Teman umpama “back on track” dalam soal kerja. Dengan kuasa Allah, tiba-tiba teman dilantik mengepalai divisyen tertentu dan menjadi naib ketua untuk jabatan. Teman tak pasti apa yang berlaku, tetapi secara rasminya ia akan berkuatkuasa minggu depan. Padahal sebelum ini, terasa diri teraniaya apabila diketepikan dan dinyahfungsikan dari tugas-tugas harian di tempat kerja sehingga teman seperti tidak wujud di jabatan ini. Ianya kuasa Allah. Adakah ia nikmat atau ujian? Adakah ia hasil sunat Dhuha, jawapan doa “Ya Allah, berikanlah aku pekerjaan yang terbaik dengan kedudukan yang terbaik agar aku menjadi contoh orang Islam, dan ketika mereka melihatku, maka bertambah iman mereka dan berkurang nafsu keduniaan dan penyakit jiwaku”. Teman kurang pasti, tetapi apa yang pasti tanggungjawabnya sangat besar. Dan cabarannya adalah pengetahuan yang mendalam dalam bidang ini, teman tak pasti pengetahuan teman sudah cukup atau belum, ia seolah-olah masih jauh, Sesungguhnya aku hambaMu yang hina dan bodoh.
Sahabat Lama dan Jemputan Istimewa
Seorang teman lama, kami pernah sangat-sangat rapat. Tetapi ada sesuatu yang berlaku dan kami akhirnya terpisah kerana sedikit persengketaan. Hari ini beliau datang kembali atas urusan kerja. Dengan tawaran nikmat dunia yang menarik. Atas urusan kerja, pihak syarikatnya memberi jemputan rasmi untuk teman. Ia adalah satu jemputan untuk majlis bertema karpet merah, bakal dijemput dengan ‘7 series’, dan dibawa ke sebuah majlis terkemuka di kota Singa dan dijamu dengan makanan mewah hidangan Chef terkemuka dunia. Teman tak pernah terfikir semua itu. Perkara peliknya, sahabat lama ini datang kembali dalam hidup teman, tetapi datang bersama ujian nikmat yang tak pernah terfikir dek akal teman. Singapura, majlis mewah, dijemput dengan kereta mewah, wah…di manakah tempat untuk bersolat nanti? Adakah peluang dan ruang masa diperuntukkan untuk solat? Halalkah hidangan itu nanti? Adakah hidangan mewah terhidang bersama arak-arak termahal dunia? Teman kira, ia satu jemputan yang hebat yang tak sesuai dengan teman. Teman kira, menolak dengan baik, lantas menyambung kembali hubungan yang pernah retak, itu lebih bermakna. Jemputan yang hebat, tetapi syurga Allah lebih mewah dan indah.
Diam tetapi Berharga
Seorang kawan sekerja di pejabat teman, dia pendiam, tak banyak cakap, seorang yang dingin, mempunyai minat yang keanak-anakan tetapi pengetahuan dan mindanya sangat luar biasa. Dahulu, ketika teman ‘jahil’, teman ingat, teman adalah orang yang sangat bijak dan komunikasi adalah kemahiran teman yang tak dapat disangkal lagi. Apabila mengendalikan mesyuarat atau perjumpaan dengan pihak-pihak tertentu, teman petah berbicara. Teman akan melontarkan idea-idea yang teman anggap luar biasa dan mampu membuat mereka menutup mulut dan hanya mendengar apa yang teman katakan. Tetapi zaman jahiliyah itu berlalu, harap-harapnya berlalu pergi dan takkan kembali. Kini, rakan sepejabat teman yang pendiam dan kurang petah bercakap itu mengendalikan sebuah mensyuarat hari ini dan teman perlu hadir untuk mengikuti rapat isu yang sedang berlaku. Teman kagum. Dia tak banyak berbicara namun setiap butir perkataannya, sangat mengagumkan. Hasil dari kendaliannya yang hanay mengeluarkan beberapa ayat yang sangat-sangat penting, mesyuarat itu berakhir dengan sangat berjaya. Beliau mampu menyelesaikan pertikaian beberapa pihak tentang isu yang dikemukakan. Dia sangat luar biasa. Teman terasa sangat hina. Nyata, manusia tidak perlu merasa dirinya lebih kerana sejauh mana kita menguasai sesuatu, kita ternyata bodoh tentang hal yang lain pula. Pengajarannya dan ia adalah apa yang dianjurkan agama, lebih baik diam dari banyak berkata-kata. Biarlah apa yang keluar dari mulut kita adalah perkara-perkara yang perlu dan penting sahaja. Dan tuntutlah ilmu dan janganlah berasa riak dengan ilmu yang kita ada.
No comments:
Post a Comment