Assalamualaikum wbt,
Walaupun pengunjung blog ini tak semeriah LangitIlahi.Com, tetapi atas keizinan yang sering dikepilkan disetiap karya blog ini, maka teman mengambil kesempatan itu untuk berkongsi karya ini. Walaupun penulisnya iaitu Hilal Asyraf berkata bahawa beliau tidak berapa gemar karya ini tetapi teman kira ia adalah karya hebat. Ia penuh dan sarat dengan pengajaran tentang persahabatan. Walaupun cerita-cerita Islami tidak menggambarkan masyarakat remaja Malaysia keseluruhannya, tetapi kisah-kisah Islami ini memang berlaku dalam masyarakat Islam yang menjadikan Islam sebagai asas kehidupan. Mengapa karya ini dipilih untuk berada di blog yang 'biasa-biasa' ini sahaja adalah kerana kisah ini adalah kisah teman dan temanlah sahabat gelap itu, biarlah teman mengaku ya. Bukanlah untuk mengaibkan diri sendiri tetapi untuk berkongsi pengajaran tentang 'mencintai seseorang kerana Allah'. Teman tak pandai berkarya seperti saudara Hilal, teringin juga untuk memahat kenangan dalam bentuk penulisan tetapi dek kerana cetek ilmu dan kurang kreatif, maka ia tak terlaksana. Namun semoga Allah membuka peluang agar diri ini dapat melaksanakan apa yang teman pendam selama ini. Yang penting, niat kena betul. Buat sesuatu bukan kerana inginkan penghargaan manusia, tetapi kerana ingin mencapai redha Allah (terima kasih Prof.Dr. Muhaya atas pengajaran ini). Buat saudara Hilal, terima kasih atas sumbangan karya-karya Islami saudara, ia adalah panduan cara hidup Islam yang agung. Semoga Allah merahmati anda dan rakan-rakan seperjuangan anda. Kepada semua, marilah kita nikmati karya indah ini. Semoga menjadi tauladan buat kita semua.
______________________________________________
Sahabat,
Aku bina hubungan ini atas keimanan,
Tetapi jangan sesekali kau lupa
Bahawa aku hanyalah insan.
______________________________________________
Pagi itu indah dengan mentari yang dipeluk awan. Redup dan menawan. Angin sepoi-sepoi bahasa menambah kesempurnaan suasana. Ditambah teh panas yang menyelerakan, cukup membawa diri ke dalam ruang kerehatan.
Seronok. Dia menghayati suasana itu di atas kerusi malas di perkarangan beranda rumah sewa.
“Ai , melunjur kaki nampak?” Dan suara itu menarik kepalanya untuk mendongak.
Seorang lelaki, berbaju tanpa lengan, sedang mencekak sebelah pinggang, dengan tangan kanan memegang cawan. Luqmanul Hakim.
Dia diam sahaja. Tidak membalas bicara Luqman. Kembali melepaskan pandangan keluar.
“Hari tak buat apa-apa?” Suara Luqman menyapa gegendang.
Acuh tak acuh, sekadar menggeleng.
“Baiklah, aku nak pergi basuh pinggan mangkuk di dapur dan kemas rumah hari ini.”
Diam.
Dan beberapa saat kemudian, dia perasan Luqman tiada lagi di sisinya. Perlahan-lahan dia memusingkan tubuh memandang arah belakang kerusi malas. Kelibat Luqman masuk ke dapur dan meletakkan cawan dapat diperhatikan melalui celahan pintu dapur yang terkuak.
Dia kembali berbaring tenang, menghirup teh panas.
Teh panas buatan tangan Luqmanul Hakim.
******
“Apalah Azizi tu, kata budak sekolah agama.” Kedengaran Bunyamin bersuara. Nada tidak puas hati.
“Ha’ah. Boleh pula bercouple. Ish ish.” Umair membalas.
