Saturday, 9 July 2011

Sibuk dan Sakit...Ujian Allah

Assalamualaikum wbt dan salam Sabtu buat semua,

Hari ini hari Sabtu, ia hari cuti yang ditunggu-tunggu. Sepanjang minggu teman sibuk dengan projek pihak syarikat bagi menukar sistem yang lebih global. Teman terlibat secara langsung dengan projek mega ini walaupun cuba disingkirkan pihak-pihak tertentu. Pada mulanya teman agak kecewa dengan apa yang berlaku, beberapa politik kotor dan menjatuhkan orang lain. Tetapi apabila menyedari tentang qadha' dan qadar Allah, dan Allah tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia, teman akhirnya akur dan mula nampak akan hikmah-hikmah di sebalik segala yang berlaku. Sesungguhnya apa yang Allah telah rancang untuk hamba-hambaNya adalah yang terbaik buat hambaNya walaupun ia pahit untuk ditelan. Disebalik kepahitan, ada cahaya dan kemanisan, ia adalah nikmat buat mereka yang bertaqwa. Ya Allah, aku panjatkan kesyukuran atas segala nikmatMu di lembaran tanpa sempadan ini, agar menjadi ibrah dan pengajaran kepada sesiapa yang membaca entri ini.

Walaupun tersingkir dari memgang jawatan penting ini, tetapi kuasa Allah mengatasi segalanya. Atas dasar cintakan ilmu, entah mengapa teman masih diperlukan untuk mengikuti perjalanan projek ini secara langsung, alhamdulillah. Ia adalah kuasa Allah Yang Maha Hebat.

Namun kesibukan sepanjang minggu adalah cabaran dan ujian hebat Allah bagi menguji iman hambaNya. Alhamdulillah, teman cuba atasi kesibukan itu agar masih melaksanakan ibadah-ibadah wajib dan ibadah sunat dengan istiqamah, cuma semalam sedikit teruji kerana kesibukan itu ditimpa pula dengan kesakitan.

Program bermula seawal 9 pagi. Kebiasaannya solat dhuha akan teman laksanakan pukul 8.45pagi, alhamdulillah, ia memberi peluang untuk teman melakukan ibadah sunat itu seperti biasa. Di dalam jadual tertulis satu program yang berlangsung dari pukul 1pm - 2pm. Ia adalah waktu Zuhur. Dan selalunya program yang diwartakan berlaku selama 1 jam akan berlanjutan menjadi 1.5 jam atau lebih dari itu, bermakna teman berkemungkinan hanya dapat melaksanakan solat zuhur agak lewat, iaitu sekitar pukul 2.30pm atau 3pm. Lalu teman panjatkan doa kepada Allah agar Allah membuka ruang waktu buat teman agar teman dapat melaksanakan solat tepat pada waktunya. Waktu tengahhari tiba, dan pelaksana program tiba-tiba terlewat untuk keluar makan tengah hari. Kenderaan yang membawa mereka untuk makan tengah hari bergerak lambat dan program terpaksa ditunda ke pukul 2pm. Alhamdulillah, Allah Maha Mendengar. Wahai manusia, pintalah kepadaNya, sesungguhNya dia Maha Mendengar.

Semalam, program dijadualkan pukul 2pm. Namun kawan-kawan teman mengajak untuk meraikan jamuan hari jadi salah seorang sahabat kami di sebuah pusat membeli belah yang jaraknya 15 minit dari tempat kerja. Sekali lagi, waktu solat teman teruji, Teman pulang dari menyambut parti tersebut sekitar jam 1.50pm. Tepan jam 1.50pm, teman tiba-tiba mengalami sakit dada yang sangat-sangat mencucuk dada ini setiap kali teman mengambil nafas dan setiap kali teman menundukkan kepala. Ia sangat-sangat tidak selesa, sangat sakit dan sangat menyesakkan. Namun teman terus juga ke surau, dengan waktu yang tinggal beberapa minit sahaj sebelum program bermula, ditambah dengan rasa sakit yang mencucuk dada, teman hanya mampu melakukan solat Zuhur dan tidak diikuti solat sunat kerana masa agak sempit. Bukan itu sahaja, ketika sujud, teman terasa sakit yang tak terhingga sehinggakan tidak dapat sujud lama dan solat menjadi tidak khusyuk kerana menahan sakit yang teramat sangat. Selama 2 bulan melakukan solat sunat Zuhur secara istiqamah, akhirnya teman tak dapat melakukannya pada kali ini akibat kesuntukan masa dan kesakitan yang teramat sangat. Ia pasti sesuatu yang Allah jadikan dengan mempunyai sebab-sebab tertentu. Namun teman tak dapat memikirkannya kerana kesibukan dan kesakitan.

Usai program pukul 4 lebih, teman terus ke klinik dan pembantu perubatan memberi ubat tahan sakit. Ketika waktu Asar, teman mohon pada Allah agar dapat melakukan ibadah dengan baik. Alhamdulillah, ketika sujud, ada kekurangan sakit. setelah selesai solat sakit itu datang kembali.

Alahmdulillah, teman tetap cuba mengekalkan ibadah-ibadah wajib dan sunat walaupun kesakitan. Ubat yang diberi tidak memberi apa-apa kesan hingga ke saat ini namun Allah benar-benar menolong ketika teman meminta. Iaitu ketika ibadah, teman memohon agar dapat melaksanakan dengan baik. Teman bangun untuk tahajud sedikit lewat iaitu pukul 5am. Sengaja teman tetapkan waktu agak lewat kerana teman mahu merehatkan dada yang kesakitan. Walaupun ketika bangun, badan terasa sakit sangat-sangat, anmun apabila mula berdiri untuk solat, sakit itu berkurangan. Alhamdulillah. Selepas Subuh, teman kembali ke katil untuk berehat dan tertidur sehingga pukul 10.30am. Inilah waktu tidur yang paling lama, bangun sahaja, terus sahaja melakukan solat sunat dhuha. Selesai solat dhuha, badan terasa sedikit selesa walaupun migrain pula yang menyerang. Perut pula taklah lapar sangat. Teman hanya memakan rumpai laut dan ia sangat-sangat mengenyangkan, alhamdulillah. Teman sebenarnya tak larat nak memasak kerana sakit dada dan migrain yang datang serentak.

Baiklah, coretan ini adalah bertujuan untuk menyampaikan dakwah walaupun sedikit. Dakwahnya ialah, kesibukan dan kesakitan tidak menjadi halangan untuk beribadah. Teman kira, pastinya ibadah lebih bermakna jika kita dapat melaksanakan walaupun ketika kita sakit. Allah Maha Melihat dan Dia Maha Mengetahui. Ingatlah Allah ketika senang dan susah, ketika sihat dan sakit dan ketika sibuk dan lapang.

No comments:

Post a Comment