Monday, 18 July 2011

Catatan Terpencil -BERSIH 2.0-Nikmat yang Manakah Telah Kau Dustakan

Assalamualaikum wbt,

Teman bukan penyokong kerajaan. Teman juga bukan pembangkang. Mungkin anda mengatakan teman tak punya pendirian, bukan begitu, teman pencinta Islam, Islam itu maksudnya sejahtera, oleh itu teman cintakan keamanan. Teman ingin berkongsi tentang isu BERSIH 2.0 yang berlaku baru-baru ini, ia hanyalah suara nyamuk, tidak, bukan nyamuk, ia suara yang hampir tidak didengari, ia cuma pendapat peribadi.

1. Sebelum teman lupa, teman selitkan alamat url untuk sesiapa yang mencari dan cuba memahami maksud kebenaran, bacalah dan fikirlah. Bukankah Allah sering berfirman, tidakkah kamu berfikir? Ia adalah karya Ustaz Pahrol Juoi. http://genta-rasa.com/2011/07/10/melawan-arus/

2. Teman terbaca satu entri pelajar ipta yang agak masyhur di kota, beliau adalah salah seorang peserta demonstrasi BERSIH 2.0. Teman faham, beliau dan rakan-rakannya ingin berjuang, namun hayatilah makna perjuangan. Perjuangan adalah satu perkataan yang besar maknanya. Adik-adik yang masih belajar pastinya berdarah panas. Sifat si anak muda yang baru mendapat ilmu, mereka suka bertikam lidah dan menegakkan apa yang mereka sangka benar. Ia bagus dan satu sifat yang proaktif tetapi adik-adik, hari ini anda berjuang dengan keras, jika tertangkap dan dibuang universiti, apakah perjuangan tanpa segulung ijazah itu satu perjuangan yang menggembirakan ibu bapa, orang kampung, sanak saudara dan sesiapa sahaja yang mengenali anda? Menuntut ilmu itu hukumnya wajib, perjuangan itu perlu dikupas dari aspek yang lain. Kuasailah ilmu sebagai nadi perjuangan adik-adik, pastinya orang yang berilmu, suaranya lebih didengari dari orang yang belajar separuh jalan.


3. Perjuangan menuntut perubahan. Beriya-iya mereka laungkan tentang keadilan dan perubahan. Kata-kata reformasi dilaung di sana sini. Benar, manusia perlu berubah. Perubahan yang sepatutnya diperjuang adalah perubahan dari tidak baik kepada lebih baik. Allah berfirman yang maksudnya, Dia tidak akan mengubah sesuatu kaum melainkan diri individu itu sendiri. Mengapa Allah berfirman sebegitu? Teringat karya Ustaz Pahrol, ia adalah dialog antara 2 orang ulamak yang berbeza fahaman.

Tok Guru Saleh: Jangan kau libatkan Sagor sahaja. Tapi lihat dalam kumpulanmu. Mengapa belum tegak Islam yang kau cuba citakan itu?” Mencelah lagi ingatan itu dalam kepalanya.
Tok Guru Imran:Kami sibuk berjuang. Bukan masanya menadah kitab. Ini masanya senjata berkata-kata. Ini lebih fardu sekarang.
Tok Guru Saleh:Tapi kampung Lela terus mengatur hidup. Bagaimana pertanian, jual beli, pendidikan dan kenduri-kendara di sana? Sudah diatur secara Islam?
Tok Guru Imran:Kampung Lela, kampungku, kampung pejuang. Urusan hidup terpulang kepada diri masing-masing. Urusanku cuma memimpin gerakan bawah tanah bersenjata. Kuajar mereka ilmu perwira. Kudidik bermain senjata.
Tok Guru Saleh: Lalu kau salahkan Datuk Sagor kerana tidak menegakkan hukum Islam? Sedangkan dalam kumpulan kau sendiri hukum itu belum bertegak?

Nyata, kita seharusnya menegakkan perjuangan ke atas kelompok kecil kita dahulu. Kepada adik-adik yang sedang belajar, sudahkah islam tertegak di kolej-kolej kediaman adik-adik? Adakah surau-surau adik-adik sudah penuh dengan jemaah? Adakah adik-adik sudah memastikan solat 5 waktu dilaksanakan tepat pada waktunya tanpa meninggalkannya atau melewat-lewatkan waktu solat adik-adik? Sudahkah adik melakukan solat-solat sunat bagi memastikan adik berada dalam golongan hamba Allah yang soleh dan solehah? Sudahkah adik-adik mendidik keluarga sendiri sebagai mukmin yang sejati? Sudahkah adik-adik menegur adik beradik anda yang lalai? Sudahkah disedarkan orang-orang kampung adik agar menegakkan syiar Islam?

4. Masyarakat bergantung dengan generasi muda, pinjaman dan biasiswa diberi hasil dari duit-duit cukai rakyat. Keluarga bergantung harap dengan generasi ini dan negara ini mengharapkan mereka menjadi generasi berilmu yang bakal mengekalkan dan meningkatkan lagi keamanan negara. Ia tanggungjawab agar generasi hari ini menjadi generasi yang cemerlang dari segi pelajaran dan sahsiah. Jangan diikutkan darah muda, takut nanti binasa. Ia bukanlah bicara sang pengecut, tetapi ia adalah suara rakyat yang mengeluarkan cukai demi melihat generasi hidup aman dan mendapat pelajaran yang secukupnya. Perjuangan ini biarlah diambil alih oleh orang dewasa yang lebih berpengalaman. Kredibiliti ulamak-ulamak yang ada usah diperlekehkan. Mereka bukan calang-calang orang dan kita yang berilmu cetek ini tidak layak mempersoalkan ilmu mereka. Ya, kita tak boleh berdiam dengan ketidakadilan sesetengah pihak tetapi usah dipersoalkan golongan berilmu. Kita cuma perlu bercakap tentang apa yang perlu kita sumbangkan dan lakukan, bukan asik menuding jari mencari silap mana-mana pihak.

5. Nikmat Allah yang manakah anda dustai? Nikmat keamanan? Allah bertanya berkali-kali, nikmat manakah yang engkau telah dustai, masya-Allah. Hari ini kita bebas melakukan solat, kita boleh menghadiri kelas-kelas agama dan ceramah dengan sewenang-wenangnya. Kita bebas bergerak dan menghirup keamanan yang Palestin tak pernah kecapi. Usahlah didustai nikmat ini. Jangan sampai kita menjadi seperti kaum Saba', mereka hidup berpecah belah dan berbalah-balahan. Akhirnya Allah menurunkan bala dan negara yang dahulunya makmur akhirnya ditimpa bala sehingga tenggelam seluruh negeri kaum Saba'. Bukalah al-Quran dan perhatikanlah bait-bait surah tersebut:

(Maka kemakmuran dan kemudahan itu menjadikan mereka sombong dan kufur) lalu berkata: "Wahai Tuhan kami, jauhkanlah jarak perjalanan kami (di antara sebuah bandar dengan yang lain)", dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri; lalu Kami jadikan (kisah perbuatan derhaka) mereka: buah mulut orang ramai, serta kami pecah belahkan mereka berkecai-kecai. Sesungguhnya kisah mereka yang tersebut mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur. (Saba' 34:19)

Ini hanya suara hati yang mungkin tak didengari dan tak dibaca. Tetapi nikmat yang manakah telah kau dustai?

No comments:

Post a Comment