Wednesday, 27 April 2011

Penyedap Cerita = Penipu

Penipu besar yang paling utama adalah diri sendiri, benar bak kata Ustaz Zul Ramli di dalam bukunya “U-Turn Ke Jalan Lurus”.

 

Teman ingin fokus kepada sifat yang ada pada kebanyakan manusia yang berkaitan dengan ayat pertama teman di dalam entri ini. Sikap ‘suka menyedapkan cerita’. Teman akui teman adalah antara orang yang tergolong dalam orang-orang yang mempunyai sikap sebegini dan sedang berusaha mengubahnya. Di dalam penulisan, kita mestilah berhati-hati supaya penceritaan kita tidak bercanggah dan mendatangkan keraguan. Tetapi apabila dalam sebuah perbualan yang rancak bersama teman-teman atau sesiapa sahaja, dalam tak sedar mulut kita tergelincir menokok tambah cerita itu menjadi bertambah sedap untuk didengar. Contohnya jika kita menceritakan pengalaman silam yang hanya kita sahaja tau benar atau tidak cerita itu di dalam sebuah kumpulan rakan-rakan sekerja yang tidak tahu apa-apa tentang kisah silam kita, andainya kita memperkatakan tentang topik misteri di alam ghaib, kita mengatakan bahawa kita telah ditegur dengan satu suara garau yang datang entah dari mana semasa kita bersekolah asrama dahulu, padahal peristiwa sebenarnya, kita cuma terdengar suara rengusan kecil, tidaklah sebesar suara yang kita gambarkan itu. Perkara ini nampak kecil, tetapi kita sebenarnya telah melakukan satu pembohongan. Boleh dikatakan ramai di kalangan manusia mempunyai perangai sebegini.

 

Sikap menokok tambah penyedap cerita adalah satu pembohongan yang datang dari diri sendiri, implikasinya besar kerana ia mungkin membawa kepada sebuah fitnah yang besar. Teringat pula teman tentang satu skandal hebat yang sedang heboh di kalangan kawan sekerja di tempat teman. Skandal yang mengatakan bahawa suami orang itu telah menjalinkan hubungan dengan isteri orang. Benar atau tidak skandal tersebut, hanya Allah sahaja yang tahu. Tetapi cerita yang tersebar ini seolah-olah sebuah cerita yang hampir semua orang tahu, sehinggakan orang yang tak pernah melihat pasangan ini berdua-duaan turut mendakwa bahawa dirinya pernah melihat mereka berdua sedang berbual di dalam kereta yang tak bergerak. Begitulah implikasinya apabila cuba menyedapkan cerita.

 

Penipuan sebegini ada di dalam diri setiap manusia dan patut diperangi oleh diri sendiri. Jadikanlah ia satu cabaran buat diri sendiri. Kurangkan berkata-kata boleh membantu kita mengawal tutur kata dan menghalang lidah dari mengatakan perkara-perkara yang tiada faedahnya. Jika ada yang bercerita tentang sesuatu yang tidak baik, janganlah menambahnya dengan pandangan diri sendiri, melainkan jika mahu menegur dan menyedarkan orang. Jika tak mampu berbuat apa-apa, dengar dan diam, anggaplah seperti masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Yang penting, sematkan di minda bahawa kata-kata itu melambangkan gambaran hati orang yang berkata-kata itu.

 

Untuk diri teman sendiri, selamat menjaga lidah dan kata-kata.

No comments:

Post a Comment