Teruja membaca blog-blog seperti blog CheDet, Dr.Kamil Ibrahim dan isterinya Roza Roslan, blog Cawley, Budak Kodiang dan Huruneen. Inilah blog-blog yang menjadi inspirasi kepada teman untuk menulis di blog teman ini. Blog-blog seperti ini sangat hebat kerana mereka menilai kehidupan dari sudut yang positif dan tersendiri. Olahan mereka tentang kehidupan sangat menarik dengan penggunaan bahasa yang elok dan menyenangkan, apa yang penting, tidak mencemar bahasa. Entri-entri teman sebelum ini mempunyai bahasa daerah tetapi minggu lepas, teman terdengar satu topik di radio IKIM tentang memartabatkan bahasa ibunda. Sejak dari itu, teman berjinak-jinak untuk menghormati bahasa di dalam entri-entri teman. Seboleh-bolehnya teman cuba gunakan 100% bahasa Melayu atau 100% Inggeris, atau jika tidak dapat dielakkan, teman akan gunakan bahasa adaptasi yang sudah dikamuskan.
Berbalik kepada blog, blog adalah ruang terbaik untuk seseorang meluahkan pandangannya tentang apa sahaja. Ia juga berfungsi sebagai jurnal agar kisah hidupnya dapat diikuti oleh dirinya dan orang lain. Ada yang bertanya, mengapa mahu diarinya dibaca umum? Mungkin pemilik blog tersebut merasakan bahawa kehidupannya itu indah dan perlu dikongsi keindahannya bersama orang lain. Bagi sesetengah pemilik blog, mereka mahu bersuara dengan bebas tanpa identitinya terdedah, bercerita pada pengunjung yang datang entah dari ceruk mana, apa yang pasti mereka dapat luahkan segalanya dan ia dapat menjadi pengajaran dan pedoman buat semua. Ada juga yang ingin mengaut keuntungan dengan berusaha memasukkan entri-entri yang boleh menarik ramai pelayar-pelayar internet, dengan itu mereka akan dapat mengaut untung melalui iklan-iklan yang dipaparkan di blog mereka. Ada juga yang bertujuan untuk meniaga dan mengumpul dana.
Bagi teman, pada mulanya, teman bertujuan untuk meluahkan segala rasa teman supaya hati yang marah dan memberontak dengan persekitaran dan sistem yang ada dapat teman luahkan tanpa rasa bersalah. Lama kelamaan niat teman berubah, teman berniat untuk menjadikan ia jurnal supaya dapat menjadi pedoman dan manfaat buat semua. Terlintas juga di hati supaya blog ini menarik ramai pembaca dan akhirnya membawa pulangan yang lumayan, tetapi kini niat tersebut hilang sedikit demi sedikit kerana keinsafan yang menyelinap ke dalam sanubari setelah melihat keikhlasan segelintir manusia yang menulis untuk memberi manfaat kepada semua, bukan untuk kepentingan diri sendiri. Kemudian, apabila terbaca blog-blog seperti yang teman sebutkan di perenggan pertama entri ini tadi, teman semakin bersemangat untuk menjadi lebih ikhlas. Bukan mudah untuk mendapat perasaan ikhlas itu, tetapi teman akan berusaha ke arah itu. Teman akan tetapkan niat bahawa blog ini akan menjadi jurnal supaya teman boleh ikuti perkembangan diri sendiri, dan teman dapat ikuti turun naik iman teman. Teman juga akan menjadikan ia sebagai tempat minda teman beraksi, dan tempat untuk menguji kemahiran menulis dan meluahkan pendapat dan pandangan dari sudut pemikiran teman.
Kepada pemilik-pemilik blog, cubalah menulis dengan bahasa yang baik, bukan dengan bahasa yang tercemar. Teruskan menulis dan meluahkan buah fikiran anda yang hebat itu kerana teman akan setia membacanya. Terima kasih kepada penulis-penulis blog yang memberi inspirasi kepada alam sejagat.
No comments:
Post a Comment