“Aku tak berapa nak salahkan Elina tau. Dia bukan budak sekolah agama. Tapi Azizi tu, patut dah tahu mana halal haram. Kita semua ingat dia baik.” Razak menambah.
Dan bicara itu melewati gegendang telinganya.
Luqmanul Hakim menghela nafas. Tanpa sedikit pun rasa gentar, dia bangun dan merapati tiga sekawan yang sedang duduk satu bangku di dalam dewan kuliah itu.
“Assalamu’alaikum.”
“Waalaikumussalam.” Tiga orang itu menjawab serentak.
“Boleh tak aku nak tegur sikit?”
Tiga sekawan diam.
“Kita ni, kalau nampak seseorang itu terjun dalam neraka, yang patut kita buat adalah tarik tangan dia. Bukan makin hentak dia biar jatuh makin dalam.” Luqmanul Hakim berbicara perlahan.
Tiga sekawan seakan tersentak.
“Kita patut bantu dia. Cakap-cakap belakang ini, tidak membantu. Kamu bertiga ni pernah pergi jumpa dengan dia dan cakap fasal benda ni? Nasihat dia?”
Sunyi.
“Bayangkan kalau kamu bertiga dalam posisi dia, dan dengar pula orang berbicara macam kamu bertiga bicarakan. Macam mana?”
Terasa.
Luqmanul Hakim menarik nafas dalam. “Jadi, sama-sama kita muhasabah. Mana tahu dia ada masalah. Sebab itu jadi begitu.”
“Nul, kau masih lagi pertahankan dia?” Bunyamin akhirnya bersuara.
Kening Luqmanul Hakim terangkat. “Dia sahabat aku. Dia terjun ke dalam neraka pun, aku akan terjun sekali untuk selamatkan dia.”
“Nul, kau memanglah. Tapi dia tu anggap kau sebagai sahabat dia ke?” Umair angkat kening sama. “Kau tahu ke macam mana dia pandang kau?”
Luqmanul Hakim diam.
“Tahu tak dia pernah kata pada orang lain, yang dia meluat dengan kau? Tahu tak yang dia pernah kata pada orang lain, bahawa dia tak perlu kisah kekemasan rumah sebab kau ada? Kau tahu tak, yang kau tu tak lebih macam alat sahaja pada dia.” Bunyamin bersuara lagi.
Razak bangun. Menepuk bahu Luqmanul Hakim. “Kau pada kami, bodoh.”
Dahi Luqmanul Hakim berkerut seribu.
Seakan wujud pisau yang menikam kalbu, dan dia menahan kesakitannya.
******
Malam itu tenang. Angin menerobos masuk melalui tingkap, mengibarkan langsir dengan kibaran yang menyenangkan. Bilik terasa sedikit nyaman. Namun tidak hatinya.
Dia menarikan jemarinya di atas meja. Skrin komputer dipandang. Tetikus digerakkan, dan jari telunjuk melakukan klik beberapa kali terhadap beberapa link di internet.
Itu adalah blog-blog rakan seuniversitinya, baik lelaki mahupun perempuan. Isu terhangat sekarang adalah dia. Kini dia menjadi topik bualan yang hangat, dan dia amat tidak disenangi.
Nafas dihela lemah. Tertekan.
Tok tok tok. Biliknya diketuk.
“Masuk.” Dia kenal siapa yang mengetuk.
“Selamat Hari Lahir Azizi!” Dan Luqmanul Hakim terus menyuakan sebuah kotak.
Matanya membesar. Ah, macam mana dia boleh terlupa hari ini adalah hari lahirnya. Spontan senyumannya meleret. Terus diambil kotak itu.
“Ini boleh buka sekarang?” Dia angkat kening sebelah, memandang Luqmanul Hakim.
Luqmanul Hakim mengangguk, sambil melabuhkan punggungnya di atas lantai.
