Assalamualaikum wbt dan salam Syawal buat semua,
Lama teman tak jenguk blog ini, almaklumlah, raya. Ingat tak sebelum ini teman ceritakan serba sedikit apa yang bakal berlaku di hari raya. Teman katakan bahawa teman akan memijak ego teman selumat-lumatnya di hadapan ayahanda teman. Setelah 4 tahun hidup dalam buangan, akhirnya teman kembali ke laman ayah bonda, sujud meminta ampun. Ya, pada mulanya ayah memang terkejut dan tidak dapat menerima kehadiran teman seperti yang dijangka. Namun bagaikan ada satu keyakinan yang dihembus Allah ke dalam sanubari teman, teman tetap tak berganjak dari terus melutut meminta ampun dari ayah, mengharap redha si ayah. Teman lakukan kerana Allah, kerana tiadalah redha Allah jika tiada redha ibubapa, maka dengan tekad inginkan redha Allah, teman menggagahkan diri merayu dan meminta ampun lebih kurang 20 minit di hadapan ayahanda. Bonda teman turut sama memujuk ayahanda teman. Teman katakan bahawa teman takutkan api neraka, teman taknak jadi anak derhaka dan teman takut hidup teman tak diberkati. Akhirnya, kepala teman disentuh, bahu teman ditarik dan tubuh teman dirangkul ayah...kemaafan jua diberi lalu segala resah yang tersimpan selama 4 tahun akhirnya terlerai. Lega yang teramat sangat kerana membayangkan Allah merahmati hambaNya. Terus sahaja sujud syukur pada Ilahi dan akhirnya doa yang dititipkan di setiap waktu dimakbulkan Allah dalam bulan yang penuh barakah ini. Ya Allah, redhailah aku.
Malam itu, sempat lagi merasai solat terawih di kampung halaman sendiri. Pertama kali dalam hidup teman bersolat terawih di masjid yang damai ini. Bacaannya sangat merdu dan tartil, berbeza dengan gaya selatan yang agak laju dan bersegera. Selesai terawih, jemaah sama-sama menyantap moreh yang telah disediakan orang kampung. Bubur kacang itu pekat dan lemak, sangat sedap. Kawan-kawan bonda berkerumun dan bertanya khabar, wajah mereka sungguh bersih dan tak banyak perubahan, malah mereka semua kelihatan masih cantik dan kelihatan cukup mendamaikan.
Sempat juga berbuka dan bersahur bersama ibu dan ayah, ia suasana yang sangat dirindui. Alhamdulillah, terima kasih Allah, tiada kata-kata yang dapat mengungkapkan rasa syukur yang tak terhingga ini. Di kala teman bangun untuk bersolat malam, ayah dan bonda juga kelihatannya sudah biasa bersolat malam. Ia semakin indah kerana rumah yang besar dan sunyi...yang sekian lamanya sunyi menjadi bercahaya kerana seisi keluarga kami menghidupkannya dengan solat malam. Syukur ya Allah, ini adalah impian yang menjadi kenyataan.
Pagi raya sangat indah. Seawal 8 pagi kami sekeluarga sudah bergerak ke masjid. Ruang solat yang lapang dan tenang mula dipenuhi jemaah. Takbir raya berkumandang, suara imam itu sungguh indah, alunan takbirnya benar-benar mendamaikan hati. Hampir sejam kami bertakbir membesarkan Allah. Ia adalah aktiviti zikir yang sangat indah di pagi raya. Hati teman sebak setiap kali mengalunkan 'Allahu Akbar Allahu Akbar..."terasa Allah begitu dekat, Maha Penyayang dan Maha Berkuasa. Allah benar-benar memakbulkan doa-doa hambaNya. Syurga itu bukan sahaja dikurniakanNya ketika di akhirat sana, namun seolah-olah diberikan sedik nikmat syurga itu di dunia. Ini adalah solat raya yang pertama dalam hidup teman dan ia sangat-sangat bermakna.
Hari raya kali ini sangat bermakna. Allah telah kembalikan ayahanda teman. Semoga Allah meredhai teman dan semoga redha ibu bapa dapat membuka hijab redha Allah buat teman. Ya Allah, terima kasih ya Allah, terima kasih.
No comments:
Post a Comment