Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (Surah Al-Ankabut: 2)
Ayat ini benar-benar satu motivasi besar kepada sesiapa sahaja yang sedang diuji Allah. Ujian datang dengan berbagai-bagai cara. Dalam kehidupan manusia, manusia sering diuji dengan masalah-masalah tertentu, malah ujian juga datang dalam bentuk nikmat. Melaului pembacaan, pengalaman dan pengamatan teman, ayat diatas 100% benar! Sering sahaja teman ketahui tentang orang-orang yang terkenal dengan kebaikan dan kealiman mereka diuji dengan pelbagai dugaan. Ada diuji dengan sakit, ada yang diuji dengan kemiskinan, ada juga yang diuji dengan fitnah, ada yang diuji dengan tiada zuriat dan masalah keluarga, dan macam-macam lagi. Seringkali ujian buatkan diri kita resah. Ada juga yang hilang iman ketika menghadapi ujian. Teman juga salah seorang yang pernah kehilangan iman tika ujian melanda. Kali ini, tika teman memahami konsep iman, taqwa, ihsan, qadha’ dan qadar dan tentang Islam sendiri, teman juga menerima ujian yang macam-macam. Kalau dulu, teman bagaikan hilang punca. Kali ini, tika diri sedang belajar erti sabar, diri teruji dengan pelbagai ujian. Tika meniti jalan Allah, terasa jalan ini sangat sunyi. Mengapa sunyi? Mari teman kongsikan.
Ketika teman dalam era ‘jahiliyah’, teman punyai ramai kawan. Ke mana-mana sahaja kaki ini melangkah, pasti bersama sekumpulan rakan-rakan, dan ia adalah ahli tetap. Teman tak perlu gusar akan keseorangan ke mana-mana sahaja, pasti ada sahaja yang menemani. Bila di tempat kerja, teman punya sekelompok rakan-rakan yang setia mendampingi di waktu makan, bersukan dank e mana sahaja. Bila pulang ke rumah, teman-teman yang lain pula sedia menemani dan seringkali kami ‘lepak’ di kedai-kedai makan untuk berkongsi cerita. Teman tak mengerti erti sunyi kerana hidup ini penuh dengan kawan-kawan, sahabat baik bukan seorang, tapi ramai! Ketika pintu hati diketuk keinsafan, teman ubah haluan. Kalau dahulu, hampir pukul 4 petang, teman dan kawan-kawan segerombolan menuju ke surau sambil melaksanakan solat Zuhur dan berbual malah bergossip, tetapi kini teman pergi ke surau seorang diri pada pukul 1.15petang. Waktu solat sudah tidak sama lagi. Jauh sekali untuk berbual dan bergossip, dek kerana jadual solat teman yang berubah, akhirnya banyak aktiviti yang sering dilakukan bersama kawan-kawan ditamatkan begitu sahaja. Tiada sesalan, teman kira, ia hanya mengurangkan aktiviti teman bersama mereka, tetapi semangat setiakawan pasti takkan hilang. Sangkaan teman meleset, entah kenapa, kawan untuk menemani makan tengah hari juga hilang satu persatu. Mereka tidak lagi mengajak teman untuk makan bersama mereka. Mungkin ada silap teman di mana-mana. Mereka juga sudah jarang berbual dengan teman. Tiada niat untuk menjauhkan diri dari mereka, tetapi teman Cuma ingin mencari jalan kebenaran. Mungkin teman sendiri yang melakukan kesilapan terhadap mereka tanpa sedar. Teman juga tak mampu berdakwah kepada mereka kerana teman kenal sangat dengan sikap mereka. Pastinya sikap teman yang buruk dahulu menjadi ungkitan jika teman cuba mengajak ke arah kebaikan, ah, katakan sahaja teman pengecut. Akhirnya teman pilih alam maya sebagai medan dakwah kerana diri ini terlalu lemah untuk berdakwah secara bersemuka dengan mereka semua. Dan akhirnya jalan kebenaran itu teman temouh dengan sunyi. Di dalam hati berdoa agar Allah merahmati diri ini. Tak mengapalah jika tidak mendapat cinta manusia, Rahmat Allah itu lebih utama. Tanpa rahmatNya, mana mungkin teman kembali ke pangkal jalan. Dan inilah ketetapan Allah, ini adalah ujian yang Allah beri kepada teman. Moga-moga Allah beri petunjuk agar teman melalui jalan ini dengan redha Allah.
Banyak lagi dugaan dan ujian teman tempuh, tak mampu dinukilkan segalanya ketika ini. Teman akan kongsikannya sedikit demi sedikit. Bukan kerana apa, kerana Allah. Kerana ingin memberi semangat kepada pencari kebenaran agar hati mereka terus cekal. Hidup di dunia ini tidah lain hanyalah sehari, ia adalah firman Allah. Ingatlah ayat kedua dari surah al-Ankabut agar anda yang mencari kebenaran berasa tenang dan dapat menghadapi ujian Allah dengan tenang. Ianya telah tertulis bahawa ia kan jadi begini dan begini, oleh itu percayalah akan ketentuan Allah dan bersabarlah. Bersangka baiklah dengan Allah. Ia pesanan buat hati teman sendiri yang sedang bersedih.
No comments:
Post a Comment