Perlahan-lahan dia membuka kotak tersebut, dan melihat sebuah jam tangan. Kemudian dia melihat kembali kepada Luqmanul Hakim di hadapannya.
“Suka?” Suara Luqmanul Hakim memotong bicara yang hendak dikeluarkannya.
Dia mengangguk. “Mahal ni Nul.”
“Come on, kau kan sahabat aku.”
Akhirnya, dia hanya mampu tersenyum. Perlahan-lahan matanya melirik kepada skrin komputer. Kemudian kembali kepada Luqmanul Hakim di hadapannya.
“Nul, kau sebenarnya tahu kan apa yang orang selalu sembangkan hari ini.”
Luqmanul Hakim diam.
“Dan kau tahu kan yang semua itu betul?”
Masih diam.
“Mengapa kau masih macam sekarang?”
“Sebab kau sahabat aku.”
“Itu sahaja?”
“Itu sahaja.” Perlahan-lahan Luqmanul Hakim bangun dan berdiri di hadapannya.
“Apa namanya sahabat, kalau tendang sahabat dia masuk neraka. Sahabat sepatutnya hulurkan tangan agar sahabatnya masuk ke dalam syurga.”
Dan dia terdiam begitu sahaja.
Tidak lama kemudian, selepas mendoakannya, Luqmanul Hakim keluar dari bilik meninggalkan dia berseorangan. Dia memandang jam tangan itu. Perasan ada ukiran tulisan.
Nul+Azizi. Ukhuwwahfillah.
Keluhan nafas keluar.
******
Memang di dalam hatinya, dia menyimpan segala rasa. Namun rasa itu dibiarkan berlalu.
Berlalu? Tidak sebenarnya. Walau macam mana pun dia ingin membiarkan semua itu berlalu, tetap semua itu ada yang melekat di dalam hatinya. Ya, bukan mudah mendidik hati. Dia manusia, bukan malaikat sebenarnya.
Biliknya tidak pernah dikunjungi Azizi. Khabarnya tidak pernah ditanya. Dia adalah yang sering mengvakum rumah dan mengemasnya, manakala Azizi adalah yang jenis akan membuat sepahnya. Pinggan mangkuk dia yang basuh, dan Azizi adalah yang hanya akan meninggalkannya. Sampah di tong sampah, dia yang membuangnya. Kalau diharapkan Azizi, mungkin hingga sampah termuntah keluar dari tong pun tidak dikisahkannya.
Kalau ditegur, Azizi akan melenting dan memboikotnya untuk jangka masa yang lama. Hatta menampal pesanan agar pinggan sendiri basuh sendiri pun, Azizi akan bermasam muka dengannya.
Hari lahirnya juga tidak pernah disambut. Masalahnya tidak pernah ditanya. Bila berjauhan, kalau bukan dia yang menghubungi, maka Azizi tidak akan dihubunginya. Kalau ada sesuatu yang berlaku kepada Azizi, dia akan pergi mempertahankannya, tetapi Azizi tidak pernah pula mempertahankannya jika sesuatu berlaku kepadanya.
Macam kes salah faham antara dia dengan masyarakat yang menyangka dia ada hubungan dengan perempuan yang sering bermesyuarat dengannya. Azizi tahu keadaan sebenar, tetapi tidak pernah berani menyokong dia ketika itu. Perkara itu selesai pun kerana akhirnya kebenaran terzahir dengan sendirinya.
Semua itu memberikan kesan di dalam hatinya.
“Sampai bila hendak begini?” Dia tertanya-tanya.
Dan sekarang, dia mendengar macam-macam lagi cerita. Dan cerita itu semua ada buktinya. Azizi memang tidak menghargainya, dan dia kelihatan seperti orang bodoh sahaja dengannya. Jam pemberiannya itu tidak pun dipakai. Bahkan, layanan Azizi terhadapnya masih sama seperti biasa. Ketika ini pula, masalah Azizi didengarinya semakin berat. Sudah berpegang tangan dengarnya.
