaan takut akan kematian tanpa persediaan yang cukup, sudah cukup membuatkan hati berasa gentar mengenangkan diri yang penuh noda dan dosa.

Di halaman blog ini adalah hamparan kata-kata dakwah yang datang dari hati. Jika di pejabat, dakwah dilakukan dengan menjaga akhlak, di alam maya, penulisan menzahirkan segala yang terbuku dan dapat dikongsikan. Teman percaya, ramai yang mencari kebenaran tetapi tidak tahu bagaimana. Maka, zaman lembaran tanpa wayar ini adalah medan terbaik yang boleh memberi sedikit input kepada pencari kebenaran. Ia bukanlah satu suapan jiwa bersifat total, tetapi ia boleh menjadi titik mula yang baik. Ilmu tetap perlu dicari dengan pelbagai cara. Jika dianugerahkan murabbi, ia memberi kelebihan kerana murabbi adalah pembimbing yang dapat menemani pencari kebenaran dan dapat memberi jawapan kepada persoalan dalam mengenal Allah dan Islam. Murabbi tak semestinya golongan agama yang tertentu seperti ulama dan ustaz, tetapi ia mungkin juga di kalangan rakan-rakan di sekitar, yang mempunyai ilmu dan amal yang lebih baik dari kita.

Alasan yang pasti bagi persoalan mengapa sudah sekian hari tidak memasukkan entri, ia adalah kerana teman sendiri sedang sibuk mencari dan menambah ilmu bagi memantapkan akidah dan mengekalkan istiqamah. Kepada pencari kebenaran, teruskan mencari dan berdoa agar diberi hidayah dan petunjuk. Teman doakan pencari-pencari kebenaran dapat menemui kebenaran yang dicari. Allah Maha Mengetahui.

Friday, 24 June 2011

2 jam 10 minit...Tarbiyah Allah

1. Hari-hari, di dalam doa, di dalam solat, di dalam surah al-Fatihah yang dibaca, kita meminta petunjuk dari Allah. Kita minta Allah tunjukkan jalan yang lurus. Bila kita minta Allah menunjukkan kita jalan yang lurus, bermakna kita sudah atau perlu bersedia menerima petunjuk dan teguran Allah agar kita tetap di jalan yang lurus seperti yang kita pinta dan doa. Mungkin kadangkala, kita ucapkan doa itu sekadar rutin bahasa-bahasa doa yang afdhal diungkapkan, namun seberapa jauh penerimaan kita, wallahua'lam. Bila ada orang datang menegur sikap kita, kadangkala melenting, timbul rasa sakit hati dan malu kerana ditegur. Tapi tidakkah kita sedar bahawa Allah menjawab permohonan kita agar diberi petunjuk?

2. Mengapa perkara di atas teman sentuh? Kerana hari ini, teman ditegur Allah daripada pukul 11.30 pagi, sehingga 1.40 petang. 2 jam 10 minit, teman ditarbiyah Allah dengan caraNya yang tak terlintas dek akal fikiran kita manusia biasa, bodoh dan hina ini.

3. Selama ini hati terbuku dengan pelbagai luahan yang tak terluah dek kata-kata. Segala teka teki cuma berlegar di benak, tidak di bibir. Melalui ayat, 'Dengan orang kafir, hendaklah kamu bertegas', ekspresi teman merealisasikan ayat tersebut dengan pemahaman yang jumud. Namun kemudian, selepas sekian lama memahami dengan cara yang jumud itu, 2 hari lepas teman ternampak ayat, 'kepada yang meminta pertolonganmu, janganlah kamu herdik'. Diteguhkan dengan cerita di radio IKIM mengenai sikap berlemah lembut dengan orang kafir, maka pemahaman jumud itu disangkal sedikit demi sedikit. Ia hasil doa,"Ya Allah, berilah aku kefahaman yang mendalam terhadap agamaMu dan hikmah-hikmahMu".

4. Di dalam doa, " Ya Allah, berilah aku pekerjaan yang terbaik", ia adalah lontaran doa dek kerana rasa yang tidak selesa terhadap pekerjaan sekarang. "Ya Allah, manfaatkanlah masa ku bekerja dan jadikan pekerjaanku ibadah terbaikku", ia adalah doa yang meluncur dari hati kerana semangat kerja yang kian menurun kerana keadaan yang dirasakan tidak selesa. Semuanya Allah jawab melalui tarbiyah 2jam 10minit itu.

5. Ya Allah, terima kasih atas petunjukMu.

6. Apa yang berlaku selama 2 jam 10 minit itu? Teman dipanggil ketua jabatan teman yang bukan Islam. Pada mulanya ia adalah sebuah pergaduhan yang besar, namun akhirnya segala rasa hati yang terbuku selama ini teman hamburkan kesemuanya sehingga ketua teman terkejut. Dan akhirnya dari sebuah pergaduhan yang hangat bertukar menjadi perbincangan dari hati ke hati dan berakhir dengan ucapan maaf. Orang bukan Islam itu menegur teman, dan teman akhirnya tersedar bahawa sikap teman yang terlalu tegas itu di salah faham oleh orang sekeliling. Allah mentarbiyah teman melalui seorang yang bukan Islam kerana selama ini dalam diam teman melukakan hati orang-orang bukan Islam dengan cara yang tidak teman sengajakan. Walaupun niat teman adalah untuk berterus terang, bertegas, dan tidak mahu bersikap hipokrit, tetapi ia bukanlah apa yang dianjurkan Islam. Islam mengajar tentang sabar, dakwah bil hal, iaitu dakwah dengan menunjukkan akhlaq yang baik, dan Islam mengajar tentang berlemah lembut dan berbuat kebaikan kepada semua orang tak kira ia beragama Islam atau tidak. Dan akhirnya Allah hantar orang bukan Islam juga yang menegur teman. Sepanjang 2 jam 10 minit, segala doa teman telah terjawab.

7. Ya Allah, ampunkan segala dosaku.

Thursday, 23 June 2011

Bila Jalan Allah Kulalui Sendiri

Sesuatu yang menyedihkan dan memedihkan apabila insan tersayang menolak perkara baik yang kita cuba sampaikan padanya. Apabila kasih sayang tinggi, kita mahu orang-orang yang kita sayang dilindungi. Dari segi kerohanian, kita manusia adalah hamba Allah yang pastinya akan dihadapkan di mahkamah Allah dan akhirnya diputuskan samada ke syurga atau neraka setelah timbangan kanan dan kiri diambil kira. Pastinya apabila kita menginsafi diri dan segera mengumpul bekalan ke 'sana', kita pasti ingin membawa orang-orang tersayang untuk sama-sama ke syurga. Tak sanggup untuk ke neraka, dan tak sanggup juga jika insan-insan tercinta turut sama terjun ke neraka jahannam yang apinya menggelegak dan menjulang-julang. Begitu juga teman, atas dasar kasih sayang, teman bersungguh-sungguh mengajak orang yang paling teman sayang untuk turut sama mengumpul amal, sehinggakan mungkin nampak seperti memaksa. Harapan yang tinggi untuk beramal bersama mungkin menjadi penyumbang kepada ajakan yang berunsur paksaan. Tetapi teman juga harus ingat bahawa hidayah Allah itu diberi kepada sesiapa yang Dia pilih dan mahukan sahaja. Bukan semua orang merasa. Jika kita dikurnia hidayah, mungkin orang di sebelah tidak. Jika ibu kita mendapat hidayah, mungkin kita sebagai anaknya tidak. Hatta insan mulia seperti Nabi Nuh juga mengalami masalah yang sama. Orang yang dicintai baginda iaitu isteri dan anaknya sama sekali kufur lalu bahteranya berlayar di tengah gelombang banjir besar tanpa insan tercinta. Pasti hatinya terluka. Ya, memang terluka apabila orang yang kita sayang tidak turut serta dalam perjalanan kita menuju jalan Allah. Ia adalah ujian, bagi yang beriman, pasti mereka mampu menghadapinya dengan tabah dan yakin dengan ketentuan Allah. Ya Allah, aku mohon ampun.

Tuesday, 21 June 2011

Scam Email - Lane, Deforia [Deforia.Lane@UHhospitals.org], subject: Important Notice!!!!

Assalamualaikum wbt and Good Morning to All,

This is another scam email, be careful everybody. Don't let this people cheat on you.

Monday, 20 June 2011

Nota Kecil dari Ceramah Ustaz Kazim-10 orang yang diterima solatnya

  1. Orang yg tak berjamaah. Orang tu dengar azan, rumah dekat surau/masjid dan terdengar azan, wajib berjemaah. Lelaki wajib, perempuan tak dilarang jika tidak menimbulkan fitnah. Suara azan yg didengar tanpa pembesar suara.
  2. Orang yg tak mengeluarkan zakat. Zakat wang simpanan, zakat barang kemas
  3. Solat org yang berzina.
  4. Solat orang yang memakan riba, dosa org makan riba sama seperti dosa membunuh nabi.
  5. Solat si pencuri.
  6. Orang yang memakan/meminum yang haram, setitik arak bersamaan dengan 40hari amalan tak diterima
  7. Orang yang makan benda yang haram, contohnya makanan curi.
  8. Orang yang menjual makanan/minumam yang haram. Contohnya makanan eksotik.
  9. Hamba yang lari dari tuan, larinya seorang suami meninggalkan anak isterinya tanpa nafkah.
  10. Solat orang perempuan yang masam mukanya. Atau wanita yang derhaka pada suami. Wanita keluar rumah tanpa izin suami.

