Esok atau lusa, teman akan mengalami saat-saat sedih dalam hidup teman. Orang yang teman sayang akan bertunang. Teman berdoa semoga hati teman cukup kuat untuk menerima segala ketentuan ini. Untuk persediaan, teman cuba memotivasikan diri dengan membaca artikel-artikel dan blog-blog yang penuh motivasi. Teman juga membeli buku-buku untuk teman baca buat penenang hati. Tiba-tiba ada satu blog yang menarik hati teman, nama blog tersebut 'Budak Kodiang'. Pemilik blog ini lebih muda dari teman, tapi teman kagum dengan pemikirannya dan pengetahuannya yang luas. Rupa-rupanya, beliau adalah junior teman. Bagus, teruskan ya anak muda. Berkongsilah pemikiran anda yang hebat itu dan berilah inspirasi kepada manusia yang cintakan ilmu.
Teman baca juga entri beliau mengenai buku tulisan Prof. Kamil, 'Travelog Dakwah'. Teman jumpa entri ini semasa mencari sinopsis Travelog Haji, rupa-rupanya penulis buku ini menulis kedua-dua buku tersebut, ini yang keliru ni, mana satu nak beli, atau beli saja kedua-duanya. Selepas teman baca sedikit ulasan buku Travelog Dakwah dari adik 'budak kodiang' ni, teman terasa seperti mahu patah balik ke kedai buku tadi sebab teman memang ada nampak kelibat buku itu di kedai tersebut. Tak mengapa, teman pun ada membeli sebuah buku yang laris juga di pasaran, tajuknya 'U-Turn ke Jalan Lurus', ditulis oleh Ustaz Zul Ramli. Teman sudah lama mencari buku ini kerana teman tertarik dengan slot motivasi pagi yang Ustaz Zul sampaikan di radio IKIM beberapa bulan yang lepas.
Hari ini hari Jumaat, esok dan lusa pula teman bercuti. Dengan hati teman yang sedang bersedih dan resah, teman akan menjadikan buku Ustaz Zul ini sebagai peneman. Selepas habis buku ini, teman akan pastikan teman membeli kedua-dua buku Prof. Kamil itu. Terima kasih kepada adik 'budak kodiang', 'hang memang hebat, budak macam hang boleh tarik orang tua macam aku untuk baca blog hang'.
Kenapa teman tertarik dengan buku Travelog Dakwah dan Travelog Haji ini? Kerana teman yakin, teman mempunyai masalah yang sama dengan penulis. Teman ni, walaupun dibesarkan dengan persekitaran yang baik, mempunyai latar belakang agama dan pernah mendalami ilmu agama dengan secara khusus tetapi teman ni manusia paling lemah teman boleh katakan. Teman mempunyai iman yang terlalu nipis. Ilmu agama teman yang dalam itu membuatkan teman sering ragu-ragu dan banyak mempersoalkan akidah sendiri. Teman tahu, orang-orang Islam yang membaca blog teman mesti meluat dengan teman bila teman katakan semua ini. Masa teman buat blog ini, hati teman sedang sedih, hati teman sedang goyah, iman teman terbang dan hilang entah ke mana. Teman sebenarnya mahu menjadikan blog ini sebagai diari teman, tempat teman menceritakan konflik diri teman tanpa mendedahkan identiti teman. Teman adalah manusia songsang yang sering kalah dengan hasutan syaitan. Tetapi teman ingin mengembangkan iman teman melalui blog ini juga. Teman ingin baca blog ini di masa hadapan, untuk melihat diri teman sendiri, dan melihat di mana teman pernah berdiri. Teman mahu nukilkan di lembaran tanpa batasan untuk diri teman sendiri, dan teman mahu sesiapa yang membacanya mengambil iktibar dan pedoman dari pengalaman teman.
Teman harap, entri yang tiada hala tujunya ini tetap dapat menyampaikan isi hati teman, betul-betul datang dari hati teman.
No comments:
Post a Comment