Dia sendiri sempat melihat gambar mereka berdua-duaan yang menjadi wallpaper desktop Azizi sekarang, sebelum Azizi sempat menutupnya.
Hari ini, di atas sejadah, fikiran itu membuak-buak bertarung.
Apakah patut diteruskan?
******
Satu perasaan aneh menyelubungi. Tiada lagi teh panas di waktu pagi. Juga tiada lagi ketukan pintu bilik. Sampah juga sudah termuntah-muntah keluar dari tong, tidak kemas seperti biasa. Pinggan mangkuk sudah bertimbun di sinki, manakala ruang tamu berserabut.
Dia menggaru kepala. Mana Luqmanul Hakim?
Akhirnya jejak kakinya membawa ke hadapan pintu bilik lelaki itu. Tempat yang tidak pernah dijejaki sebelum ini. Selama tiga tahun mereka belajar bersama, ini pertama kali dia berdiri di hadapan pintu Luqmanul Hakim.
Pintu diketuk. Dia tahu Luqmanul Hakim ada di dalam bilik berdasarkan kasut yang masih wujud di muka pintu rumah.
Pintu dibuka. Luqmanul Hakim, kasual dengan lengan panjang, bersama seluar jeans biru yang kemas, kelihatan separa terkejut dengan kehadirannya.
“Azizi?”
Jiwanya macam direnjat dengan reaksi Luqmanul Hakim. Namun ketika itu, dia juga sedar bahawa memang patut Luqmanul Hakim terkejut sedemikian. Dia tidak pernah menjejakkan kakinya ke sini selama ini.
“Ada apa?” Nada hairan keluar daripada suara Luqmanul Hakim.
“Em…” Ada apa sebenarnya? Dia juga tidak pasti.
“Kau dah tak kemas rumah lagi ke? Kotorlah.” Dan itu yang keluar.
“Oh.” Luqmanul Hakim angkat kedua-dua kening. Riak wajah terkejut dengan kata-kata itu. Sempat Azizi memerhatikan bilik Luqmanul Hakim. Kemas. Bersih. Teratur.
“Aku dah tak mahu dah kemas rumah boleh? Aku basuh pinggan aku sendiri, dan aku pastikan bilik aku kemas. Cukuplah.” Luqmanul Hakim berbicara tenang. Seakan-akan perkara itu memang telah nekad di dalam hatinya.
Dia sedikit terkesan dengan kata-kata itu. Luqmanul Hakim. Seorang yang dikenali sebagai penyabar, baik hati, sering mengambil berat, tiba-tiba berubah menjadi seorang yang sangat dingin.
“Kau ni kenapa?” Akhirnya suaranya meninggi. Tercetus kerana merasakan Luqmanul Hakim berubah disebabkan sikapnya. Dia merasakan, itu tidak patut kerana sekiranya Luqmanul Hakim ikhlas bersahabat dengannya kerana Allah, lelaki itu tidak sepatutnya berkelakuan sebegini.
“Em?” Luqmanul Hakim buat selamba. Riak wajahnya sedikit pun tidak berubah.
“Kau selama ini asyik cakap bahawa persahabatan kerana Allah itu tidak harapkan pembalasan. Persahabatan kerana Allah itu perlukan pengorbanan. Persahabatan kerana Allah itu memang banyak cabaran dan dugaan. Sekarang kenapa kau buat perangai macam ini?” Dia tidak dapat menahan gelegak hatinya. Suaranya tinggi menggegak gempita.
Terus dicekak kolar baju Luqmanul Hakim.
“Kaukan sahabat aku, kenapa buat macam ini?”
Luqmanul Hakim masih begitu. Wajah tidak beriak. Perlahan-lahan kedua-dua tangan lelaki itu naik mencengkam kedua-dua pergelangan tangannya. Mata lembut tadi, bertukar menjadi tajam seakan ingin menembusi kepalanya. Kedua-dua tangannya disisihkan dari kolar dan dipegang kuat.
