Sunday, 24 April 2011

Hari Minggu Kali Ini

Salam semua,

Malam tadi, kawan teman telah menjemput teman di rumah, kami kemudian sama-sama menuju ke rumah sahabat teman yang terletak 80km dari rumah teman. Dalam kesedihan, teman berpura-pura seolah-olah teman seperti biasa sahaja dan kawan-kawan teman tidak dapat meneka apa yang tersirat di hati teman. Sebelum sampai di rumah sahabat teman itu, teman dan kawan teman melepak di kedai makan yang agak terkenal di kawasan itu. Kelihatan ramai manusia membanjiri kedai-kedai makan yang terletak di situ. Seharian teman tidak menjamah makanan, perut teman terasa lapar pula bila melihat makanan yang terhidang di meja orang lain.

Sambil menunggu, teman dan kawan teman berbual-bual, teman setia mendengar cerita kawan teman yang sebenarnya seorang yang pendiam itu. Malam itu, kawan teman rancak berbicara, tidak seperti sikapnya selama ini yang banyak mendengar dari bersuara. Beliau ghairah bercerita mengenai kisahnya di tempat kerja, kisah teman lelaki barunya dan tentang wanita yang tidak disukainya. Dalam hati teman, terasa sayu dan sedih mengenangkan perkara lain.

Tepat 12 malam, teman tiba di rumah sahabat teman. Teman berbual-bual dengan sahabat teman suami isteri, anak-anak mereka masih belum tidur dan masih rancak bermain dan berlari ke hadapan dan ke belakang rumah. Maklumlah, rumah baru kali ini lebih besar dari rumah sebelumnya. Lama kami berbual, sampai 2 pagi juga. Walaupun mata teman sudah penat, tetapi teman layankan juga kawan-kawan teman supaya hati teman yang lara ni terubat.

Pagi tadi teman terbangun seawal 6.15 pagi. Mungkin sebab teman sudah terbiasa bangun awal pagi kerana bekerja jauh. Teman bangun dan menunaikan solat Subuh, kemudian teman duduk termenung di ruang tamu. Pukul 7 lebih, teman terlelap sehingga 9.30 pagi, mungkin kerana lewat tidur malam tadi. Itupun sebab kawan teman menggerakkan teman dan mengajak bersarapan di bandar berdekatan.

Kami bersarapan di sebuah kedai yang sangat usang, dimiliki nenek tua dan cucunya. Dengan menggunakan arang, nenek tua itu memasak beberapa menu kampung yang teman kira agak menyelerakan. Teman memesan nasi lemak dan air nescafe tarik. Memang sedap masakan nenek itu dan terasa seperti berada di tahun 70-an dengan keadaan kedai yang sungguh daif itu. Dalam hati teman, nenek ini mesti kaya kerana ramai pelanggan yang datang setiap hari kerana merasakan betapa unik dan klasiknya kedai itu.

Balik ke rumah sahabat teman selepas bersarapan, teman termenung panjang di sofa yang diletakkan di anjung rumah. Suasana sungguh damai sehingga melayangkan pemikiran teman kepada seseorang yang teman sayangi. Doa dan harapan berselang seli di dalam hati, mendoakan diri sendiri tabah menghadapi ujian getir ini. Teringat kata-kata seorang ustaz muallaf yang di undang ke radio IKIM, beliau berkata "kita lupa bahawa senjata utama orang Islam adalah DOA".

Alhamdulillah, hari ini berlalu dengan tenang. Walaupun hati teman sedikit lara, tetapi teman mampu mengawal perasaan teman sehingga kawan-kawan teman tidak perasan apa yang bermain di hati teman. Benarlah janji Allah bahawa mintalah hanya kepadaNya. Terima kasih kepada Allah kerana mengurniakan hadiah dan senjata paling berharga iaitu DOA.

Jauh teman termenung tetapi hati penuh doa dan harapan.

No comments:

Post a Comment