Di dalam hikmah ke tiga, jilid pertama dalam Syarah Kitab Al-Hikam Ibnu Athaillah memperkatakan tentang qadha dan qadar Allah. Ia adalah syarah yang telah diringkaskan dan diulas semula dengan olahan yang lebih mudah dari anak muridnya, tetapi, dalam olahan yang dimudahkan, masih teman merasa betapa tingginya ilmu tersebut untuk difahami, dan nyata, betapa cetek ilmu di dada teman hinggakan ilmu yang diringkaskan itu juga sukar untuk teman fahami. Alhamdulillah, dari 10 penerangan (sebagai contoh), sekurang-kurangnya teman memahami 3 butir utama yang ingin diolah oleh penulisnya.
Menurut isi kandungan syarah tersebut, ia menyebut bahawa setiap apa yang berlaku pada kita telah tertulis di Luh Mahfuz. Dan Allah adalah sifatNya Mengurus alam ini. Tika kenderaan bergerak, ia adalah atas kehendak Allah dan Allah menguruskan kenderaan itu untuk bergerak. Tetapi syarah ini menekankan untuk tidak salah sangka dengan menjadikan syarah ini tiket untuk menghalang seseorang untuk berusaha. Ia diterangkan secara lanjut dengan bahasa yang pada teman agak sukar difahami, namun apa yang penting adalah penekanan tentang Allah yang Menguruskan seluruh alam ini dan menulis segala suratan di Luh Mahfuz. Dan yang pasti, setiap sesuatu yang berlaku adalah atas kehendak Allah SWT.
Ini adalah peringatan buat diri teman sendiri. Hari ini teman merasakan bagai hilang punca apabila satu-satunya rakan yang teman kira memahami dan memiliki perjuangan yang sama dengan teman mula menjauhkan diri sejak tengah hari semalam. Teman tidak memahami apa yang sebenarnya berlaku. Tetapi lebih baik teman meletakkan kesalahan itu pada diri teman sendiri. Mungkin teman ada melakukan sesuatu yang mengguris hati sahabat teman itu sehinggakan dia menjadi dingin dan menjauh. Maka akhirnya, teman rasa asing di tempat teman mencari rezeki. Tiada lagi kawan penguat semangat jika yang satu ini pun bertindak menjauhkan diri.
Berbalik kepada hikmah dalam syarah al Hikam Ibnu Athaillah, teman mahu memujuk hati teman bahawa teman perlu menguatkan lagi amal ibadat. Teman perlu mempertingkatkan lagi rasa kehambaan dalam diri teman. Sesungguhnya seorang hamba tak layak mempersoalkan Maliknya atas ujian yang menimpanya. Jika seorang hamba merasakan dia telah melakukan segala-galanya tetapi takdirnya memberi sesuatu yang sebaliknya atau diluar kehendaknya, maka sang hamba perlu tahu bahawa sebagai hamba yang diberi terlalu banyak nikmat oleh Tuannya, adakah ketaatan yang ‘biasa-biasa’ itu sudah cukup untuk menzahirkan rasa syukur? Sedangkan Rasulullah SAW sujud di tengah malam sehingga bengkak-bengkak kaki untuk menyatakan kesyukurannya, bagaiamana seorang hamba yang memiliki segala kelemahan boleh mempersoalkan ujian kecil dari Allah? Seorang kawan tidak lain hanyalah sebahagian dari sifat keduniaan. Cintailah seseorang itu kerana Allah dan bencilah seseorang juga kerana Allah. Selain nikmat seorang kawan, Allah memberi bermacam-macam lagi nikmat yang tak terhingga buat sang hamba. Nikmat mata sahaja sudah terlalu hebat buat seorang hamba, bagaimana jika nikmat mata ditarik, apakah yang lebih penting antara sebuah penglihatan dan seorang kawan? Maka, bersyukurlah dan tabahlah menghadapi ujian.
Sunyi dalam Rahmat Allah, jika dibanding dengan dunia yang menyesatkan, mana satukah yang akan kau pilih? Biarlah sunyi, tetapi hati sentiasa ingat pada Yang Maha Mencipta.
Kejarlah Allah, apalah yang ada pada seorang kawan hingga membuatkan hati bersedih. Sedihlah jika Rahmat Allah lari dari kita. Itu lebih malang kerana api neraka marak menyala apabila Rahmat Allah terlepas dari kita.
Ketentuannya sudah begitu, telah tertulis di Luh Mahfuz bahawa sang kawan akan menjauhkan diri dari teman, maka percayalah akan ketentuan ini kerana keyakinan ke atas qadha dan qadhar adalah salah satu paksi iman. Jika kita menidakkan hakikat ini, maka hilanglah iman kita. Jika tiada iman, takut-takut kita terkeluar dari agama tanpa kita sedari. Segalanya sudah ditentukan Allah, apa yang penting berdoalah dan mohon ampun dari Allah, kita tidak tahu apa yang Allah tulis tentang hari esok. Bersabarlah. Hidup di dunia tidak lain hanyalah sehari cuma.
No comments:
Post a Comment