Pagi ini, radio IKIM membincangkan mengenai salah satu kepincangan masyarakat iaitu kecelaruan identiti. Antara butir yang diperincikan hos tersebut:
1. Media seolah-olah tidak membantu dalam mendidik masyarakat malahan bersikap tidak kisah apabila memaparkan watak-watak si lembut.
2. Siti (hos wanita Sinaran Pagi di IKIM) mengatakan bahawa berkemungkinan golongan lesbian dan gay tidak ramai, tetapi yang celaru identiti itu ramai.
3. Sejauh manakah masyarakat memainkan peranan dan seterusnya hos tersebut meminta pendapat pendengar-pendengar.
4. Sebelum jam 8 pagi, ada beberapa pendapat dari pendengar melalui talian telefon, komentar di Facebook dan kiriman pesanan ringkas, kesemuanya menyalahkan ibu-bapa, diri orang yang celaru itu dan kelemahan masyarakat dalam menegur golongan tersebut.
Teman kira, ramai yang tak berfikir sedalam-dalamnya punca masalah dan cara mengatasi. Pada hakikatnya, penyakit hanaya dapat diubati jika kita tahu punca penyakit itu. Jika tidak, rawatan menjadi sia-sia kerana kemungkinan rawatan yang diberi tidak sesuai dan mungkin akan lebih memudaratkan pesakit. Di sini teman utarakan pendapat teman:-
1. Jika kita mahu salahkan persekitaran, Malaysia masih konservatif dan tipikal. Perkara begitu bukanlah perkara normal di mata masyarakat kita. Golongan sebegini akan dipandang serong dan persekitaran menentang kewujudan mereka. Jadi teman rasa, persekitaran masyarakat tak boleh disalahkan 100% di sini.
2. Pendapat Siti mengatakan golongan homoseksual tidak ramai, tetapi yang ramai cuma golongan yang celaru identiti, pendapat ini salah. Teman kira, Siti ini budak baik dan orang yang baik selalunya mempunyai kawan-kawan yang baik. Teman yakin Siti tak mempunyai ramai kawan-kawan yang bermasalah dari segi sosial, kerana itulah pendapatnya terlalu naïf. Golongan homoseksual di negara ini sudah ramai, perkara ini dibuktikan bila adanya 2 filem pada masa yang lebih kurang sama mengenai golongan ini (…Dalam Botol dan Dua Alam). Filem-filem ini adalah filem tempatan dan filem tempatan adalah wajah masyarakat dan ia menceritakan realiti kehidupan masyarakat di sesebuah negara. Teman sendiri mempunyai ramai kawan yang sebegini, jadi apabila Siti berkata demikian, teman cuma tersenyum, lantas teman terus mengenali sebahagian diri Siti iaitu Siti adalah budak baik dan naïf.
3. Melalui pendapat-pendapat pendengar, cuma ada seorang yang menyebut tentang punca masalah golongan begini, yang lain hanya menyalahkan sahaja golongan itu dan orang sekelilingnya. Itupun setelah Siti bertanya pendengar berkenaan memandangkan pendengar tersebut mempunyai kawan dari golongan sebegitu, lantas menarik minta Siti untuk bertanyakan tentang punca masalah tersebut. Dalam hati teman mula timbul rasa sedih, dan itulah sebenarnya punca golongan begini terus celaru dan susah nak berubah. Kerana masyarakat cuma tahu menyalahkan mereka tetapi tidak mahu memahami dan mendengar masalah mereka. Kasihan mereka, nama pun celaru, tentulah jiwa mereka kusut dan tersiksa, ditambah pula dengan persekitaran yang tak membantu.
4. Kepada sesiapa ynag membaca, teman mahu kita semua cuba memahmi golongan ini. Mereka ini celaru, jiwa mereka menjerit, mereka merasakan diri tidak difahami. Apa kata kita cuba menjadi pendengar mereka. Mereka sebenarnya memerlukan pendengar yang dapat mendengar resah hati mereka. Ramai di antara mereka cuba meleraikan konflik dalam diri mereka tetapi tiada tempat untuk mengadu. Mereka memikirkan, tiada siapa yang dapat memahami mereka. Bagi teman, kerajaan perlu mewujudkan pusat kaunseling awam yang tidak dikenakan caj, jika dikenakan caj, biarlah berpatutan dan tidak membebankan rakyat. Kaunseling berkumpulan juga perlu diperkenalkan kerana kaunseling jenis ini masih jarang diamalkan dan tiada pusat yang diperkenalkan secara umum bagi menganjurkan kaunseling sebegini. Jika kerajaan boleh menempatkan klinik-klinik awam untuk kesihatan rakyat, jiwa rakyat yang sakit juga perlu dirawat. Pusat-pusat mental bukanlah penyelesai segalanya kerana masalah ini selalunya bermula dari masalah dalaman yang hanya memerlukan kaunseling bagi meredakan keresahan jiwa mereka. Pusat kaunseling ini mestilah wujud dengan jumlah yang hampir sama dengan klinik-klinik awam kerana masyarakat pada hakikatnya lebih banyak sakit hati berbanding sakit fizikal. Teman kira, dengan wujudnya pusat-pusat kaunseling awam di setiap daerah, kerajaan bukan sahaja dapat mengurangkan masalah kecelaruan di kalangan masyarakat, tetapi dapat mengurangkan jumlah kes bunuh diri, masalah pengambilan dadah dan pelbagai lagi gejala sosial di kalangan masyarakat.
