Tuesday, 13 September 2011

Hari ini.....

Assalamualaikum wbt...

Sekarang waktu makan tengah hari. Oleh kerana teman berpuasa, bolehlah teman menaip sesuatu di blog ini. Sambil mendengar lagu Salawat Burdah di radio IKIM, kadangkala dek kerana lagu ini sangat sedap, sampaikan hilang idea teman nak tulis entri kali ini.

Teman teruja membaca entri terbaru Kak Roza, pengalaman membeli barangan dapur di Madinah. Kelakar pun ada, rasa bersyukur pun ada, semoga Allah mempermudahkan Kak Roza dan keluarganya sepanjang berada di Madinah. Allah hadiahkan mereka sekeluarga dengan hijrah yang sangat bermakna, namun ia datang dengan ujian, maka bersabarlah dan percaya pada Allah. Walaupun teman sedikit cemburu dengan apa yang mereka kecapi sekarang, teman bersyukur kerana teman hidup dengan aman dan dapat beribadah dengan aman. Semoga Allah mengasihi teman walaupun teman berada di Malaysia, bukan di Madinah. Kepada yang berada di Madinah, syukur kerana Allah membalas segala doa dan amalan anda sekeluarga.

Hari ini juga adalah hari ujian buat teman. Semoga Allah mengurniakan teman dengan kesabaran dalam menempuh dugaan-dugaan tersebut dan semoga Allah memberi jalan keluar dari masalah yang sedang melanda teman. Ya Allah, mohon dipermudahkan Ya Allah...

Semakin hari teman rasakan semakin kurang idea teman untuk menulis entri. Teman tak tahu mengapa. Mungkin kerana teman sudah berdoa pada Allah agar teman tidak mensia-siakan waktu bekerja dengan sesuatu  yang tak berkaitan dengan kerja. Alhamdulillah jika itu hikmahnya. Pulang ke rumah sudah hampir maghrib, tika itu badan pun sudah kepenatan. Bagi teman, malam adalah waktu untuk beribadah dan menuntut ilmu, maka kuranglah waktu untuk menjenguk blog. Teman masih ada beberapa buku yang belum habis dibaca. Hanya selepas waktu bekerja sahajalah waktu untuk teman habiskan untuk membaca. Alquran juga perlu dibaca agar hati ini sentiasa hidup. Masa yang ada seakan-akan terlalu singkat. Namun Allah telah menetapkan sehari 24 jam, maka sudah pasti masa yang diberi mencukupi kerana Allah Maha Bijaksana, hanya manusia sahaja perlu bijak menyusun jadual.

Sudah hampir pukul 1 tengah hari, izinkan teman berehat seketika.

No comments:

Post a Comment