“Azizi, apa yang kau tahu berkenaan persahabatan?”
Diam.
“Kau fikir aku ini apa? Orang gaji? Alat? Sampah?” Dan pertama kali Luqmanul Hakim kedengaran meninggikan suaranya. Tegak bulu romanya melihat wajah Luqmanul Hakim ketika ini.
Tetapi egonya mengatasi.
“Engkau hipokrit Nul. Hipokrit!” Terus telunjuknya menujah dada Luqmanul Hakim. Terus tangannya dicengkam kuat oleh Luqmanul Hakim sekali lagi. Pergerakannya terhenti.
“Hei, kau ingat aku apa hah? Malaikat? Robot? Aku manusia. Ada hati, ada perasaan!”
“Aku manusia juga. Buat kesilapan. Kau kenalah sabar dengan aku!” Dia mempertahankan dirinya.
Kini dia melihat Luqmanul Hakim mengetap gigi. Tangannya dilepaskan lelaki itu, dan tubuhnya ditolak menjauhi pintu.
“Kau sahabat aku, itu ada kebenarannya. Aku sahabat kau? Aku rasa itu kau kena tengok semula. Aku tak peduli kau panggil aku hipokrit atau apa. Kau memang tak pernah memahami aku pun. Kau nak aku kira juga kau manusia? Aku fikir selama ini aku sudah cukup lama kira kau sebagai manusia. Tetapi engkau, engkau pernah layan aku macam manusia? Tak pernah!” Dan suara itu ibarat petir.
Dia tergamam. Luqmanul Hakim benar-benar kelihatan seperti raksasa yang amat menakutkan. Wajah itu, suara itu, benar-benar dia tidak menjangka Luqmanul Hakim yang sentiasa tersenyum, merendah diri, penyabar, akan berdiri di hadapannya sebegini.
“Aku ada ramai sahabat, dan tidak rasa kekurangan dengan kehilangan kau seorang.”
Dan pintu ditutup.
Seakan-akan menzahirkan pintu hati Luqmanul Hakim yang telah terkunci rapat.
Dia terjelepuk jatuh. Suasana jadi sunyi sepi. Perlahan-lahan dia memandang ke arah ruang tamu yang bersepah. Bau busuk dari dapur menusuk hidung. Dan memori-memori bagaimana dia selama ini melayan Luqmanul Hakim menerjah.
Akhirnya air mata jatuh berjuraian.
Tertekan.
*******
Selepas hari hitam itu, hidup Azizi hampir sahaja tidak keruan. Pergantungan terakhirnya di kalangan manusia pergi meninggalkan. Luqmanul Hakim memang tidak pernah menyapanya semenjak hari itu. Dia seakan-akan dibiarkan begitu.
Seakan-akan ada bicara untuk Azizi secara senyap oleh Luqmanul Hakim:
“Selama ini aku hulurkan tangan dan kau tidak menyambutnya, maka hari ini tiada lagi huluran tanganku untukmu.”
Awal-awalnya, kerana marahkan perubahan Luqmanul Hakim, Azizi pergi menyebar cerita itu, menyatakan betapa hipokritnya Luqmanul Hakim dan sebagainya. Namun, amat mengejutkan Azizi apabila masyarakat memarahinya semula. Rakan-rakan sekulihanya mengherdiknya sebaik sahaja cerita itu dibuka.
“Hoi, kau ingat kami semua ni buta ke? Kami selama ini punyalah nampak macam mana Nul tu sayang dekat kau. Engkau tu yang kami nampak macam kurang ajar layan dia selama ini macam itu. Kami tak terkejut la kalau dia jadi macam itu pun. Dia bukan hipokrit. Dia cuma tersedar sahaja yang dia dah banyak bazir masa dengan kau!” Tempikan Bunyamin itu masih bergegar pada gegendangnya.