Mulakanlah Sesuatu Dengan Nama Allah kerana Allah Sebaik-baik Penolong

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat pagi buat semua,

Alhamdulillah, sesungguhnya Allah Maha Besar, Maha Suci Allah dan segala puji bagi Allah yang menjadikan ala mini sangat indah. Nikmat yang terlalu hebat, diberikan kita kehidupan yang serba cukup dan dihidupkan lagi hingga ke hari ini. Alhamdulillah.

Seawal pagi, teman bersiap untuk pergi bekerja. Ketika membuka pagar rumah, teman bacakan “Bismillahi tawakkaltu ‘alallah, walaa haula walaa quwwata illaa billah” dan kemudian bersiap sedia untuk memandu kereta kecil teman itu. Masuk sahaja gear, terus sahaja mulut terkumat kamit membacakan doa menaiki kenderaan. Ia adalah jasa radio IKIM kerana sering melagukan doa menaiki kenderaan dendangan Munif Hijjaz sehinggakan teman terhafal dengan mudah, ia kerja Allah, memberi nikmat menghafal dengan mudah dengan kaedah lagu. Kemudian, enjin berderum dan kereta meluncur di atas jalanraya. Teman membaca ayat Kursi sebanyak 3 kali sambil menghayati maknanya, walaupun kadangkala penghayatan itu tenggelam timbul, namun apabila tersedar bahawa ia tidak di baca dengan hati, terus teman cuba menumpukan perhatian terhadap makna surah ringkas itu. Selepas itu, jika teringat, teman bacakan ayat 129 dari surah at-Taubah. Kemudian radio dibuka, sering sahaja lagu-lagu zikir dari Hijjaz menjadi pilihan, namun hari ini teman memilih CD Mawaddah. Selepas 10 minit memandu, sahabat teman menghantar sms dan memberitahu bahawa lebuhraya yang sering teman gunakan berkeadaan sesak teruk. Kuasa Allah sangat hebat, teman mendapat sms tersebut dari jarak 1kilometer dari lebuhraya alternatif yang boleh mengelakkan lebuhraya sesak itu. Jalan alternatif ini lebih panjang dan memakan masa, tapi ia lebih baik daripada terperangkap berjam-jam lamanya. Allah menghantarkan berita itu tepat pada masanya. Itulah ganjaran jika memulakan perjalanan dengan nama Allah dan ayat-ayat suci al-Quranul Karim. Cukuplah Allah sebagai Penolong, itulah yang termaktub dalam ayat yang teman amalkan dari ayat 129 dari surah at-Taubah. Allah sebaik-baik Penolong.

Akhirnya teman dapat mengambil sahabat teman dirumahnya dan sampai di tempat kerja dengan cepat dan Selamat. Jalanraya nampak lengang kerana sesak di kawasan sebelumnya. Ada lori yang melintangi lebuhraya tersebut dan hanya motosikal sahaja yang lepas. Sampai di perkarangan pejabat, sahabat teman menghulurkan sedikit wang sebagai duit minyak, teman tak minta pun kerana teman ingin anggap pertolongan teman sebagai sedekah, namun niat itu tak menjadi kerana diganti dengan rezeki yang dihulur tanda penghargaannya, terima kasih sahabat, teman tak minta tetapi teman anggap ia rezeki dari Allah. Allah Maha Penyayang, sentiasa menolong teman dan memberi rezeki yang tidak disangka-sangka. Kerana itulah teman harus selalu sujud sebagai tanda syukur atas segala nikmat yang diberi.

Kepada seisapa yang membaca, yakinlah pada pertolongan Allah kerana Dia sebaik-baik Penolong. Mulakan apa sahaja kerja yang anda mulakan dengan nama Allah dan ayat-ayatNya. Semoga anda sentiasa berada dalam Rahmat Allah.

Mulakanlah Sesuatu Dengan Nama Allah kerana Allah Sebaik-baik Penolong

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat pagi buat semua,

 

Alhamdulillah, sesungguhnya Allah Maha Besar, Maha Suci Allah dan segala puji bagi Allah yang menjadikan ala mini sangat indah. Nikmat yang terlalu hebat, diberikan kita kehidupan yang serba cukup dan dihidupkan lagi hingga ke hari ini. Alhamdulillah.

 

Seawal pagi, teman bersiap untuk pergi bekerja. Ketika membuka pagar rumah, teman bacakan “Bismillahi tawakkaltu ‘alallah, walaa haula walaa quwwata illaa billah” dan kemudian bersiap sedia untuk memandu kereta kecil teman itu. Masuk sahaja gear, terus sahaja mulut terkumat kamit membacakan doa menaiki kenderaan. Ia adalah jasa radio IKIM kerana sering melagukan doa menaiki kenderaan dendangan Munif Hijjaz sehinggakan teman terhafal dengan mudah, ia kerja Allah, memberi nikmat menghafal dengan mudah dengan kaedah lagu. Kemudian, enjin berderum dan kereta meluncur di atas jalanraya. Teman membaca ayat Kursi sebanyak 3 kali sambil menghayati maknanya, walaupun kadangkala penghayatan itu tenggelam timbul, namun apabila tersedar bahawa ia tidak di baca dengan hati, terus teman cuba menumpukan perhatian terhadap makna surah ringkas itu. Selepas itu, jika teringat, teman bacakan ayat 129 dari surah at-Taubah. Kemudian radio dibuka, sering sahaja lagu-lagu zikir dari Hijjaz menjadi pilihan, namun hari ini teman memilih CD Mawaddah. Selepas 10 minit memandu, sahabat teman menghantar sms dan memberitahu bahawa lebuhraya yang sering teman gunakan berkeadaan sesak teruk. Kuasa Allah sangat hebat, teman mendapat sms tersebut dari jarak 1kilometer dari lebuhraya alternatif yang boleh mengelakkan lebuhraya sesak itu. Jalan alternatif ini lebih panjang dan memakan masa, tapi ia lebih baik daripada terperangkap berjam-jam lamanya. Allah menghantarkan berita itu tepat pada masanya. Itulah ganjaran jika memulakan perjalanan dengan nama Allah dan ayat-ayat suci al-Quranul Karim. Cukuplah Allah sebagai Penolong, itulah yang termaktub dalam ayat yang teman amalkan dari ayat 129 dari surah at-Taubah. Allah sebaik-baik Penolong.

 

Akhirnya teman dapat mengambil sahabat teman dirumahnya dan sampai di tempat kerja dengan cepat dan Selamat. Jalanraya nampak lengang kerana sesak di kawasan sebelumnya. Ada lori yang melintangi lebuhraya tersebut dan hanya motosikal sahaja yang lepas. Sampai di perkarangan pejabat, sahabat teman menghulurkan sedikit wang sebagai duit minyak, teman tak minta pun kerana teman ingin anggap pertolongan teman sebagai sedekah, namun niat itu tak menjadi kerana diganti dengan rezeki yang dihulur tanda penghargaannya, terima kasih sahabat, teman tak minta tetapi teman anggap ia rezeki dari Allah. Allah Maha Penyayang, sentiasa menolong teman dan memberi rezeki yang tidak disangka-sangka. Kerana itulah teman harus selalu sujud sebagai tanda syukur atas segala nikmat yang diberi.

 

Kepada seisapa yang membaca, yakinlah pada pertolongan Allah kerana Dia sebaik-baik Penolong. Mulakan apa sahaja kerja yang anda mulakan dengan nama Allah dan ayat-ayatNya. Semoga anda sentiasa berada dalam Rahmat Allah.

Friday, 17 June 2011

Tagha

Tagha adalah perasaan yang merasakan diri sendiri lebih baik terhadap 4 perkara, iaitu merasakan diri pandai, hebat, berkuasa dan kaya. Sifat tagha adalah salah satu penyebab manusia tidak memasuki syurga. Masya-Allah. Teman terkedu apabila terbaca tentang tagha di dalam buku bertajuk Pesona Solat Tahajud karangan Dr.Muhammad Salleh. Teman bersolat setiap hari, mencari kebaikan dan cuba menjadi hamba Allah yang terbaik. Sangka teman, riyak perlu dihindar dan ujub perlu dielakkan. Riyak adalah sikap mahu menunjuk-nunjuk sedang ujub pula adalah perasaan takjub terhadap diri sendiri. Tetapi teman terlepas pandang tentang satu lagi sifat yang perlu dijauhi iaitu tagha. Apabila terbaca tentang hakikat tagha, abrulah teman faham mengapa teman diuji dengan 4 perkarra tersebut (pandai, hebat, berkuasa dan kaya). Dan teman bersyukur kerana akhirnya teman faham hikmah Allah menguji teman sebegitu, kerana Allah sayangkan teman dan mahu teman melepaskan sikap tagha terhadap 4 perkara tersebut. Mengapa Allah uji? Kerana Dia mahu teman pulang ke pangkal jalan dan menjadi hamba Allah yang sebenar-benar hamba, mengingatkan teman tentang betapa hinanya teman dan akhirnya menjawab doa teman yang meminta untuk dibersihkan diri dan hati. Tagha, ternyata ia adalah salah satu kekotoran hati yang menghijabkan manusia dengan Rabbnya. Ya Allah, ampunkan aku.

