Tuesday, 26 July 2011

Adakah Sama Orang Yang Beriman Dan Tidak Beriman?

Dahulu jiwa kacau mengenangkan kemahuan manusia yang pelik-pelik. Sebagai pekerja, kehendak ketua yang mengelirukan membuat hati gundah gulana. Kadangkala terasa diri tidak dihargai. Kadangkala sangka buruk menguasai minda. Walaupun tuduhan itu ada betulnya dengan beberapa bukti tetapi perasaan syak wasangka datang bertali arus, cuba menafsir tindak tanduk ketua yang kadangkala berkonspirasi dan berkomplot seolah-olah mahu membenamkan aku sebagai seorang yang berlainan agama dan bangsa darinya. Wajahnya kubenci, biliknya umpama neraka yang seboleh-bolehnya dielakkan daripada melaluinya. Suaranya ibarat bunyi yang menyakitkan telinga. Keputusan-keputusannya ibarat tembakan yang membunuh. Senyumannya kulihat sinis seolah-olah mentertawakan aku yang lemah tanpa kuasa. Dalam diri umpama ada bom yang tunggu masa untuk meledak. Begitulah hati yang dikawal syaitan, yang terhijab dari iman, jauh dari rahmat Allah.

Gambar dipetik dari LangitIlahi.Com

Syukur Allah limpahkan kasih sayangnya buat diri ini, hidayah yang indah hadiah dari Sang Pencipta buat hambaNya yang tak pernah bersyukur. Tersungkur aku dipintu rahmatNya lalu aku sedari aku manusia yang tak kenang dek untung. Aku manusia kufur, aku tak pernah melihat nikmat Allah yang begitu banyak. Akhirnya aku nampak cahaya, hatiku disimbah keimanan, datangnya seperti air sejuk yang menyirami hati yang gersang.

Hari ini aku diuji, tetapi dalam keadaan diri yang berbeza. Ketuaku menghampiri mejaku, lalu dicampaknya aku sekali lagi kerja yang menenggelamkan aku di arena yang asing. Jika aku manusia yang tak bersyukur, pasti sudah kukatakan dengan sombong, 'Ah! Ini kerja picisan! Layakkah aku untuk kerja yang sebegini?'. Hati ku berdebar apabila suara syaitan berbisik begitu. Wajahku terpinga-pinga, kalau dulu aku sudah melenting tetapi kali ini aku seolah-olah tersentak kerana di dalam hatiku seolah-olah ada dua suara yang sedang bertelagah. Suara syaitan mengatakan 'Ini kerja picisan untuk meminggirkan aku!', dan suara yang satu lagi berkata, 'syukurlah, ia bukan kerja susah, pasti hikmah besar sedang menanti,' lalu wajahku terpana di hadapan ketuaku kerana dua suara ini menerobos ke minda dan hatiku.

Aku angguk tanda setuju. Akalku menguasai emosiku. Seolah-olah ada satu suara, 'sabarlah, jangan diikut bisikan syaitan, beristighfarlah', lalu aku beristighfar di dalam hati. Tika suara syaitan makin galak, hatiku juga melaungkan istighfar sekuat mungkin. Selagi kata-kata syaitan itu muncul dibenakku, selagi itu hati terus beristighfar. Akhirnya aku tenang dan tersenyum. Aku redha dengan tugasan yang diberi. Imanku memberitahu, 'percayalah pada qadha' dan qadar Allah, semua ini adalah rancangan Allah dan ujian dariNya'. Lalu aku semakin tenang dan menerima dengan baik.

Begitulah fungsi iman. Iman perlu digilap dengan ibadah. Ia bertambah apabila ibadah diperhebat. Apabila iman semakin kukuh, mata hati menjadi tajam. Mata hati inilah yang memberitahu minda dan tubuh tentang batil atau baiknya sesuatu perlakuan atau kejadian di hadapan kita. Mata hati yang tajam mampu membuatkan anggota kita dan hati kita berbisik kepada yang empunya tubuh agar kembali berpaksikan Allah. Iman meletakkan Allah dan Rasul di dalam hati kita, lalu tindakan kita tumbuh segar dari hati yang diselubungi iman.

Pekerjaan, ia adalah ibadah apabila dilakukan kerana Allah. Bertanyalah pada diri sebelum melangkah ke tempat kerja, 'adakah aku bekerja untuk mendapatkan penghargaan manusia atau mencari redha Allah?' Jika jawapannya penghargaan manusia, itu bukan jawapan iman. Dengan jawapan sebegini, kita akan sentiasa dihantui kekesalan, marah kerana merasa diri tidak dihargai dan pelbagai tanggapan negatif mudah bersarang di minda. Tetapi jika jawapannya adalah untuk mencari redha Allah, pasti kita melakukan pekerjaan itu dengan tenang dan melakukan yang terbaik dalam pekerjaan kita tanpa mengharapkan apa-apa melainkan hanya redha Allah. Pastinya hati akan menjadi lebih tenang.

No comments:

Post a Comment