Berikut adalah catatan teman pada tahun lepas, teman kira ia agak berguna dan menarik untuk dikongsikan.
8.58am 31/5/2010
Isnin, hari yang malas dan suram. Memulakan hari ini dengan perasaan yang negative, iaitu perasaan marah dan mual pada dua orang lelaki yang asik memandang-mandang kearah meja saya dan adik saya. Kedai mamak pagi ini tidaklah ramai pelanggannya di waktu-waktu begini, tetapi dua orang lelaki itu cukup membuatkan kedai mamak itu terasa sesak. Tosai yang biasanya dikongsi bersama itu terasa susah untuk ditelan apabila mata gatal sibuk memerhati walaupun sudah saya balas dengan pandangan yang marah dan tajam. Kebiasaannya kami akan duduk di situ sampai pukul 7.05pagi, tetapi kerana mual dengan pandangan gatal dua lelaki tersebut, kami beredar 10 minit lebih awal.
Memandu selama 40minit ke tempat kerja dengan mata yang kuyu dan rasa merngantuk yang keterlaluan, jalan sesak seperti kebiasaan membuakan mata semakin mengantuk. Saya rasakan motivasi pagi ini terasa sangat lemah, dan mungkin tiada langsung motivasi diri pagi ini. Nasiblah radio IKIM ada menyediakan satu slot motivasi pagi yang dikendalikan oleh Ustaz Zamri.
Slot motivasi pagi ini bercerita tentang kisah 2 orang lelaki, seorang adalah ahli ibadah, dan seorang lagi seorang lelaki yang sering melakukan dosa dan maksiat. Satu hari ahli ibadah ini menegur lelaki yang sering melakukan maksiat itu. Maka lelaki yang melakukan maksiat itu marah kepada ahli ibadah itu dengan mengatakan, “adakah engkau itu utusan Allah untuk menegur aku?”, dan ahli ibadah ini naik marah lalu mengatakan, “demi Allah, kau akan masuk neraka, dan demi Allah, Allah tak akan mengampunkan engkau”. Kemudian, satu hari nyawa kedua-dua lelaki ini dicabut oleh Allah. Apabila dihadapkan Allah, Allah berfirman kepada ahli ibadah tersebut yang berbunyi seakan-akan begini,”Siapakan engkau untuk memutuskan seseorang itu akan ke neraka?” dan akhirnya Allah memasukkan ahli ibadah itu ke neraka dan lelaki yang pernah berbuat maksiat itu ke syurga.
Pengajaran yang diolah Ustaz Zamri, pertama, kita tidak berhak memutuskan bahawa seseorang itu akan ke syurga atau ke neraka, kerana hanya Allah yang memutuskan perkara tersebut kerana sebaik-baik hakim itu adalah Allah. Kedua, jangan bermain dengan nama Allah dan sumpah atas nama Allah. Ketiga, rahmat Allah itu luas, kerana hambanya yang pernah melakukan maksiat itu dimasukkan ke syurga, mungkin kerana dia sudah bertaubat dan sebagainya. Dan akhir sekali, tentang tanggungjawab kita sebagai pendakwah, bukannya hanya mencari kesalahan orang lain, tetapi cara dakwah yang berkesan yang perlu seorang islam itu kembangkan.
Sedikit sebanyak, pagi saya yang bermula dengan negative dapat juga disuap dengan sedikit pengajaran yang bererti. Tetapi, walaupun begitu, ia belum cukup membuatkan pagi saya ceria. Ini adalah perasaan yang normal yang berlaku kepada setiap manusia yang bekerja. Setelah berehat selama beberapa hari di rumah, tubuh dan minda mula lembab untuk memulakan kerja. Sehinggakan penyakit ini dinamakan sebagai “Monday Blues”.
Kepada “Monday Blues”, saya harap anda segera berambus dari tubuh saya kerana saya perlu berjuang untuk diri saya. Jam menunjukkan pukul 9.30 pagi, dan saya mesti mula aktif bekerja.
Kepada Yang Maha Mencipta, saya sedar saya hamba yang penuh dosa. Atas rahmatMu yang luas, aku mohon keampunanMu. Rahmatilah pekerjaanku dan tiupkan semangat positif dalam diri ini untuk memulakan kerja.
No comments:
Post a Comment