1. Tagha terhadap harta dan kemampuan
Dahulu, ketika teman baru sahaja menjejakkan kaki ke alam pekerjaan, teman agak bernasib baik dari kawan-kawan sekuliyah teman. Teman mendapat kerja dan ditawarkan gaji yang bagus. Teman berbangga kerana gaji teman lebih dari orang lain dan teman berkemampuan memiliki apa sahaja dengan wang sebanyak itu. Jika kawan-kawan di kotaraya KL terpaksa bersempit-sempit di rumah flat 2 bilik, teman hidup mewah di rumah teres 3 bilik yang lengkap dengan perabot yang cantik. Tetapi akhirnya teman teruji. Teman kecewa dalam bercinta lalu teman membuat keputusan bodoh untuk berhenti kerja. Teman menanggung hutang yang banyak. Teman tiada lagi wang kocek yang berlebihan kerana sibuk membayar hutang. Apabila teman berhenti kerja, simpanan wang teman semuanya habis sehingga terpaksa menyusahkan orang tua teman. Teman jadi miskin dan berhutang keliling pinggang. Teman sering bertanya, mengapa Allah uji teman sebegitu? Tetapi sekarang teman sudah faham. Perasaan miskin itu dapat mengikis perasaan tagha, tiada lagi rasa megah terhadap kemampuan kerana teman sudah tidak mampu lagi.

2. Tagha terhadap kuasa.
Dulu, teman mempunyai kuasa di tempat kerja. Teman boleh memilih mana-mana kontraktor dan memberi mereka projek. Teman bangga kerana syarikat-syarikat yang melobi projek terpaksa melutut dan merayu demi mengharapkan projek diberi kepada mereka. Dengan bangganya teman pernah berkata, "aku suka kerja sebegini daripada kerja di bahagian pemasaran, aku tak suka merayu, aku suka orang menyembah aku minta projek, mereka yang merayu bukan calang-calang, mereka adalah pengarah syarikat, jika di syarikat mereka, mereka menindas orang di bawah mereka, tetapi dengan aku mereka terpaksa melutut walaupun aku eksekutif biasa'. Betapa angkuhnya teman. Itu tagha! Akhirnya teman kehilangan kuasa setelah dianiaya oleh ketua teman sendiri. Teman akhirnya menjadi pekerja yang tidak mempunyai fungsi penting di syarikat. Dan kini teman faham bahawa Allah mahu mengajar manusia takbur seperti teman. Menundukkan kepala teman supaya menyembah bumi. Alhamdulillah, biarlah teman tersungkur dan terhina, asalkan Allah tetap memberi petunjukNya.

3. Tagha terhadap hebat
Dahulu, teman berbangga dengan pelbagai kelebihan yang ada dalam diri teman. Tetapi semua itu hilang begitu sahaja kerana tiada lagi tempat untuk menunjukkan kehebatan itu. Ia seolah-olah menyepi dan teman akhirnya sedar, teman tak hebat. Tiada apa yang boleh dibanggakan lagi.

4. Tagha tentang pandai
Dahulu, teman bangga dengan kelulusan akademik teman. Tetapi akhirnya teman gagal dalam kerjaya, kelulusan tinggi tidak lagi dipandang mulia kerana kegagalan diri memadam reputasi teman.

Keempat-empat nikmat ini Allah tarik daripada teman, tetapi teman redha dan akur. Dulu teman tak redha, teman kecewa dan memberontak, tertanya-tanya mengapa teman diuji sebegitu. Tetapi hari ini teman akur dan redha, malah bersyukur kerana Allah memberi petunjuk, agar teman tak terus menerus berada dalam kesesatan. Alhamdulillah. Semoga Allah melindungi teman dari sikap sebegini dan semoga Allah menjauhkan teman dari segala penyakit hati.

Bisul Kecil di Bahagian Atas Kemaluan

Ia adalah masalah kebanyakan wanita. Teman mencari maklumat tentang perkara ini memandangkan ada seseorang yang bertanya teman tentang ini. Jadi, teman rasa, maklumat yang teman dapat ini boleh dikongsi bersama. Agar ia membawa manfaat kepada semua. Teman olah semula artikel yang teman baca, blog tersebut berasal dari Indonesia. http://archive.kaskus.us/thread/2411055

Bisul yang dimaksudkan tumbuh dan timbul di sekitar 2-3cm di atas kemaluan atau di daerah 'V'. Bisul yang timbul bersaiz kecil, seperti jerawat nasi yang ada nanah putih di puncak jerawat itu. Ia amat tidak selesa. Jadi ada beberapa perkara yang perlu diketahui wanita:-

1. Bisul terhasil daripada kumpulan sel darah putih.

2. Sel darah putih terkumpul disebabkan meningkatnya jumlah bakteria secara mendadak di dalam dan di sekita daerah 'V' wanita kerana sel darah putih itu bertindakbalas terhadap bakteria atau benda-benda asing yang singgah di kulit atau tubuh kita.

3. Bakteria pula terkumpul secara mendadak kerana keadaan sekitar daerah 'V' wanita terlalu lembab. Bakteria memang ada di mana-mana bahagian tubuh, tetapi jika ada bahagian tubuh yang lembab, bakteria akan bertumpu di kawasan yang kembab itu.

4. Kemaluan menjadi lembab disebabkan cuaca, pemilihan seluar dalam yang kurang menyerap dan pemakaian 'panty liner'.

5. Oleh itu penggunaan 'panty liner' tidak digalakkan kerana daerah 'V' sememangnya kawasan yang mudah lembab, tetapi apabila ia ditambah pula dengan kehadiran 'panty liner', maka kawasan yang lembab itu seolah-olah terperap dan menambahkan lagi kelembapan. sebagai cadangan, bawalah seluar dalam lebih ke mana-mana sahaja dan gantikan seluar dalam tersebuat apabila seluar dalam yang sedang dipakai sudah kotor atau lembab. Gunakan seluar dalam yang boleh menyerap.

6. Cara pembersihan bulu pubis, maksudnya, bulu di kemaluan. Teknik mencabut dan juga 'wax' adalah teknik yang boleh menyumbang ke arah perkembanagn bakteria. Melalui teknik 'mencabut' bulu-bulu tersebut, teknik ini akan mencabut akar buku lersebut yang mempunya diameter yang agak besar dan boleh membesarkan liang pori kulit. Apabila liang pori terbuka luas, bakteria dan kuman mudah masuk dan 'berkampung' di kawasan tersebut.

7. Jangan cukur bulu kemaluan sampai licin. Allah menjadikan setiap anggota tubuh kita ini mempunyai fungsi dan hikmah. Bulu kemaluan juga mempunyai tanggungjawabnya yang tersendiri. Bulu kemaluan tidak seperti rambut. Rambut boleh panjang hingga ke kaki, sedangkan bulu kemaluan tidak begitu. Jika perlu dipotong, janganlah sampai licin kerana bulu kemaluan mampu mengekang penggeseran antara kulit kemaluan yang sensitif dengan fabrik pakaian. Penggeseran terhadap kulit yang sensitif ini boleh mengakibatkan keradangan.

8. Sabun yang disarankan adalah sabun yang bukan dalam bentuk cecair, antiseptik dan 'scrub'. Sabun yang disarankan adalah sabun bayi. Ingat, ia adalah kawasan sensitif! Perkara lain yang perlu dielakkan untuk digunakan bagi membersihkan kemaluan termasuklah penggunaan sabun feminin 'hygiene', atau pun air daun sirih atau apa-apa yang seumpama dengannya. Losyen badan juga perlu dielakkan di daerah 'V'.

9. Jangan gunakan pelembut pakaian atau pewangi pakaian. Elakkan bahan kimia yang berlebihan.

10.Selepas membuang air, pastikan anda mengeringkan daerah 'V' dahulu. Boleh guna tisu yang ada, asalkan kering dan bersih. Jangan menyentuh kemaluan dengan tangan yang kotor.

