Monday, 11 July 2011

Mampukah 2 Bulan Ibadah Mampu Melebur Dosa 13 Tahun?

Assalamualaikum wbt...

Hati rasa kosong....solat Zuhur dirasakan seperti tidak khusyuk. Teman sedih kerana tak terasa nikmat solat Zuhur. Tertanya-tanya adakah teman terlepas dari rahmat Allah? Sakit yang masih berlanjutan sehingga ke hari ini sangat tidak selesa. Setiap kali menarik nafas, seperti ada sesuatu yang merentap dada, sakit. Tetapi dalam diam terasa seperti tenang bila memikirkan bahawa teman redha jika ini caranya Allah ingin meleraikan dosa-dosa yang menggunung. Teman mula 'membuat perangai' semasa berumur 17tahun. Teman kembali tersedar dari lena diulit dosa-dosa kira-kira bulan April yang lepas. Rupanya, 13 tahun bergelumang dosa, amalan yang entah diterima atau tidak dalam 2 bulan lebih, mungkinkah dapat meleburkan dosa lebih 13 tahun lamanya mengumpul bergunung-gunung dosa. Dosa-dosa besar yang dilakukan memang terlalu banyak, dosa kecil usah dikira, kerana memang tak terkira. Teman susah hati memikirkan amalan yang terlalu ciput. Teman solat 5 waktu, cuba melakukan sekhusyuk mungkin, dan teman cuba melakukan solat sunat di setiap waktu bagi menampung kekurangan solat fardhu. Ia cuba dilakukan secara istiqamah. Solat dhuha dan qiyamullail juga teman amalkan setiap hari sejak 2 bulan ini. Tetapi 13 tahun mengumpul dosa, mampukah amalan 2 bulan melebur segala dosa? Ya Allah, sungguhpun keampunanMu luas, bukanlah aku tidak yakin denganMu, tetapi aku tidak yakin dengan diriku sendiri, aku rasa aku tak layak ya Allah....

Kalau ada yang terbaca entri catatan peribadi teman ini, jika usia anda baru awal 20-an, cepat-cepatlah berhenti dari segala maksiat. Jika tak bertaubat sekarang, penyesalan yang bakal ditanggung, tidak tertahan rasanya. Ingatlah 5 sebelum 5. Teman menyesal kerana tidak menghargai 5 sebelum 5. Semoga Allah memberi teman peluang sekali lagi untuk melaksanakan kewajipan teman sebagai hambaNya, dan melutut dan sujud sebagai tanda syukur atas nikmat dan kasih sayangNya yang luas dan Maha Hebat itu.

No comments:

Post a Comment