Dia benar-benar keseorangan.
Seakan tersedar dari mimpi yang panjang.
“Lain kali, hargai orang yang nak hargai orang macam kau ni. Tak sedar diri.” Razak bersuara keras juga ketika itu.
Azizi benar-benar tersepit.
Kini sebulan telah berlalu, dan sebulan juga dia begitu. Pelajarannya makin terumbang-ambing. Hidupnya juga seperti retak menanti belah. Hubungannya dengan teman wanitanya juga entah ke mana. Jauh dari sudut hatinya, dia tahu dia telah melakukan kesalahan yang besar. Dan bila Luqmanul Hakim meninggalkannya, dia sedar dia semakin terperusuk ke gaung yang lebih dalam.
Dia biasa ingin manusia memahaminya. Tetapi dia tidak pernah menghargai manusia yang memahaminya. Dia tidak menghargai sahabatnya yang terbaik itu. Teman wanitanya bukan orang yang memahaminya. Dia diminati dan dikasihi perempuan itu hanya kerana dia kacak dan berharta. Sekadar tempat melempiaskan nafsu semata-mata.
Dub.
Bahunya berlanggar dengan seseorang. Azizi tidak menghiraukan. Terus bergerak.
“Hoi!” Satu teriakan kedengaran. Baru sahaja dia hendak menoleh, satu tumbukan hinggap pada wajah. Tersembur darah dari mulutnya.
Tiga orang lelaki bertubuh besar dan tinggi, sedang berdiri di hadapannya dalam keadaan amarah. Azizi mengesat bibirnya. Dia kenal tiga lelaki itu.
“Ah, Azizi Wajdi rupanya. Romeo terkenal di universiti kita ini.” Tuan punya suara itu mengepal penumbuk dan menumbuk-numbuk telapak tangannya.
“Faris, aku memang berasap betul dengan mamat ni.” Seorang lagi temannya bersuara. Muka tegang tanda tidak puas hati kepada Azizi.
“Betul tu Malik. Sumpah aku benci dengan dia ni. Budak tak sedar diri.” Dan pemilik suara ini paling dikenali Azizi. Yusman. Bekas teman lelaki kepada teman wanitanya kini.
“Ajar dia!” Faris bersuara. Terus dipukulnya Azizi di situ juga. Tindakan itu mendapat perhatian ramai. Pelajar-pelajar yang lalu lalang di situ mula berkumpul. Tetapi malang buat Azizi, tiada siapa yang menunjukkan wajah belas kepadanya.
Semua seakan-akan berkata di dalam hati: “Inilah balasannya untuk orang macam engkau.”
Malah ada yang mengeji Azizi terang-terangan. “Rasakan!”, “Padan muka!”, dan sebagainya.
Rata-rata hari ini, di kala ini, orang melihatnya seakan-akan seperti manusia yang sedang menerima pembalasan Tuhan.
“Hoi!” Satu suara menyabung ibarat halilintar, seakan-akan membelah masyarakat yang bekerumun. Satu lorong seakan-akan terbentuk, menuju kepada pemilik jeritan.
Faris, Malik dan Yusman memandang. Azizi yang sudah lebam-lebam dan berdarah mengangkat wajahnya sedikit dari pembaringan.
“Hentikan!” Luqmanul Hakim melangkah.
“Nul. Biarlah kami uruskan sahaja dia ini.” Faris bersuara garang.
Luqmanul Hakim tidak mempedulikan. Dia terus menduduk dan membangku Azizi.
“Kau okay tak ni?” Pipi sahabatnya itu ditepuk-tepuk lembut. Takut sahabatnya telah pengsan.
Dan ketika ini air mata Azizi meleleh.
“Maafkan aku Nul.”
Luqmanul Hakim diam sahaja. Diletakkan Azizi perlahan-lahan. Kemudian dia berdiri menghadap tiga sekawan.
