Monday, 25 July 2011

Hari Minggu yang Penuh Makna

Gambar di ambil dari LangitIlahi.Com
Assalamualaikum wbt.

Hari ini hari Isnin. Sepatutnya hari Isnin disambut dengan ceria, ia adalah hari yang mulia, Rasulullah SAW lahir pada hari Isnin. Tetapi malangnya ia adalah hari yang mendung buat teman kerana hari ini ibu teman bergerak pulang ke kampung. Ibu teman melawat teman sejak hari Rabu yang lepas dan terasa masa berlalu dengan terlalu pantas. Tak sempat menunaikan 2 hajatnya. Teman seboleh-bolehnya ingin menunaikan apa sahaja hajat ibu teman. Jika mahu berjalan-jalan, teman akan cuba membawanya dan menggembirakannya.

Hari rabu yang lepas, pulang sahaja dari kerja, ibu sudah menunggu di rumah. Beliau kelihatan letih kerana memandu hampir 7 jam untuk ke sini. Berkali-kali teman meminta gar beliau menaiki bas sahaja supaya tidak penat memandu jauh, tetapi beliau berkeras ingin memandu sendiri kerana beliau puas dan seronok begitu. Pulang sahaja, kelihatan beraneka makanan kampung dan buah-buahan berlonggok di dapur. Ibu sedang menyusunnya sedikit demi sedikit ke dalam peti ais. Hidangan makan malam kelihatan sungguh enak, ikan keli goreng, ikan keli masak tumis cili api, daging kicap dan sayur-sayuran, wah, ia sungguh menyelerakan. Apabila sahabat teman tiba sahaja di rumah pukul 7 malam, terus kami menyental makanan tersebut. Malam itu, ibu teman kepenatan, seawal pukul 10 malam, kami semua masuk tidur.

Pagi-pagi selepas Subuh, sebelum bertolak ke tempat kerja, teman memasak sarapan. Ibu masih kelihatan penat, jelas, umur 55 bukan lagi usia penuh tenaga. Teman pergi kerja seperti biasa tetapi dalam diam memohon cuti untuk keesokan hari agar dapat meluangkan masa buat ibu tercinta. Pulang dari kerja, ibu sudah menghidangkan masakannya. Memang sedap, ia benar-benar berbeza dari air tangan sendiri. Kami makan dengan banyaknya. Malam itu kami tidak ke mana-mana. Yang pastinya, rumah kami bersih kerana ibu menjalankan operasi BERSIHnya di rumah teman. Pokok-pokok yang kami tanam di belakang rumah kelihatan disusun semula, rumput-rumput 'jahat' telah dibuang, bahagian belakang rumah memang 'clear' dikerjakan ibu, kasihan ibu.

Hari Jumaat yang sungguh menenangkan. Bercuti bersama ibu tercinta benar-benar menyamankan. Sahabat teman kelihatan cemburu melihat teman bersenang lenang di pagi Jumaat. Pagi itu teman dan ibu teman menyambung operasi berkebun di belakang rumah. Pokok pandan, nenas, dan kunyit ditanam. Ibu mengajar cara membuat baja organik buatan sendiri, ia sangat mudah. Kami membakar sampah dan membersihkan bahagian belakang rumah sehingga pukul 10 pagi. Ia agak memenatkan. Lepas Zuhur, teman membawa ibu teman ke kedai mamak yang agak terkenal dan kami makan tengah hari di situ. Kemudian teman membawa ibu ke ladang arnab milik kawan baik teman dan kemudian membeli durian kampung di tepi jalan. Waktu Asar, kami pulang ke rumah untuk memasak. Sahabat teman pulang sahaja, kami terus makan malam bersama. Ikan masin yang ibu bawa dari Utara sangat menyelerakan, rasanya sungguh berbeza dari ikan masin selatan. Kemudian kami cuci mulut dengan durian, sebelum makan tadi pun kami sudah buka selera dengan durian. Selepas solat Magrib, kami membawa ibu berjalan-jalan di pasar malam, ibu suka pasar malam. Teman belikan buku tajwid yang beliau mahu. Kami membeli keperluan masakan untuk dibawa berkelah esok hari. Kemudian dalam perjalan pulang ke rumah, teman singgah ke rumah kawan baik teman dan mengambilnya. Beliau akan tidur di rumah teman dan turut serta dengan aktiviti hari minggu kami.

Pagi Sabtu, kami bangun awal pagi. Ibu bangun lebih awal dan memasak rendang ayam, nasi dan mee goreng. Teman pula membuat apam nasi tetapi malangnya, tidak menjadi. :-P. Kemudian sahabat-sahabat teman menyiapkan barang-barang ke dalam bonet kereta. Kami bertolak pukul 7.30 pagi. Perjalanan ke pantai tersebut mengambil masa selama 1 jam setengah. Teman sempat bersolat dhuha di petronas semasa dalam perjalanan. Kami tiba pada pukul 9 pagi dan matahari sudah naik. Sebelum terjun ke dalam air, kami membentang tikar dan bersarapan dengan enaknya sambil melihat pemandangan yang sangat cantik. Kemudian kami mandi laut sehingga pukul 1.30pm. Kami mandi dan pulang pada pukul 2pm dan bersolat Zuhur di hentian R&R. Dalam perjalan pulang, teman singgah di sebuah restoran yang agak terkenal dengan nasi ayam penyet. Kemudian kami sampai di rumah pada pukul 5pm. Penat tapi menyeronokkan. Kami tidak ke mana-mana lagi selepas itu. Ibu kelihatan sangat penat dan tidur sangat awal.

Ahad pagi, kami bersarapan bihun goreng. Pukul 11am, ibu meminta untuk mencari saudaranya di alamat yang telah diberi. Kami membawanya mencari alamat tersebut tapi tak jumpa setelah 2 jam mencari. Kemudian kami singgah di pejabat salah seorang kenalan kami yang merupakan kontraktor berjaya di situ. Pejabatnya sangat indah dan hiasan dalamannya serba hijau dan sangat menarik. Setelah berbual-bual, kami pulang semula kerumah dan sempat menghantar sahabat teman ke rumahnya. Petang itu kami tidak ke mana-mana. Ibu teringin nak pergi ke sebuah lagi tempat tetapi tak dapat dipenuhi kerana masa terlalu suntuk dan kami semua sudah kepenatan.

Pagi ini, teman terpaksa bekerja seperti biasa sementara ibu pula akan bertolak pulang ke kampung. Hati terasa sangat sayu dan sedikit sesal kerana tak dapat melaksanakan kesemua keinginan ibu, tetapi teman berazam akan cuba juga melaksana segala kemahuannya jika berpeluang bertemu lagi. Hari raya kali ini semoga dapat beraya bersama dengan penuh mahabbah fillah.

Terima kasih Allah atas nikmat yang tak terhingga ini. Terima kasih yang tak terhingga. Semoga Allah meredhai teman dan ibu teman dan sahabat handai teman.

No comments:

Post a Comment