Monday, 26 September 2011

Rumah Terbuka

Hari Sabtu yang lepas, teman mengadakan Rumah Terbuka. Sebenarnya ia bukanlah idea teman, tetapi adik angkat teman itu yang beriya-iya sangat mahu mengadakannya, jadi teman ikutkan sahajalah. Sebenarnya, gaji belum lagi masuk pada waktu itu tetapi teman buat ala kadar sahaja, kos yang dikeluarkan tidak lebih RM100. Jemputan yang datang pula lebih 50 orang kalau teman tak silap. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar dan makanan pun cukup, tak ada yang berkurang. Teman tak putus-putus berdoa agar makanan yang ada mencukupi. Naik seram bila melihat orang ramai datang sehingga tiada tempat duduk. Makanan yang biasa-biasa itu pula dijamah dengan berselera. Memang puas hati mengenangkan majlis berjalan lancar dan makanan semua dijamah dengan selera. Alhamdulillah, syukur tak terhingga buat Ilahi. Takut juga kalau banyak makanan yang membazir, ya, memang ada yang terpaksa dibuang, tetapi tidaklah terlalu banyak, alhamdulillah. Teman paling tak suka buang makanan. Kalau boleh makan, memang teman simpan dalam peti sejuk dan akan memanaskannya kembali. Tetapi peti sejuk pun dah tak muat, terpaksalah. Rasulullah SAW tidak suka pembaziran. Menurut Rasulullah, makanan jika tak dihabiskan akan menjadi santapan syaitan. Nauzubillah.
Penat dan gembira bercampur baur. Penat pun taklah penat sangat, biasa-biasa sahaja. Gembira kerana dapat berjumpa dan menjamu kawan-kawan. Kalau diikutkan, rumah teman jauh dari tempat kerja teman, lebih kurang 50km, tetapi kawan-kawan sekerja sanggup datang sejauh itu untuk meraikan Rumah Terbuka teman, itu yang membuatkan teman terharu. Kawan-kawan yang dekat pun datang, alhamdulillah. Duit raya tak banyak tetapi alhamdulillah, cukup untuk diberi kepada semua kanak-kanak yang hadir. Mula-mula risau kerana kami tak sempat menukar duit raya di bank. 3 jam sebelum majlis bermula, teman dan adik-adik angkat teman mengumpul duit masing-masing, alhamdulillah cukup.
Dari pukul 3 petang sehingga 9.30malam teman menerima kunjungan tetamu, tak sangka dengan bajet rendah, masih boleh menjamu tetamu-tetamu yang ramai itu. Pukul 9.30 malam, giliran teman pula memenuhi undangan Rumah Terbuka kenalan teman yang lain. Itupun teman terlepas 3 jemputan Rumah Terbuka yang lain. Maaf ya, memang tak sempat nak hadir kesemua jemputan itu.
Ia adalah kenangan manis yang indah buat teman dan keluarga angkat teman. Awal-awal lagi kami sudah niatkan nak menjamu orang dan untuk mengukuhkan silaturrahim. Melalui Rumah terbuka inilah, teman dapat bergaul dengan jiran-jiran sebelah rumah yang berbangsa Melayu dan Cina. Inilah masanya untuk saling kenal mngenali. Terima kasih Ya Allah kerana memberi peluang ini kepada kami.

No comments:

Post a Comment