“Sudi lepaskan dia?” Luqmanul Hakim mendepangkan tangan.
“Gila ke Nul? Dia ni layan kau macam sampah je selama ni.” Faris meninggi suara.
“Kami dengar pun, kau dah tinggalkan dia. Biar kami lanyak sahaja dia ni.” Malik seperti Faris.
“Ha’ah!” Yusman berapi.
“Kalau macam itu, langkah mayat aku dulu.” Luqmanul Hakim menajamkan pandangan.
Dan bulu roma tiga sekawan menegak. Masing-masing kaku dengan keyakinan Luqmanul Hakim.
“Kami tak mahu gaduh dengan kau Nul.” Malik bersuara gentar.
“Jadi lepaskan dia.”
Akhirnya tiga sekawan menurunkan penumbuk mereka. Terus berpaling dan bergerak menjauhi.
Suasana jadi riuh dengan bisik-bisik manusia yang ada. Diiringi dengan gerak langkah mereka menjauhi tempat itu. Ketika ini, Bunyamin, Razak dan Umair muncul. Membantu Luqmanul Hakim mengangkat Azizi.
“Hei, kau memang beruntung ada Nul.” Bunyamin menjentik sedikit dahi Azizi.
Azizi diam sahaja tidak membalas apa-apa.
Mereka bergerak perlahan-lahan menuju ke rumah Azizi dan Luqmanul Hakim.
******
Hujung minggu. Rumah itu tenang. Ruang tamu kelihatan kemas. Kini kedengaran bunyi dari arah dapur. Bunyi seseorang sedang membasuh pinggan mangkuk.
Luqmanul Hakim di situ. Khusyuk dengan Mp3 yang disumbat ke telinga.
Tiba-tiba dia terasa akan kewujudan seseorang di sisinya. Apatah lagi apabila orang itu mengambil pinggan dan berus basuh, kemudian membantunya sama.
Luqmanul Hakim menoleh ke kirinya.
Azizi yang sedang membantunya itu. Dia meleret senyum.
“Nul, terima kasih sebab selamatkan aku. Aku minta maaf atas sikap aku selama ini. Aku bukan sahabat yang baik. Aku memang bukan sahabat kau yang baik. Maaf.” Nada bersalah.
Mereka tidak berbicara pun beberapa hari ini sementara tubuh Azizi masih sakit. Tetapi Luqmanul Hakim tetap menjaganya. Lelaki itu jugalah yang membersihkan rumah seperti sediakala. Hari ini, baru mereka berbicara bersama.
Luqmanul Hakim menggeleng.
“Aku pun minta maaf juga.”
“Eh? Untuk apa kau minta maaf?”
“Aku terjatuh juga. Aku fikir nak lepaskan kau sahaja. Aku tak patut rasa macam itu. Patutnya, aku kekal tabah duduk di sebelah kau.”
Azizi terharu mendengar bicara tulus Luqmanul Hakim itu.
“Kau manusia. Macam aku juga. Sekurang-kurangnya, kemanusiaan kau teruji. Aku mempergunakan kemanusiaan aku sebagai alasan.” Azizi menghela nafas, sambi tangan mencucui pinggan yang terakhir.
“Jangan tinggalkan aku lagi ya? Aku janji aku usaha sungguh-sungguh selepas ini.” Azizi berbicara jujur. Benar-benar permintaan itu daripada kalbunya. Pinggan yang siap dibasuh itu diletakkan. Wajah Luqmanul Hakim ditatap.
“InsyaAllah.”
Dan dalam keadaan tangan masih basah, Azizi terus mendakap Luqmanul Hakim.
Bersama azam baru.
Untuk menjadi seorang sahabat yang sejati, dan hamba yang terbaik buat Ilahi. Bukan seorang sahabat gelap, yang sekadar mengorbankan kebaikan sahabatnya buat diri.
No comments:
Post a Comment