Saturday, 23 April 2011

30 Minit di Taman Rekriasi

Salam semua,
Hari ni teman memandang kehidupan teman dari sudut berbeza. Teman dapati banyak yang dapat teman pelajari dengan hanya melihat, memerhati, mendengar dan berfikir. Kehidupan ini adalah sekolah dan proses pembelajaran itu sentiasa berlaku setiap masa sehingga kita menutup mata.
30 minit di taman yang dikenali sebagai hutan bandar, tempat beriadah yang disediakan Majlis Perbandaran tempatan, sudah memberi pelbagai pengajaran dan banyak perkara yang boleh dilihat dan difikirkan. Jam teman pada ketika itu menunjukkan jam 8 pagi. Baru teman perasan, teman hanya memakai selipar 'crocs' berwarna merah jambu dan teman rupa-rupanya terlupa membawa kasut sukan ke taman itu. Teman rasa, teman hanya membuang masa jika teman berpatah balik ke rumah dan mengambil kasut sukan, lalu teman teruskan juga dengan selipar tersebut. Lagipun selipar itu selesa juga dibawa berlari.

Bila teman mula berlari, beberapa orang yang melalui kawasan itu memandang kaki teman dan teman buat selamba sahaja. Teman mula mendapat pengajaran pertama iaitu mereka yang memandang kaki teman pastinya menyangka teman bukanlah ahli sukan atau teman baru nak berjinak-jinak untuk bersenam, atau teman sedang berjalan-jalan dengan keluarga tetapi teringin untuk berlari-lari anak seperti mereka. Pelbagai kesimpulan boleh mereka simpulkan dari kaki teman tetapi hakikatnya, senaman adalah satu kebiasaan teman kerana sebagai orang yang pernah mencapai berat badan seberat 86kg, dan sekarang berkurangan kepada 64kg, tentulah teman mengamalkan cara hidup sihat termasuk senaman untuk mencapai berat badan yang ada sekarang ini. Teman cuma terlupa membawa kasut sukan.

Teman berlari lagi, teman rasa sangat segar menghirup udara pagi di tempat rekriasi yang indah seperti itu. Terima kasih kepada Majlis Perbandaran yang menyediakan tempat yang bagus sebegini dan menggalakkan cara hidup yang sihat buat penduduk setempat. Teman mendaki bukit yang agak tinggi untuk meningkatkan lagi kadar degupan jantung teman. Bila teman sampai di atas bukit, kelihatan beberapa pasangan suami isteri yang bersenam bersama-sama. Teman dapat rasakan hubungan yang terjalin di antara mereka, ada yng nampak sangat bahagia dan saling tersenyum dengan pandangan yang penuh kasih sayang. Ada juga pasangan suami isteri yang bersenam bersama, tetapi seolah-olah tiada komunikasi di antara mereka, mereka tidak seperti pasangan yang hangat bercinta seperti pasangan suami isteri yang teman nampak tadi. Adakah mereka hanya menjalani kehidupan rumah tangga kerana mereka terikat denganya, dan adakah kasih sayang itu sebati di dalam hubungan mereka sehingga ia tak perlu dilafaz dengan kata-kata dan pandangan mata? Itu teman kurang pasti kerana teman belum pernah berumah tangga. Dan ada satu pasangan dalam lingkungan umur 40-an, mereka berlari seiringan sambil bercerita, saya kira isterinya sedang menceritakan satu masalah, mungkin berkenaan masalah keluarga atau perniagaan kerana melalui perbulan mereka dalam bahasa Mandarin itu, isterinya berkata "betul tak?", seolah-olah sedang mempertikaikan sesuatu. Dan suaminya setia mendengar dan memberi tindak balas yang tenang terhadap kata-kata isterinya. Mereka seperti sepasang kawan baik, dan saya kira hubungan itu adalah hubungan yang menyenangkan kerana suaminya menjadi tempat beliau menceritakan masalahnya dan suaminya mendengar dan memberi tindakbalas yang baik.

