Assalamualaikum wbt...
Sejak akhir-akhir ini, teman sering mendengar dan membaca tentang riba. Laman web Ustaz Zaharuddin di zaharuddin.net menjadi rujukan, ia baik untuk kita jadikan rujukan atau jika ada apa-apa soalan, bolehlah bertanya sendiri dengan Ustaz Zaharuddin. Teman agak tertekan mengenangkan teman telah banyak terjebak dengan riba' seawal umur 20, iaitu ketika menerima pinjaman pendidikan yang terkenal di negara ini. Mungkin juga teman sudah sekian lama menelan hasil riba yang dilakukan insan lain, mungkin mereka tidak tahu, tetapi dalam Islam, tidak tahu tidak boleh dijadikan pelepasan dosa kerana Islam menuntut umatnya untuk menuntut ilmu. Zaman kefasikan teman ketika belajar dan bekerja telah mencampakkan teman ke kancah riba'. Transaksi seperti pinjaman pelajaran, pinjaman motorsikal, pinjaman kereta, kad-kad kredit, pinjaman peribadi dan kemudahan-kemudahan kewangan yang lain yang ditawarkan bank konvensional, segalanya adalah riba' yang pernah teman lakukan. Walaupun teman mula kembali mencari jalan yang Allah redhai, tetapi aktiviti silam terutamanya mengenai riba' masih membelenggu teman.Teman benar-benar ingin bertaubat. Teman mohon Allah beri jalan keluar dari semua ini, alhamdulillah, hari ini institusi pinjaman pendidikan teman telah memberi surat tawaran untuk menukar kaedah pembayaran pinjaman kepada sistem Islam, teman akan berusaha melengkapkan segala keperluan yang dituntut pihak terbabit agar teman dapat keluar dari sistem yang nyata riba'. Walaupun kaedahnya masih diragui, namun pihak tersebut sudah mengakadkan bahawa 1% adalah kos upah, maka selebihnya terserah kepada badan tersebut untuk menanggung dari sudut rohaninya. Pinjaman kereta teman pula masih berbaki 4 tahun, nyata ia melalui sistem konvensional yang jelas-jelas sistem riba. Teman tak tahu bagaimana nak lari dari riba' untuk pinjaman kenderaan yang berbaki 4 tahun ini. Segala hutang yang lain telah teman tukar kaedah yang lain dan akan cuba melangsaikannya secepat mungkin agar terlepas dari belenggu riba. Pinjaman pelaburan yang teman ada sekarang dan masih terikat lagi 11 tahun ini pula telah difatwakan harus oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, walaupun kaedahnya diragui namun oleh kerana Majlis Fatwa memutuskan begitu, maka mereka juga akan menanggung dari segi rohaninya.
Ustaz Zaharuddin menerangkan secara jelas disertakan nas-nas dan fakta sahih tentang makna riba'. Hakikatnya sangat menakutkan dan dosanya, masya'Allah, lebih menggerunkan. Dosanya umpama anak lelaki yang berzina dengan ibu kandungnya, Na'uzubillah....Astaghfirullahal'azim...Ya Allah tolong aku ya Allah.....bantulah aku, bebaskan aku dari belenggu hutang dan riba'!
Ustaz Zaharuddin memberi penjelasan tentang bagaimana riba' itu diputuskan melalui 'Ilat', teman kira ilat itu adalah faktor yang memutuskan sesuatu itu dikategorikan sebagai riba'. Menurut apa yang ditulis Ustaz Zaharuddin,
1) Lebih : Sebarang excess atau lebihan dalam : -
a- Pemberian pinjaman wang atau manfaat asset (beri pinjam kereta sebagai contoh) yang DISYARATKAN PULANGAN BESERTA LEBIHAN MANFAAT. Sebarang lebihan sama ada banyak atau sedikit, dirasakan zalim atau tidak. Ia adalah riba yang haram.
b- Sebarang lebihan berat emas atau perak dalam pertukaran emas dengan emas. Samada bezanya 1 gram atau 30 gram,. Ia sama sahaja haramnya. Sebagai contoh, menukar rantai emas seberat 20 gram dengan rantai yang baru seberat 23 gram. Ia adalah riba samada redha atau tidak, sikit atau banyak.