Thursday, 16 June 2011

Sementara

Hidup ini sementara. Itu memang semua orang tahu, tapi pernahkah kita berfikir tentangnya secara mendalam. Teman pun, baru hari ini, selama 30tahun hidup, kali pertama mahu memikirkan hal ini sedalamnya, tidaklah dalam sangat, cuma baru teman perasan hakikat itu. Masa berjalan dan terus berjalan, membuatkan kehidupan ini nampak singkat. Kehidupan mengalami fasa-fasa tertentu dan kita bergerak mengikut perubahan yang kita alami fasa demi fasa. Bagaikan semalam teman bermain dan bergaduh dengan abang teman, melihat kakak dan abang berlari dan bergaduh. Teman baru berusia 4 tahun, tetapi masih terkenang kakak teman balik membawa buah ceri yang dijumpainya ketika dia dalam perjalanan pulang dari sekolah. Abang dan kakak terpaksa berjalan kaki sepanjang 5 kilometer kerana tiada siapa yang mengambil mereka dari sekolah, mereka kelihatan penat dan letih tetapi sempat menghulur buah ceri buat teman yang masih kecil. Seketika cuma ia berlalu begitu sahaja. Beberapa tahun kemudian, tiada lagi tempat bermain, kakak dihantar ke asrama, yang tinggal cuma abang, itulah kawan bergaduh dan bermain, masih segar diingatan mengayuh basikal ke sekolah bersama abang lalu jatuh di tepi jalan raya dan di langgar basikal kawan abang dari belakang. Sakitnya seolah-olah masih terasa hingga ke hari ini. Beberapa tahun kemudian, teman dan abang pula yang ke asrama, kakak pula di rumah. Tiada lagi saat kami 3 beradik berkumpul bersama, segalanya berlalu sekelip mata. Kadangkala rasa terkilan, seolah masa terlalu sempit buat teman merasa keindahan hidup bersama di bawah satu bumbung dengan mak ayah dan adik beradik. Ia terlalu sekejap dan benarlah ia sementara. Masa terus berlalu, ada yang ditinggalkan dan ada yang meninggalkan. Selepas beberapa tahun, abang dan kakak bekerja di utara tanah air, sedang teman masih bersekolah di asrama di sempadan kota. Dan akhirnya, mereka berkelurga dan teman pula terus mendaki puncak menara gading, yang kadangkala kaki tergelincir, namun puncak itu tetap terus dipanjat. Beberapa tahun kemudia, teman bekerja di selatan tanah air, abang di pertengahan antara utara dan selatan, dan kakak pula di utara tanah air. Ibu dan ayah akhirnya berdua sahaja di kampung, menghabiskan sisa-sisa hidup yang ada. Ia terlalu sementara, segalanya kejap dan cepat berlalu. Kini usia teman 30 tahun, teman akan terus melangkah dan akan mula kehilangan orang-orang tersayang atau diri teman sendiri yang hilang, itu lumrah. Tetapi kerana itulah kehidupan yang sementara ini usahlah dipuja-puja. Buanglah sikap 'hubbu ad-dunya'. Yang kekal itu negeri akhirat. Yang sementara ini usah dirai dengan kelalaian, namun platform sementara ini adalah paltform untuk membuat persediaan untuk alam yang kekal sana. Masa berjalan, tetapi adakah amal di dada sudah penuh? Bersediakah kita untuk hilang dan kehilangan? Ya Allah, ampunkan aku dan jadikanlah aku seorang yang alim dan abid. Hidupku, matiku, adalah untukMu.

Wednesday, 15 June 2011

Nota Kecil Kehidupan

Sejadah

Di surau tempat kerja teman, apabila sampai waktu solat Zuhur dan Asar, ramai yang sudah mula memenuhi surau. Ia satu suasana yang menyenangkan, kerana solat di awal waktu ini memang wajib, malah Allah berfirman di dalam al-Quran, menyuruh agar kita solat di awal waktu. Itu adalah sifat orang Mukmin, orang Mukmin tidak akan melengahkan waktu solat atas sebab-sebab yang kecil. Selalunya, mereka yang solat di awal waktu berumur 30 ke atas, semakin muda, semakin lambat waktu solatnya. Tetapi ada juga seorang yang berumur lingkungan 40-an (mungkin) sering solat dihujung waktu Zuhur, dan terus bersambung dengan Asar. Teman lihat, ada seorang 'kakak', orangnya seksi, tidak bertudung dan amat bergaya sekali. Beliau adalah antara 'pasukan' solat di awal waktu, malah teman pernah terlihat dia berada di kalangan 'pasukan' sunat Dhuha. 'Kakak' ini tertanya berbeza dan bertentangan ciri-ciri penampilan fizikalnya, dengan kemahuan rohaninya yang ingin menyempurnakan kewajiban solat. Beliau akan membentangkan sejadah-sejadah buat semua yang ada di situ, sungguh mulia. Teman berdoa di dalam hati, semoga Allah membuka hatinya untuk menutup aurat pula. Manusia perlu memasang azam ingin menjadi hamba Allah yang terbaik. Pintalah di dalam doa agar Allah memberi petunjuk dan hidayah kerana Allah hanya beri hidayah kepada sesiapa yang Dia mahukan, jadi hidayah perlu diminta oleh hambaNya agar kita terpilih menerima hidayah dari Allah, dan yakinlah Allah itu Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani, jika hati mahukan kebenaran, Allah Maha Mendengar dan Dialah yang Maha Berkuasa dan memakbulkan doa. Teman doakan 'kakak' itu, dan teman yakin kemurahan hatinya itu bakal mendapat balasan hidayah dari Allah, asalkan dia ikhlas.

Dakwah, Antara Ajak dan Paksa

Semasa sedang makan bersama kawan-kawan sepejabat, kami berbual tentang salah seorang kawan kami yang berbangsa India-China yang bercinta dengan seorang lelaki Islam dari United Kingdom. Di UK, orang lelaki Islam boleh mengahwini perempuan dari agama lain, tetapi di Malaysia tidak begitu. Perempuan tersebut perlu memeluk agama Islam untuk berkahwin dengan lelaki Islam tersebut. Kawan kami ini orang Malaysia, lelaki tersebut orang UK. Mereka perlu memilih, undang-undang mana yang digunapakai. Teman mencadangkan, berkahwinlah di Malaysia, supaya anaknya nanti boleh diiktiraf sejajar dengan undang-undang yang ada, pada masa yang sama mereka perlu mendaftar di UK juga. Harapan teman, kawan teman akan memilih untuk masuk Islam, biarpun pada mulanya atas dasar perkahwinan, tetapi mungkin daripada situ beliau akan memahami Islam dan terpikat untuk menjadi isalm yang sejati. Seketika, kawan teman itu meninggalkan meja untuk mengambil sesuatudi kaunter makanan, tinggallah teman dengan 2 orang lagi kawan teman yang Islam dan Melayu. Teman nyatakan, "aku sengaja mencadangkan dia daftar di Malaysia kerana bolehlah dia memeluk Islam", terang teman kepada 2 orang kawan teman itu. Salah seorang kawan teman tidak senang dengan apa yang teman kata dan menimbulkan isu paksaan. Menurutnya biarlah kawan kami yang bukan Islam itu membuat keputusannya sendiri, dan soal masuk Islam perlu datang dari hati, jangan dipaksa-paksa, itu hujah kawan teman. Teman kemudian menjawab,"itu bukan paksaan, itu cadangan supaya dia daftar di Malaysia, ia adalah maksud tersirat aku supaya dia masuk Islam, ia berunsur cadangan dan ajakan, bukan paksaan," teman cuba mempertahankan hujah teman tetapi kawan teman tetap menegaskan bahawa apapun yang teman cuba sampaikan, jangan cuba-cuba untuk memaksa, biarlah kawan teman itu memikirkannya sendiri. Teman menjawab lagi, dan kala itu kawan teman yang bukan Islam sudah hampir dengan meja kami,"Paksa dan ajak, 2 benda yang nyata berbeza maknanya. Paksa adalah sesuatu yang agresif, ajakan dan cadangan tak bersifat sebegitu, ia ternyata sangat berbeza". Pertikaian kami mati di situ kerana kawan teman yang bukan Islam itu akhirnya sampai ke meja dan duduk semula membawa air yang diambilnya di kaunter. Kami terus tukar topik. Tetapi hati teman terasa hangat dan panas. teman kecewa apabila dakwah teman disangkal. Ada saudara sesama Islam sendiri tidak setuju bila dakwah ingin disebarkan. Walaupun dakwah itu lembut dan tidak secara langsung dan terus, tetapi tetap membuatkan saudara sesama Islam sendiri tak senang. Sedangkan dakwah itu berlaku kerana kita sayangkan orang, kita mahu menyelamatkan seseorang supaya tidak terus kafir dan kufur. Mengapa orang Islam kita sendiri yang rasa tak senang hati? Tiadakah terbit di hati mereka untuk mengajak kawan mereka sendiri yang begitu rapat dengan mereka untuk sama-sama menikmati agama yang benar ini? Pernahkah mereka mendengar perkataan dakwah? Teman benar-benar kecewa. Semoga Allah merahmati kawan-kawan teman, semoga mereka diberi petunjuk oleh Allah dan kembali ke pangkal jalan.

Tuesday, 14 June 2011

Gempa Bumi di Sumatera 14 Jun 2011

Hari ini, 2 gempa bumi diberitakan telah berlaku di utara Sumatera dan gegarannya dapat dirasai oleh sesetengah tempat di Malaysia khususnya negeri Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Putrajaya dan Kuala Lumpur. Skalanya adalah 5.5 magnitud dan melanda pada jam 8.08 pagi ini. Gegaran kedua adalah pada kadar 5.6 magnitud di tempat yang sama 3 jam selepas gempa yang pertama. Gegaran berlaku sekitar 10 saat. Berita lengkap dari Indonesia belum diterima buat masa ini.

Ia telah diterangkan di dalam al-Quran tentang kejadian sebegini, ia adalah ibrah (pengajaran) kepada manusia dan menupakan amaran Allah ke atas hamba-hambaNya.

A016
Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)? (Al-Mulk 67:16)

A017
Atau patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Allah yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; maka dengan itu, kamu akan mengetahui kelak bagaimana buruknya kesan amaranKu? (Al-Mulk 67:17)

A018
Dan demi sesungguhnya! orang-orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka telah mendustakan (rasul-rasulnya lalu mereka dibinasakan); dengan yang demikian, (perhatikanlah) bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu. (Al-Mulk 67:18)

Monday, 13 June 2011

Durian, Ia Hadiah Dari Allah

Allah Engkau Dekat, Penuh Kasih Sayang.

Sayu hati ini…mengenangkan kasih sayang Allah yang tak terhingga buat hamba-hambaNya, termasuklah hambaNya yang hina seperti teman ini. Teman ingin berkongsi cerita tentang kasih sayang Allah yang berlaku semalam. Semoga cerita kecil ini memberi makna kepada pembaca yang membaca entri ini. Ia bukanlah cerita yang hebat, ia cuma pengalaman biasa dari insan yang tak punya apa-apa seperti teman.