Melihatkan beberapa pasangan suami isteri itu membuatkan saya berfikir tentang ikatan hubungan mereka, satu persoalan timbul, adakah kasih sayang boleh berdiri sendiri tanpa sokongan agama. Pasangan-pasangan itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, 'trend' hubungan itu sama tak kiralah pasangan itu Melayu, India atau Cina. Adakah kasih sayang adalah satu perasaan yang memberi kesan dan tindak balas yang sama tanpa ada campur tangan kerohanian, maaflah teman tak jumpa perkataan yang sesuai. Tetapi teman tak jumpa jawapan dari soalan yang bermain di kepala teman. Tetapi bila teman teringat arwah kawan teman yang baik itu, isterinya menyanjungnya kerana kebaikannya dan ketekunannya beribadah. Dan hasil amalan dan kepercayaannya pada agama, arwah benar-benar melayan isterinya dengan baik seperti yang dilunaskan agama. Mungkin kasih sayang itu bersifat berdikari tanpa unsur lain, tetapi teman yakin, jika kasih sayang itu satu bentuk fizikal, rohnya adalah Islam. Islam itu yang mengindahkan hubungan dan membuatkan hubungan itu harum dan mekar lalu menjadi taman syurga di hati mereka.

Teman berjalan pula setelah penat berlari mendaki bukit itu buat kali kedua, teman terlihat seorang wanita yang memejamkan matanya dan meletakkan tangannya di batang pokok, tiada pergerakan seolah-olah beliau sedang cuba memindahkan kuasa dalaman kepada pokok tersebut. Ada seorang gadis cina berlari melintasi wanita itu dan pokok itu, gadis cina itu seperti menahan ketawa tetapi diteruskan juga lariannya. Teman cuba memahami apa yang wanita itu lakukan, teman lihat ke arah kakinya, teman nampak wanita itu membengkokkan sebelah kanan kakinya seolah-olah membuat regangan, tetapi matanya masih pejam dan tangannya masih menyentuh batang pokok tersebut. Adakah dia melakukan regangan kaki, atau wanita itu sedang melakukan yoga, tetapi teman tak pernah nampak pula gaya yoga yang sebegitu. Dalam teman sedang berasa hairan, ada seorang lagi gadis yang lalu disitu, dahinya berkerut memandang wanita dan pokok itu, jelas, bukan teman seorang sahaja yang hairan, maknanya perlakuan itu memang pelik. Tetapi akhirnya teman tak membuat apa-apa telahan lagi apabila teman terpandang kaki teman yang hanya berselipar merah jambu itu. Kesimpulannya, hanya wanita itu sahaja tahu apa yang beliau lakukan dan mesti beliau mempunyai sebabnya yang tersendiri. Itulah kita semua perlu lakukan, jangan mudah membuat kesimpulan tanpa bertanya dengan tuan punya badan atau mengkaji selidik perilaku dan perkara sebenar.

Akhir sekali, teman ingin pulang setelah melakukan 3 pusingan, teman pergi ke arah tempat letak kereta. Dari arah tepi, teman nampak pagar untuk keluar dari taman itu kelihatan tutup. Dalam hati teman berkata "Eh, tutup pula. Habis tu nak lalu mana ni?"Teman berjalan lagi menghampiri kereta dan kereta teman betul-betul berada di depan pagar pintu keluar taman itu, oh rupa-rupanya terbuka, tak tutup seperti yang teman pikirkan kerana teman melihat pagar itu dari sisi tepi dan ia kelihatan seperti tertutup. Apabila teman berada di susut bertentangan, barulah teman nampak gambaran jelas bahawa pagar itu terbuka. Nyatalah dalam kehidupan ini, jika kita melihat sesuatu, dan kita mula menyangkakan sesuatu yang negatif berlaku, kita perlu melihat dari sudut yang lain pula, mungkin kita akan jumpa jawapan yang sebenar dan mengubah pemikiran kita sebelum itu.

Begitulah kehidupan, walaupun berada 30 minit di taman rekriasi, 30 minit itu memberi banyak pengajaran jika manusia itu mahu befikir.

No comments:

Post a Comment