2) Tangguh : sebarang bentuk tangguh dalam :-
a- Pertukaran matawang dengan matawang lain
b- Pertukaran emas dengan emas atau dengan perak.
Jadi, cuba renungkan kembali transaksi kita seharian. Bukankah ia ibarat rutin manusia zaman sekarang? Urusan pinjaman rumah, kenderaan, kad kredit, pinjaman-pinjaman peribadi, forex dan kebanyakan aktiviti institusi kewangan, hampir keseluruhannya tercemar dengan riba'.
Di dalam tajuk teman di atas, teman tuliskan "serba salah". Kisahnya begini,salah seorang rakan sekerja teman baru sahaja menceritakan kepada beberapa rakan sekerja tentang pinjaman pelaburan yang berkadar faedah sebanyak 4% setahun. Teman terkedu mendengar jumlah yang dipinjam dan dilaburkan sangat tinggi, matlamatnya adalah keuntungan dividen tahunan yang boleh dikatakan agak menguntungkan. Dan komitmen tersebut dibuat dengan tempoh yang panjang iaitu 25 tahun. Masya-Allah. Rakan yang mendengar turut tertarik. Adakah respon sebegini adalah disebabkan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa atau masyarakat kurang ilmu tentang riba'? Bagi diri teman, pada mulanya teman ingin menarik diri dari pinjaman pelaburan yang teman ada sekarang kerana kaedahnya yang diragukan, namun apabila Majlis Fatwa membenarkannya, maka teman rasa, Majlis Fatwa perlu menanggung dosa jika fatwa itu salah. Setelah merujuk kenyataan Ustaz Zaharuddin dan mengambil kira pendangan ibu teman, wang dividen usah disentuh. Apabila tamat membayarnya, ambil jumlah yang dipinjam sahaja, selebihnya serahkan pada Baitul Mal, itu pandangan ibu teman. Ustaz Zaharuddin pula mengatakan, ia adalah tanggungan Majlis Fatwa seperti yang telah teman sebutkan sebentar tadi. Hakikatnya, wallahualam.
Teman berpendapat, masyarakat patut rasa 'alergic' atau 'alah' apabila mendengar perkataan 'PINJAM'. Sepanjang hidup teman, teman pernah dengar 2 kali sahaja pinjaman yang bersih dari riba', iaitu pinjaman dari Yayasan Pelajaran Johor dan Yayasan Melaka. Mungkin yayasan lain juga mengamalkan perkara yang sama, tetapi pengalaman teman adalah berdasarkan kisah 2 orang sahabat teman, seorang dari Melaka dan seorang lagi dari Johor. Pinjam RM5000 bayar RM5000, begitulah yang dikenakan ke atas mereka. Oh ya, pada tahun 2001 (kalau tak silap teman), sahabat teman yang bekerja di Bank Islam Temerloh Pahang, pernah memberitahu teman bahawa Bank Islam pada masa itu ada memberi pinjaman kepada peniaga yang berjumlah RM5000, dan dibayar semula dengan jumlah yang sama oleh peminjam, ia adalah khusus untuk menolong para peniaga. Selain dari 3 kes ini, teman tak pernah melihat pinjaman yang bersih dari riba' termasuklah pengalaman teman sendiri. Malahan teman pernah membuat pinjaman peribadi dengan sebuah bank terkemuka di Malaysia, pinjaman tersebut berjumlah RM5000 namun bayaran semula berjumlah RM12,000. Malang bagi mereka yang kurang ilmu seperti teman, atau yang mempunyai ilmu tetapi tidak ambil serius dan tidak mengamalkannya, seperti teman. Ya Allah, ampunkan disa-dosaku.
Untuk pengatahuan anda, kawan teman sekarang, tika teman sedang menaip entri ini, sedang mempengaruhi 2 lagi rakan teman yang lain. Teman makin serba salah, samada menegur (pasti fatwa dari Majlis Fatwa dijadikan sandaran, dan teman sendiri dah terjebak dengannya) atau memberi penjelasan tentang makna riba' kepada mereka. Teman serba salah.
No comments:
Post a Comment