Jam menunjukkan jam 11 pagi, perut berkeroncong minta diisi. Bila berseorangan begini, jadual makan jadi tak teratur. Sehingga 11 pagi, masih belum bersarapan, hari pula sudah tinggi. Ah, kena makan ni! Kunci kereta teman capai, rumah dikunci rapi dan kereta meluncur laju di jalan raya mencari sesuap nasi. Sempat juga teman singgah di kedai berdekatan membeli beberapa barangan rumah, tangan pula gatal nak menyentuh barang yang tidak ada dalam senarai keperluan. Tiba-tiba terdetik peringatan di kotak pemikiran,’buat apa beli benda yang kurang perlu, bukankah Allah berpesan, janganlah kamu berlebih-lebihan’. Barang itu diletakkan kembali. Akhirnya hanya 3 barang sahaja yang teman beli, benda yang betul-betul perlu. Kemudian teman meneruskan pencarian kedai makan, dalam hati berdoa moga hikmah Allah membawa diri ini memilih yang halal, jika ada yang tidak halal, mohon dikurniakan ilham untuk tidak mengambil makanan yang tidak halal itu dengan apa-apa cara sekalipun. Kita sememangnya mampu mencari dan memilih yang halal, tetapi sejauh mana kedai makan itu memastikan kebersihan dan kehalalannya, hanya Allah yang tahu, kerana itulah kita perlu berdoa kerana ia diluar batasan pemikiran kita, ia ilmu Allah, maka kepadaNya kita meminta petunjuk. Dia Maha Mengetahui.

Kedai mamak A, ‘reject’! Sebabnya? Sebuah kedai mamak Islam yang besar dan cantik, pelanggan kurang, itu tak mengapa, tetapi pilihan makanan cuma nasi kosong dan kari ayam, itu sahaja? Mana sayur? Oh, inikah adat orang berniaga? Tak hairanlah pelanggannya sedikit, terlalu sedikit. Kereta meluncur lagi mencari kedai makan yang lain. ‘Ya Allah, berilah petunjuk’.

Kedai B, wah, ada kari ayam, kari ikan, ada dalam lebih 5 jenis lauk, sayur pun ada banyak pilihan. Ya, inilah tempat yang tepat! Teman mencapai pinggan, memilih ayam goreng seketul, kuah kari ditaburkan ke serata nasi putih dan sayur bendi menjadi pilihan,’lama tak makan sayur bendi’. Seorang pelayan mamak singgah di meja, air limau ais meluncur laju di bibir tatkala mamak mengambil pesanan.

Doa jangan lupa, getus hati kecil teman. Makanan teman pada waktu itu terasa sangat nikmat. Walaupun berseorangan, hati tetap rasa tenang. Air limau ais membasahkan tekak, ia sangat lazat. RM5.90 dihulur setelah selesai menjamah kesemua hidangan yang teman ambil. Setelah kembali ke kereta, tiba-tiba hati berkata,’eh, teringin pula nak makan durian’. Enjin dihidupkan dan kereta bergerak perlahan bergerak ke arah sebuah lokasi yang sering menjaja durian hampir setiap hari. ‘Eh, mengapa tidak buka pula hari ini?’ Hati tertanya-tanya tetapi tidak lama, kerana teman faham, ini semua takdir dan rancangan Allah. Teman tersenyum sahaja, mungkin Allah tak bagi teman beli durian hari ini, Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya. Teman pulang terus ke rumah, tiada rasa terkilan kerana redha dengan apa yang diputuskan Allah.

Kereta diparkir di halaman rumah. Keluar sahaja dari kereta, deria bau teman menangkap bau durian dari rumah jiran sebelah yang berbangsa Cina, wah, sedapnya bau. Tak mengapalah, bau pun jadi. Tergetus di dalam hati, mengapa Allah menyampaikan bau durian jiran sebelah ini ke hidung teman? Pasti ada hikmahnya tetapi teman biarkan persoalan itu berlalu tanpa jawapan.

Jam menunjukkan jam 6 petang. Seorang sahabat menelefon ingin singgah di rumah teman. Tak sampai 10 minit, sahabat teman itu sampai di hadapan rumah. Ditangannya ada beg plastik hitam yang besar. Masya-Allah, ada durian kampung 2 biji. Baunya sangat wangi dan ia mudah dibuka kerana penjual durian tersebut telah membelah belahan durian itu sedikit, senang untuk dikupas. Teman menyimpan sebiji untuk budak rumah teman yang akan pulang dari kampung. Sebiji lagi teman buka, isinya kuning dan durian itu adalah antara gred yang terbaik. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Dia Maha Mengetahui. Rupa-rupanya Allah tak bagi teman keluar duit untuk membeli durian, kerana Allah menghantar durian percuma yang sangat sedap, ia adalah hadiah Allah yang sangat bermakna. Benarlah konsep syukur yang Nabi SAW ajarkan, kalau kita bersyukur, Allah beri lebih lagi. Terima kasih Allah, teman dapat merasakan betapa sayangnya Allah buat hambaNya, tetapi mengapa manusia sering kufur dengan nikmat yang Allah beri? Termasuklah teman. Ya Allah, ampunkan aku. Dan jadikan aku hambaMu yang sentiasa bersyukur.

Saturday, 11 June 2011

Tajassus

Assalamualaikum wbt dan selamat tengah hari,

Hari ini Imam Muda di Astro Oasis mengemukakan persoalan tajassus. Semasa teman mendengar perkataan tajassus, ia seolah-olah perkataan baru yang teman tidak tahu langsung maksudnya. Lalu teman melayari internet dan mencari maksud tajassus.

Diambil dari http://miftahulnurhusna.blogspot.com/2009/09/what-is-tajassus.html, teman menyelami maksud tajassus;
Dr Wahbah al-Zuhaili menyebut: “Tajassus termasuk dalam dosa-dosa besar, iaitu mencari keaiban yang tersembunyi dan rahsia”.( Al-Zuhaili, Al-Tafsir al-Munir, 255, 263/26, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu’asir 1991)

Tidak boleh disentuh dari dekat atau jauh, atau atas sebarang pendekatan atau nama”.(rujukan: Sayyid Qutb, Fi Zilal al-Quran, 6/3346, Kaherah: Dar al-Syuruq 1992)

Dalam hadith lain daripada Mu’awiyah: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
Sesungguhnya engkau, jika mencari-cari keaiban orang ramai, nescaya engkau merosakkan mereka atau hampir merosakkan mereka. Kata Abu Darda: Itu adalah perkataan yang Muawiyah dengar daripada Rasulullah, ALLAH memberikan manfaat kepadanya dengan perkataan tersebut. (Riwayat Abu Daud. Sanadnya sahih)

Ini seperti firman ALLAH dalam Surah al-Nisa 148: (maksudnya) Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan.

Ada banyak lagi huraian mengenai tajassus. Jika ingin mendalami lebih lanjut, silalah ke laman sesawang yang teman beritahu di awal perenggan tadi. Teman cuma mengambil mana yang penting.

Secara peribadi, apabila membaca tentang tajassus, teman rasa gentar kerana kelmarin teman ada menghuraikan tentang Dr. Rohaya Mohamed, niat teman cuma untuk memberi pandangan, tetapi teman juga ada memberi sedikit sebanyak maklumat peribadi tentang Dr. Rohaya, siapa dia, tahap pendidikannya dan siapa keluarganya, ya Allah, mohon keampunan dari dosa tajassus. Teman keliru, jika ia adalah tajassus, maka ampunkan dosa ini kerana ia adalah dosa besar. Tetapi niat teman adalah untuk memberi pandangan agar ia menjadi panduan buat sesiapa yang mahu berfikir. Semoga Allah memberi petunjuk kepada teman, jika teman sudah terjebak dengan dosa besar seperti tajassus, berilah petunjuk, dan jika benar ia tajassus, teman patut memadam terus entri berkenaan Dr. Rohaya, walaupun ia mencatat lawatan entri yang tertinggi. Wahhaua'alm dan mohon petunjuk dari Allah.