5. Teman memahami golongan sebegini, mengapa teman faham terpulanglah kepada telahan pembaca dan biarlah hanya teman yang tahu kebenarannya. Tetapi janganlah memandang sepi golongan sebegini, mereka sebenarnya mempunyai kebaikan-kebaikan seperti orang lain Cuma mereka tidak dibantu dan dibimbing. Mereka juga memasang angan-angan ingin berubah dan mereka juga mempunyai azam untuk menjadi orang baik. Mereka tertekan kerana dalam perjalanan menuju kebaikan, mereka memerlukan seseorang yang boleh memahami apa yang mereka mahu kongsikan, tetapi mereka akhirnya memilih untuk diamkan sahaja kerana apabila mereka membuka cerita, orang mula memandang serong terhadap mereka dan menggeleng-gelengkan kepala, lalu mereka rasa terhina.
6. Teman pernah mempunyai seorang kawan dari golongan pengkid. Teman sedih mendengar luahan hatinya. Beliau berkata kepada teman, “Kalau Allah jadikan aku seorang lelaki, aku berjanji aku akan rajin ke surau dan aku akan jadi lelaki yang alim. Satu hari itu, aku pegang kitab ayah aku. Dalam kitab itu mengatakan Tuhan boleh memberi keajaiban. Aku berdoa andaikanya Tuhan beri keajaiban kepada aku, jadikanlah aku lelaki dan aku janji aku akan jadi lelaki yang terbaik”. Kata-katanya berkesudahan dengan linangan air mata. Katanya lagii, “Aku susah nak berubah, aku bukan tak nak berubah, aku nak. Tapi aku baru pakai ala-ala perempuan sikit, kawan-kawan aku dah ketawakan aku. Kalau aku betul-betul nak tukar penampilan jadi perempuan, aku kena pergi jauh dari sini, ke utara mungkin, yang pastinya tempat yang tak ada sesiapa kenal aku,” Apa pendapat kawan-kawan semua, nampak sangat persekitarannya tidak membantunya langsung. Teman berkata kepadanya, “Kalau macam itu, kau ikut aku pindah ke utara, aku tolong kau berubah,” tapi kawan teman itu berkata, “Aku ada keluarga, aku tinggal dengan mereka. Kalau aku boleh, dah lama aku buat, tapi aku terpaksa berada di sini,” Nah, kawan-kawan, lihatlah apa yang berlaku di sini, mengapa keluarganya tak membantunya berubah. Teman sedih, sangat sedih. Nyata, hatinya meronta-ronta untuk berubah, tetapi hampa.
7. Teman mengenali seseorang, beliau adalah dari golongan homoseksual yang sudah insaf. Beliau dibimbing oleh seorang lagi sahabat teman yang sangat baik. Tetapi ada seorang kawan teman yang lain cuba menghasut sahabat teman yang baik itu supaya tidak mendekati kawan teman yang homoseksual itu. Katanya, “Kau jangan rapat sangat dengan budak tu, ada maksud lain tu dia baik dengan kau. Silap-silap kau yang terjebak. Kau jangan percayalah kata-katanya tentang insaf. Anjing, kalau dah biasa makan tahi, tak dapat jilat hidu pun jadi,” Nah, fikirkanlah wahai kawan-kawan, mengapa begitu dangkal pemikiran seorang Islam yang mendakwa dirinya baik dan ‘kaki sembahyang’. Tidakkah beliau memikirkan dirinya sebagai pendakwah, bukan sebagai penghukum. Teman betul-betul kecewa dan marah.
8. Kepada semua, jadilah pendakwah yang bijak. Kadang-kadang manusia tidak terkesan dengan kata-kata, tetapi ada masanya, ‘dakwah bil hal’ atau melalui perlakuan itu lebih berkesan dan membawa erti. Jadilah pembantu, sahabat dan pembimbing daripada menjadi penghukum. Mereka, golongan yang celaru itu, manusia seperti kita. Mereka memerlukan kita, mengapa mereka perlu dipinggirkan? Teman merayu kepada pembaca blog ini, semoga entri yang biasa-biasa sahaja ini dibaca dan difahami. Bantulah mereka.
No comments:
Post a Comment