Khusyuk-satu cabaran

Khusyuk dalam solat adalah cabaran yang besar, bagi diri teman khususnya. Buku yang ditulis Isyah Radhiah (Anakku Brain Tumor) benar-benar membantu dalam memberi tips khusyuk, namun setelah diketahui cara-caranya, cabarannya menjadi semakin besar. Besar kerana, apabila kita memahami bagaimana setiap gerak itu perlu digerakkan dan diniatkan serta dihayati, teman semakin berhati-hati agar pemikiran teman tidak tergelincir daripada memusatkan pemikiran terhadap Allah semasa menjalani solat. Syaitan pula sentiasa memainkan peranan, tetapi hati perlu dibulatkan tekad bagi mencapai matlamat khusyuk ini. Hati semakin takut, takut jika pemikiran tersasar dan tumpuan terjejas ketika solat, solat tidak akan diterima kerana hanya solat yang khusyuk diterima Allah, wallahua'lam. Apabila memahami hakikat peri pentingnya khusyuk di dalam solat, hati semakin gentar, solat menjadi satu tugas penting yang sangat-sangat signifikan bagi memastikan solat berjalan lancar dan penuh khusyuk. Tetapi perlu diingatkan bahawa, solat itu bukanlah sesuatu yang berat bagi mereka yang beriman. Jika seseorang berasa tertekan kerana tidak memahami teknik khusyuk dalam solat, perlulah berdoa bersungguh-sungguh agar Allah memelihara kita, walaupun di dalam solat. Mohonlah pada Allah agar hati kita menjadi khusyuk ketika bertemuNya.
Teman ingin berkongsi pengalaman teman. Semalam, pada waktu Asar, teman segera ke surau di tempat kerja untuk bersiap sedia melaksanakan solat. 5 minit sebelum masuk waktu Asar, teman sudah mula meninggalkan meja dan bergegas ke surau. Teman mengambil wudhuk dengan penuh khusyuk, seperti yang dianjurkan di dalam buku Isyah. Syukur pada Allah kerana memberi hambanya ilham untuk mengajar umat Islam cara mendapatkan khusyuk di dalam ibadat. Selepas berwudhuk, teman bersiap sedia untuk solat. Teman laksanakan dahulu solat sunat qabliyah, harapan teman agar ia dapat menampung solat yang terdapat di dalamnya sebarang cacat cela. Kemudian, setelah selesai, teman memulakan solat Asar. Angkat sahaja takbir, ada seorang hamba Allah dari jabatan yang lain selesai melakukan solatnya dan terus membuka mulut berbual dengan seorang yang lain. Suaranya sangat kuat. Sebutir demi sebutir perkataannya dapat didengari. Tumpuan teman terganggu. Teman takut teman akan mendengar perbualannya dan pemikiran teralih kepada butir bicara beliau. Teman amat terganggu kerana teman masih dalam proses mempelajari dan mempraktikkan khusyuk dalam solat. Teman kemudian memilih surah Al-Khalaq dan surah An-Nas kerana teman berharap agar Allah melindungi teman daripada gangguan manusia dan syaitan. Di dalam hati bermohon bersungguh-sungguh agar Allah menutup mulut hamba Allah itu atau menggerakkan hatinya untuk beredar dari surau itu. Selesai rakaat kedua, terdengar hamba Allah itu berjalan keluar dan menyambung perbualan di luar surau, walaupun suaranya masih didengari tetapi tidaklah sekuat tadi. Allah benar-benar membawa hamba Allah itu keluar dari surau dan teman dapat mengukuhkan lagi tumpuan dalam solat.

Begitulah hakikatnya. Hanya Allah tempat bersandar, hatta ingin mendapatkan khusyuk dalm solat juga perlu bermohon dan meminta tolong dari Allah. Baiklah, diharap entri ini dapat memberi sedikit tips untuk sesiapa yang cuba menyelami khusyuk dalam solat. Ia bukanlah panduan lengkap, tetapi ini hanya perkongsian yang sedikit tetapi memberi erti kepada diri teman sendiri.

Baiklah, teman mahu menonton TV al-Hijrah, saluran 114 astro. Selamat menonton, ia adalah stesen tv yang berguna buat umat Islam di Malaysia, Brunei dan Singapura.

Thursday, 9 June 2011

Mengapa Orang Islam Menghadap ke Kiblat?

Assalamualaikum wbt dan selamat pagi semua,

Pagi ini teman mendapat email yang menarik. Ia adalah jawapan yang munasabah bagi persoalan Tauhid yang sering diajukan orang yang bukan Islam dan kadangkala soalan ini terpacul juga dari bibir seorang yang beragama Islam. Tak pernah pula teman terfikirkan jawapan ini apabila ada yang menyoal tentang mengapa kita solat menghadap Kaabah, rupanya ada yang salah faham dan menyangka kita menyembah Kaabah yang diperbuat dari batu. Baiklah, ini adalah email yang disebarkan dan masuk ke dalam email teman, apapun ia, mungkin masih menimbulkan persoalan, kita manusia cuma berusaha memperjelaskan apa yang kabur pada pandangan orang, selebihnya semoga Allah menggerakkan hati-hati manusia yang membacanya agar mempercayai dan meyakini bahawa Allah itu benar, Islam agama yang benar dan Bani Muhammad SAW itu ada utusan Allah yang benar! Wallahu'alam.

"Kenapa orang Islam sembah bangunan kain hitam tu?"
 
"Oh.. itu Kaabah atau nama lainnya Baitullah"
 
"Baitullah tu apa?"
...
"Secara terjemahan mudah maknanya Rumah Allah"
 
"Allah ada dalam tu?"
 
"Tak.."
 
"Jadi, kenapa sembah bangunan tu kalau Allah tak ada dalam tu?"
 
"Yang saya sembah bukannya bangunan tu.."
 
"Kamu sembah apa?"
 
"Saya sembah Allah swt"
 
"Jadi, kenapa sembah bangunan tu?"
 
"Saya menghadap sahaja ke arah Kaabah tetapi saya tak sembah Kaabah.."
 
"Bukankah kamu sujud ke arah Kaabah, maknanya kamu sembah Kaabah la.."
 
"Kamu pernah tgk perlawanan bola dalam TV?"
 
"Pernah.. selalu.."
 
"Kamu tengok tv ke tengok perlawanan bola?"
 
"Tengok perlawanan bola la.."
 
"Di mana?"
 
"Dalam tv la.."
 
"Cuba buka tv tu, tengok di dalamnya ada stadium dan perlawanan bola ke tak.."
 
"Memanglah tak ada.. tapi itukan gambarnya ada.."

"Bukalah dalam tv, tengok ada ke tak gambar perlawanan bola dalam tu.."

"So..?"

"Maknanya kamu tengok tv, bukan perlawanan bola.. betul tak?"

"Tak.. aku tengok perlawanan bola la melaui tv tu.."

"Peliknya.."

"Sebab apa pulak pelik?"

"Ye la, kau cakap tengok perlawanan bola, sedangkan aku tengok dalam tv tu tak ada apa-apa.. yg ada hanya wayar je berselirat.."

"Memanglah dalam tv tu ada banyak wayar, tapi tv tu menayangkan gambar-gambar perlawanan bola dalamnya.."

"Hurm.. jadi tak peliklah ni..?"

"Ya.. tak pelik.."

"Jadi tak pelik jugalah aku sujud ke arah Kaabah untuk menyembah Allah swt.. walau pun dalam Kaabah tak ada Allah.."

"Erk.. kau betul.."

Wednesday, 8 June 2011

Khusyuk dalam berwudhuk-Olahan daripada buku ANAKKU BRAIN TUMOR

Tak pernah terfikir di minda teman selama ini tentang khusyuk dalam wudhuk. Selama ini, teman cuma tahu tentang khusyuk dalam ibadah, khususnya merujuk kepada solat. Alhamdulillah, melalui pembacaan teman, buku Anakku Brain Tumor karangan Isyah Radhiah, barulah teman faham tentang salah satu cara untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat. Isyah menerangkan secara terperinci tentang bagaimana untuk mendapatkan khusyuk dalam solat kerana solat adalah antara penyembuh terbaik kepada penyakit atau kesusahan yang menimpa manusia. Tetapi untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat, adalah penting menjaga solat itu daripada wudhuk hinggalah selesai solat. Antara tips khusyuk solat yang diberi adalah mengambil wudhuk dengan khusyuk. Beliau memberitahu secara terperinci bagaimana setiap gerak dalam wudhuk itu mempunyai maksud, doa dan fadhilat. Teman betul-betul kagum kerana ia adalah sesuatu yang baru buat teman, mungkin orang lain sudah lama tahu, tetapi teman belum tahu. Walaupun Ilmu Wahyu adalah subjek minor ketika di universiti, tetapi ilmu teman ternyata terlalu cetek. Benarlah ilmu Allah itu terlalu luas, dan apa yang kita ada cuma setitik sahaja dari selautan ilmu itu. Allah Maha Bijaksana.

Teman sudah mula cuba mengamalkan wudhuk dengan khusyuk sejak membaca buku ini. Bukan semua doa yang diberi sudah teman hafal, tetapi teman baru sahaja menghafal 2 dari doa-doa yang diberi, iaitu ketika membasuh tangan dan setelah selesai wudhuk. Yang lain-lainnya, teman cuma berdoa dalam bahasa teman sendiri, tetapi ia berjaya membuatkan teman menghayati setiap gerakan wudhuk dan menghayati fadhilatnya. Perasaannya sungguh berbeza dan ia benar-benar memberi kesegaran secara fizikal mahupun mental. Kepada yang belum membaca Anakku Brain Tumor, silalah mendapatkannya dengan segera. Ia boleh ditempah secara terus dari laman sesawang Galeri Ilmu. Ia sangat berguna dan mempunyai panduan-panduan berguna yang boleh diamalkan selalu. Ia adalah terapi jiwa yang resah mencari kebenaran. Wallahu’alam.

Tuesday, 7 June 2011

Orang yang mempersendakan kebaikan

Assalamualaikum wbt dan Selamat pagi buat semua,

Semalam, sahabat teman mengadu kepada teman tentang sikap kawan sepejabatnya yang mempersendakan perubahannya dalam usahanya menutup aurat dan berpakaian sopan. Teman mendengar dan kemudian memintanya supaya tidak ambil endah kerana pandangan Allah itu lebih utama dari pandangan manusia. Tetapi jawapan teman masih tidak membuatnya gembira. Kemudia hari ini teman terbaca surah at-Taubah dan terjumpa akan jawapan kepada masalah sahabat teman. Lalu teman titipkan kepadanya kata-kata di bawah ini dengan harapan beliau berasa tenang untuk terus melakukan perubahan tanpa bersusah hati dengan kata-kata orang yang tidak suka pada perubahannya. Dan biarlah ia dikongsi bersama supaya ia menjadi dakwah teman kepada orang yang ingin berubah seperti sahabat teman itu. Semoga Allah memberi Hidayah yang berterusan buat mereka yang sentiasa mencari kebenaran.

Allah sangat marah orang yang mempersendakan agama. Sikap orang yang mempersenda-sendakan agama, sama sikapnya seperti orang musyrik di zaman jahiliyyah yang mempersenda-sendakan orang-orang Islam yang bersedekah.

A079
Orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian dari orang-orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, - Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (At-Taubah 9:79)

Kalau kita rasa kawan kita mempersenda-sendakan kebaikan yang kita cuba lakukan, cuba kita bayangkan, apa perasaan kita bila ada seorang budak yang mengejek-ngejek kita dan cuba nak membaling batu pada kita, sedangkan dibelakang budak itu ada ibunya yang sedang bersiap sedia nak memukulnya dengan rotan disebabkan perangainya itu. Apa perasaan kita pada budak itu, mesti hilang rasa marah sebab kita tahu dia bakal dipukul ibunya yang sedang bersiap sedia nak menghukumnya. Macam itulah juga apabila kita dipersendakan kawan apabila kita sedang melakukan kebaikan, sudah pasti tindakannya itu berdosa dan Allah menjanjikan azab yang pedih bagi mereka yang mepersenda-sendakan agama.

Monday, 6 June 2011

Mimpi -Ceramah Oleh Ustaz Ismail Kamus

Assalamualaikum wbt kepada semua. Hari ini teman ingin berkongsi isi-isi penting ceramah Ustaz Ismail Kamus yang berbicara tentang mimpi. Teman susun semula dalam bentuk 'point' supaya ia lebih jelas dan tak meleret. Semoga mendapat manfaat dari ringkasan ini dan semoga semua ini adalah benar.

1. Mimpi dialami oleh semua orang, jika akal pergi bersama, maka orang itu akan ingat, jika akalnya tak mengikut, maka orang itu takkan ingat.

2. Solat istikharah memerlukan mimpi sebagai penentu pilihan. Nabi Yusuf bermimpi sebagai tanda kenabian. Nabi Yusuf juga mentadbirkan mimpi Fir'aun pada ketika itu. Nabi Muhammad SAW bermimpi Baginda bertawaf di Makkah dan ia menjadi kenyataan. Ia menjadi petunjuk kepada golongan tertentu.

3. Mimpi bersifat ajaib kerana dalam masa yang sekelip mata, mimpi membawa ruhnya ke serata alam. Kadangkala ia memberi kesan terhadap fizikal yang bertindak balas terhadap mimpi itu.

4. Banyak mimpi boleh ditakwil tetapi banyak juga yang tidak boleh.

5. "Apabila hari Kiamat sudah hampir maka bermimpi orang-orang beriman itu hampir-hampir benar".

6. Kalau mahu mimpi menjadi benar, orangnya mesti berkata benar walaupun dalam bergurau.

7. Mimpi orang Islam itu ialah satu daripada 46 kenabian. Kebenarannya bernisbah 1:46.

8. Ilmu adalah 1.Al-Quran 2.Hadith 3.Tak Tahu

9. Mimpi terbahagi kepada 3 mengikut Rasulullah:- 1. Mimpi yang menyukakan (solat, tawaf, makan, ziarah sahabat), 2. Mimpi yang menakutkan, syaitan masuk sebelah kiri dan memasukkan mimpi-mimpi yang menakutkan. 3. Mimpi psikologi, benda yang terlintas dalam hati kita.

10. Berwudhuk sebelum tidur supaya malaikat menjaga kita sewaktu tidur, kerana jika berwudhuk, ruh akan naik ke tempat yang tinggi dan bertemu dengan orang-orang yang mati sebab ruh dalam keadaan yang baik. Bila orang yang bermimpi itu mahu balik, orang-orang mati itu juga mahu ikut balik tetapi ditegah Allah. Jadi orang-orang yang mati itu tidak turun. Dan Allah menghantar ruh orang yang hidup pulang.

11. Malaikat suka orang yang wangi. Makhruh orang Islam berbau busuk ketika pergi sembahyang.

12. Nabi Muhammad SAW berkata mimpi yang baik itu sewaktu mendapat berita gembira dari Allah. Contohnya bermimpi mencium tangan Rasulullah, ia bermakna kita akan mendapat sesuatu yang baik. Jika bermimpi berjumap ibu bapa yang sudah meninggal memakai pakaian kapan yang tidak reput dan masih putih, maknanya ibu bapa kita adalah ahli syurga.

13. Sebenarnya mimpi itu kadangkala menunjukkan apa yang akan berlaku di masa hadapan, ia bukan ramalan, tetapi tanda-tanda akan berlaku sesuatu. Seperti jika hari sudah hampir hujan, langit menjadi gelap, ia adalah tanda-tanda bahawa cuaca akan hujan. Ia adalah tanda, bukan ramalam.

14. Mimpi ditadbir sebelum terbit matahari, selepas solat subuh. Tanyalah pada orang yang pandai hal ehwal mimpi di waktu subuh, supaya mimpi itu dapat diterangkan dengan jelas. Rasulullah, selepas solat Subuh, baginda bertanya jika sesiapa yang mahu mentadbir mimpi. Abu Bakar juga boleh mentadbir mimpi, walaupun Rasulullah masih hidup. Contohnya awan membawa maksud al-Quran.

15. Mimpi yang baik-baik tak boleh diceritakan dengan orang begitu juga yang tak baik. Kerana, mimpi yang baik membuatkan orang dengki, kalau mimpi tak baik, orang akan mentertawakan.

16. Mimpi yang buruk-buruk itu adalah dari syaitan.

17. Apabila kamu bermimpi perkara-perkara yang memisahkan kamu, bangun dan ludah di sebelah kiri 3 kali (menghinakan syaitan itu), dan bacalah doa minta berlindung dari syaitan, "aku berlindung dari Allah dari syaitan yang direjan dan dari kejahatan apa yang aku mimpikan itu", kemudian sebaik-baiknya kita beralih tidur dan bangun mengerjakan solat sunat 2 rakaat.

18. Boleh diceritakan mimpi kepada keluarga dan kepada orang-orang yang boleh menyimpan rahsia. Nabi berkata, "kalau bermimpi tangan kena ikat, tak mengapa. Jangan bermimpi kena belenggu di tengkuk, bermakna kita akan mengalami sesuatu yang tidak baik".

19. Sebaik-baik mimpi adalah waktu sahur (pukul 3pagi-5pagi).

20. Nabi SAW berkata,"barangsiapa melihat aku dalam tidur, bermakna kamu melihat aku yang sebenar kerana syaitan tidak boleh menyerupai aku". Kita tidak kenal, tetapi dalam mimpi kita yakin itu Rasulullah, kerana syaitan tidak boleh mnyerupai nabi. Jika syaitan mencuba, ia kan terbakar. Syaitan boleh menyerupai manusia dan binatang tetapi tidak nabi.

21. Mimpi yang benar itu jika diceritakan maka mimpi itu tidak menjadi benar.

22. Jangan sekali-kali kita menipu mengatakan kita bermimpi.

23. Nabi pernah bermimpi susu dan baju jubah. Susu adalah tanda-tanda ilmu. Kalau kita bermimpi minum susu unta, maknanya akan mendapat harta yang halal. Tetapi jika mimpi minum susu lembu, maknanya negeri itu takkan kemarau. Jika susu biri-biri bermaksud rezeki dan kekayaan. Kalau mimpi minum susu binatang buas bermaksud kita akan dikeji. Jika susu singa, kita senang tetapi dikeji. Kalau susu anjing, bermakna kita akan mendapat ketakutan. Jika susu kucing, kita akan sakit. Susu harimau pula bermakna kita akan bermusuh. Jika mimpi pakai gamis/jubah, bermakna kita akan kuat agama.

24. Apakah adab-adab untuk mendapat mimpi yang baik. 1. Bercakap benar. 2. Tidur mengiring ke kanan. 3. Sebelum tidur baca surah as-Syams dan Al-Lail, At-Tin, al-Ikhlas, al-Falaq & An-Nas dan baca doa. 4. Jangan ceritakan pada orang yang tidak dipercayai atau tidak rapat.

25. Kalau bermimpi Rasululullah, kalau berhutang, akan terbayar hutang itu. Kalau sakit, akan sembuh sakit itu. Kalau sedang bertani, tanah akan subur. Kalau sedang perang, maknanya akan menang. Kalau suasana negara huru hara, negara akan aman. Kalau bermimpi ziarah kubur Nabi, maknanya kita akan kaya.

26. Kalau bermimpi kita mebaca surah al-Fatihah, akan mendapat kebaikan. kalau surah al-Baqarah, umur panjang. Kalau Ali-Imran, jiwa akan suci, kalau surah an-Nisa, kita akan jadi pembahagi harta pusaka. Kalau al-An'am, kita dapat pelihara binatang dengan biakan yang banyak. kalau surah an-Nur, terang hati. Kalau kita baca surah ad-Dhuha, kita akan memelihara anak yatim. kalau al-Alaq, kita akan jadi orang yang merendah diri. Kalau surah al-Qadar, umur panjang. Kalau surah al-Bayinah, akan mendapat petunjuk. kalau al-Qariah, akan mendapat kemuliaan, kalau al-Humazah, akan dapat mengumpul harta, surah al-Fil, dapat melawan musuh.

Jodoh

3 hari teman tak mengemaskini blog teman dan membuat apa-apa entri. Sibuk dengan lawatan kerja di Kuala Lumpur, Sabtu dan Ahad pula penuh dengan undangan majlis perkahwinan kawan-kawan. Ada yang bertanya, teman bila lagi? Wallahua'alam, jodoh pertemuan di tangan Allah. Tetapi ada pula yang berkata, 'tak boleh serah bulat-bulat pada Tuhan sahaja, ia perlu diusahakan'. Ya, benar. Tetapi siapalah tahu apa yang teman usahakan, takkanlah nak bercerita pada orang pula. Manusia cepat benar menghukum. Tetapi bukan itu yang sepatutnya teman fikir, ia bukan tentang sikap manusia yang cepat menghukum, ia tentang hikmah Allah yang perlu difahami dan dihayati. Salah seorang kawan sekerja teman bertanya kepada teman,"antara kawan-kawan sekolah awak, ada lagi tak yang belum berkahwin?", teman mula berfikir, mencari-cari wajah kawan-kawan lama yang senasib dengan teman, kemudian teman menggeleng, "rasanya tak ada," jawab teman ringkas. "Ha...itu maknanya, awak orang yang terpilih. Cuba tengok, semua orang dah kahwin, tapi awak seorang sahaja yang belum, maknanya Allah pilih awak," kata-kata itu lancar dituturkan oleh kawan teman itu, ia seperti sebuah lampu yang tiba-tiba menyala di kepala teman. Tak pernah terfikir sebegitu. Kawan teman itu, umurnya 35 tahun, baru sahaja berkahwin 3 bulan yang lepas. Masya-Allah, rezeki Allah siapa yang tahu. Teman berumur 30 tahun, soal jodoh bukanlah perkara yang menyesakkan fikiran teman, tetapi ia soalan yang sering diajukan kepada teman sejak umur mencecah 30. Orang lain pula yang sesak, kelakar pula rasanya.
Ya, jodoh dan maut, itu di tangan Allah. Teman tak bersedia, tetapi jika teman kahwin pun, itu kerana teman mahu melengkapi sunnah. Ia adalah semata-mata kerana Allah, kerana diri teman sememangnya belum bersedia.

Thursday, 2 June 2011

Buat Hati Yang Sedang Bersedih

Wahai hati,

Teman tahu hati sedang bersedih. Inilah hakikat yang kita kena telan dan terima. Sikap perkauman itu ada pada hampir semua bangsa. Hari ini kita menjadi mangsa bangsa C, tetapi di kawasan lain di bumi Malaysia ini, ada C yang ditindas M. I juga selalu ditindas oleh C &M. C selalu menguasai ekonomi, mereka memiliki raksasa-raksasa ekonomi. Tetapi mereka terkenal dengan cara kerja yang tidak profesional. Manakala M tak kurang hebat, bahagian pengurusan dan teknikal sering dikuasai M. Malangnya M kekurangan modal, lalu tak berupaya memiliki empayar. M hebat bekerja tetapi ramai antara M yang malas untuk melonjakkan diri ke peringkat yang tertinggi, selalu alasannya, sudah selesa dan takut banyak kerja. I pula terkenal dengan penguasaan di bidang profesional, bijak yang luar biasa namun sering dipinggirkan kerana tahap terendah dalam taraf hidup masyarakat juga dikuasai oleh I. Ada antara I bijak bercakap, tetapi hasil kerjanya kurang diyakini. Pada hakikatnya, kesemua bangsa mempunyai kelebihan dan kekurangan namun ia tetap tidak menyumbang kepada makna perpaduan yang sebenar. Pada hakikatnya, semangat perkauman di dalam diri setiap kaum itu sangat tinggi, sehinggakan jika mereka berada di atas, mereka tidak mempedulikan kaum lain, malah kadangkala menindas sehingga kaum lain tak mampu bernafas. Ia lumrah...usahlah diheret nama mana-mana bangsa dengan mengatakan mereka bersifat perkauman, kita semua sama sahaja.

Wahai hati,
Ya, kamu bersedih. Kerana hari ini kamu adalah mangsa daripada sifat perkauman yang tinggi itu. Hari ini kita kehilangan sesuatu yang penting dalam kehidupan kita sebagai pekerja. Bakat dan kebijaksanaan kita dibuang mentah-mentah, mereka tutup mata dan merampas kedudukan yang kita ada.

Wahai hati,
Percayalah qadha & qadar Allah. Ini semua ketentuan. Kita telah berusaha mempertahankan apa yang patut. Mungkin usaha itu belum mencukupi, tapi percayalah ini semua dalam rancangan Allah, terimalah, tak semestinya ia sesuatu yang buruk bagi kita. Hikmah Allah itu hanya Dia sahaja yang mengetahui, dan sesungguhnya Dia Maha Mengetahui. Bumi ini bukan milik kita, kita bernafas ini pun atas izinNya.

Wahai hati,
Tetaplah menjadi hambaNya yang sentiasa bersyukur. Banyak nikmat yang melekat di badan, banyak lagi nikmat yang semestinya tak terhitung, semua Allah kurniakan tanpa meminta balasan. Syukurlah atas nikmat yang tak terhingga, ujian ini hanya ujian kecil. Yakinlah dengan rancangan Allah. Dan berusahalah menjadi hambaNya yang terbaik. Yakinlah bahawa kekuatan orang Islam itu adalah doa. Maka berdoa dan terus berdoa. Seiring dengan usaha memperbaiki diri. Tak luak pun gaji walau kedudukan dirampas. Kedudukan itu milik Allah, Allah beri, Allah ambil. Terimalah keputusan ini. Allah Lebih Mengetahui.

Wahai Hati,
Bukankah Allah telah berpesan kepada orang-orang yang beriman dan beramal dengan amal yang soleh, janganlah kamu takut dan sedih, Allah bersama kita. Wahai hati, rileks la.... ini kata-kata orang sekarang. Dan itu kata-kata yang kita patut beritahu diri kita sendiri.

Wahai hati,
Mereka yang kafir dan zalim itu, sudah pasti tempatnya di neraka, maka janganlah sedih dengan penganiayaan mereka. Hidup di dunia ini sementara sahaja. Mereka akan kekal selamanya di neraka jahannam itu. Dan kita mesti berusaha memperbaiki amalan dan meningkatkan ilmu agar kita tidak dicampakkan bersama mereka.

Ya Allah,
Jauhilah bisikan syaitan ketika aku sedang bersedih, dan janganlah Kau palingkan hatiku setelah Kau beri hidayah kepada aku. Ampunkan dosaku Ya Allah. Dan aku bersyukur padaMu.

Rejab Bulan Yang Mulia

Kini sudah masuk bulan Rejab. Sana sini terdengar ramai umat Islam yang berpuasa, alhamdulillah, ia adalah amalan sunat yang baik. Teman pun ikut sama berpuasa, mengharap ganjaran pahala dari Allah agar timbangan kebaikan dapat di tambah, harapan teman ia akan mengalahkan timbangan kejahatan. Semalam, teman terbaca surah Al-A'raf, ia menyentuh tentang timbangan amalan manusia. Ada yang kena berdiri di tembok al-A'raf ini, ia adalah tembok yang memisahkan neraka dan syurga. Orang yang berdiri di tengah-tengah itu adalah orang yang timbangannya sama berat. Masa kecil-kecil dahulu, pernah dengar ustaz sebut pasal ini, tetapi baru semalam teman menghayati kisah timbangan ini. Oh, maaflah, terkeluar tajuk pula.

Berbalik tentang amalan bulan Rejab, pada mulanya teman mahu senaraikan semua amalan-amalan sunat yang teman jumpa, tak kira dari mana pun sumbernya. Tetapi, Allah Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui, teman terjumpa satu blog yang entrinya menerangkan tentang betapa banyaknya hadith-hadith palsu berkenaan bulan Rejab dan amalan-amalan yang menjadi ikutan tetapi bukan menjadi amalan Rasulullah. Allah Maha Mengetahui. Teman terus sahaja tak berani nak terus ambil sahaja maklumat sebelum teman tahu kesahihannya.

Sebelum itu, secara umumnya, kita perlulah tahu bahawa bulan Rejab adalah bulan terjadinya Israk Mikraj. Rejab sendiri bermaksud kebesaran. Ia bulan yang diraikan sejak zaman Jahiliyyah.

Amalan-amalan yang disarankan adalah seperti di bawah. Ia teman ambil daripada laman web yang bertauliah. Pada hakikatnya, semua amalan-amalan ini adalah amalan-amalan sunat yang afdhal dilakukan setiap masa, tak tertakluk dengan bulan Rejab sahaja. Amalan-amalan tersebuat adalah:-
1. Selawat
2. Bertaubat kerana Rejab juga merupakan bulan pengampunan
3. Berpuasa
4. Berdoa
Dirumus daripada pembacaan teman di blog http://www.masjid.gov.bn/teks_khutbah/1423/Rejab/6.htm

Untuk mengelakkan salah faham dalam amalan di bulan Rejab, bolehlah merujuk blog http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2007/08/017-penilaian-semula-amalan-amalan-di.html. Entri ini sangat-sangat berguna kerana dikhuatiri umat Islam mengambil mudah dengan mempercayai sesuatu tanpa usul periksa. Entri ini turut menyenaraikan hadith-hadith palsu yang dikeluarkan berkenaan bulan Rejab. Sila baca entri tersebut untuk maklumat yang lebih lanjut.